Perutusan Sambutan Hari Malaysia 16 September 2021

PERUTUSAN PERDANA MENTERI
SAMBUTAN HARI MALAYSIA
16 SEPTEMBER 2021

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin,
Yang di-Pertua Negeri Sabah;

2. Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;

3. Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,
Timbalan Ketua Menteri Sarawak mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak;

4. Yang Berhormat Datuk Kadzim M. Yahya,
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah;

5. Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Tpr Annuar Haji Musa,
Menteri Komunikasi dan Multimedia; dan

6. Yang Berhormat Dato’ Sri Bung Moktar bin Radin,
Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kerja Raya Sabah, merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Tahun 2021;

7. Yang Berhormat Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri;

8. Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri; dan

9. Hadirin Keluarga Malaysia sekalian,

KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

1. Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita zahirkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan nikmat kepada kita, untuk menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia, ke-58 di Sabah Negeri di Bawah Bayu.

2. Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara.

KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

3. Menyoroti lembaran sejarah, pembentukan Malaysia mengambil masa hampir 27 bulan lamanya, bermula dari bulan Mei 1961. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan.

4. Oleh itu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan penghargaan terhadap usaha gigih tokoh pejuang, yang telah membebaskan Sabah dan Sarawak daripada penjajah.

5. Nama-nama seperti Datu Mat Salleh, Tun Mohd Fuad Stephens, dan Tun Datu Mustapha Datu Harun merupakan tokoh pejuang yang gemilang dalam sejarah negeri Sabah, manakala Datu Patinggi Abang Ali, Temenggong Jugah dan Rentap adalah antara tokoh kemerdekaan Sarawak.

6. Semangat tokoh-tokoh pejuang ini tidak seharusnya terhenti. Dalam perang melawan musuh yang tidak terlihat iaitu pandemik COVID-19, semangat juang ini harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga serta tanah air daripada kemelut pandemik.

KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

7. Setiap kali menjelang Hari Malaysia, persoalan ‘equal partners’ sering dibangkitkan. Kerajaan, melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

8. Kerajaan memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan, menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri, dan dianggotai YAB Ketua Menteri Sabah, YAB Ketua Menteri Sarawak, serta lapan Menteri Persekutuan.

9. Usaha ini membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.

10. Kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

KELUARGA MALAYSIA YANG SAYA KASIHI,

11. Dengan hasrat untuk melihat kemakmuran negara dikongsi bersama, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion bagi negeri Sabah, manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.

12. Peruntukan ini sedang disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

13. Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

14. Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama.

15. Pada masa yang sama, saya yakin dan percaya bahawa Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa mendengar keluh kesah rakyat, kami seupayanya akan mencari jalan penyelesaian.

KELUARGA MALAYSIA YANG SAYA KASIHI,

16. Tumpuan kerajaan pada ketika ini adalah untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik. Selain itu, infrastruktur dan kemudahan asas turut diberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah.

17. Kerajaan memahami keperluan dan kepentingan Keluarga Malaysia terhadap capaian internet berkelajuan tinggi.

18. Bagi mencapai hasrat ini, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 akan diperluaskan lagi.

19. Sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion, dan Sarawak RM4.09 bilion.

20. JENDELA menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas, demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

21. Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. No one will be left behind, everyone will have access to the digital world, and everyone must be connected.

22. Perkhidmatan ini akan memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah, dan 2.8 juta penduduk di Sarawak. Semoga selepas ini, kita tidak lagi mendengar ada Keluarga Malaysia, yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah, untuk mencari capaian internet pada masa akan datang.

KELUARGA MALAYSIA YANG SAYA KASIHI,

23. Mengambil semangat Sambutan Hari Malaysia pada hari ini, saya menyeru agar kita semua menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini. Sebagai Keluarga Malaysia yang besar, kita harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

24. Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.

25. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

26. Umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang menjunjung utuh perpaduan.

KELUARGA MALAYSIA YANG SAYA KASIHI,

27. Saya mengambil kesempatan ini, untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh Keluarga Malaysia walau di mana jua anda meraikannya.

28. Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara berdaulat ini, sentiasa dalam rahmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.

29. Akhir kalam, saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Selamat Mensyukuri Hari Malaysia Ke-58!

Sekian,

WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH,
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri