Penilaian Risiko Pembukaan 11 Sektor Ekonomi Terhadap Individu Bawah 17 Tahun

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN
TARIKH : 14 SEPTEMBER 2021 (SELASA)
DARIPADA : DATO’ HAJI MOHD. SALIM SHARIF [JEMPOL]

SOALAN NO. 1 (SOALAN TAMBAHAN SATU)

Minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah keputusan membuka 11 sektor ekonomi termasuk aktiviti keluarga seperti dine-in tersebut telah mengambil kita risiko yang akan ditanggung oleh individu yang tidak divaksin iaitu mereka yang berumur 17 tahun ke bawah dan adakah terdapat sebarang pendekatan baharu yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bagi melandaikan kes jangkitan.

JAWAPAN:

Tuan Yang DiPertua,

Terima kasih Yang Berhormat. Seperti saya sebutkan tadi bahawa penilaian risiko telah pun dilakukan oleh KKM yang melihat dari segi kesihatan, malah juga kementerian-kementerian yang berkaitan dengan ekonomi. Jadi, kita telah pun membuat pertimbangan dan perimbangan.

               Lagipun, apabila kita buka, saya sudah sebut tadi, bahawa SOP yang ketat perlu dilaksanakan. Kita tahu, seperti kata Yang Berhormat tadi, walaupun telah mendapat dua dos vaksin, masih boleh dijangkiti dan masih boleh menjangkiti. Kawalan kendirilah yang paling penting. Rakyat mesti berdisiplin untuk membuat kawalan kendiri daripada segi menjaga SOP.

               Baru-baru ini kita buka, hari pertama kita lihat di tempat percutian, tidak ada memakai mask pun, tidak memakai topeng pun. Ini bermakna masa depan negara kita ini dari segi COVID ini bergantung kepada kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan vaksin semata-mata, tetapi kawalan kendiri itu sangat penting. Kalau tidak, ia akan menjadi sia-sia sahaja.

          Oleh sebab itulah, walaupun kita membuat kawalan yang ketat― misalnya anak berumur 17 tahun tidak boleh bersendirian, mesti bersama ibu bapa dan mesti tiada gejala baru boleh keluar. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan oleh pihak kerajaan tetapi yang protect diri kita adalah kita sendiri. Seperti yang kita sebutkan selalu bahawa satu hari nanti kita akan hidup bersama COVID-19. We have to live with COVID-1.

Jadi, untuk keselamatan kita semua, kita yang perlu menjaga diri, keluarga dan masyarakat.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri