Majlis Pelancaran Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia)

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
INISIATIF KEDIAMAN RUMAH KELUARGA MALAYSIA (RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA )

PADA 24 SEPTEMBER 2021 (JUMAAT)
DEWAN KRISTAL,KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM
Terima kasih Saudara Pengacara Majlis.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan


Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan
Ketua Setiausaha
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Barisan Pengurusan Tertinggi KPKT

Keluarga Malaysia penerima RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA


Rakan-rakan media dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang menonton program kita secara maya di luar sana.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang dicurahkan kepada kita, nikmat keamanan, nikmat menjadi rakyat di bumi Malaysia ini, maka pada petang yang berbahagia ini, dapat kita bersama-sama dalam MAJLIS PELANCARAN INISIATIF KEDIAMAN RUMAH KELUARGA MALAYSIA ATAU RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada KPKT yang diterajui oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, kerana dapat menzahirkan satu lagi inisiatif untuk membantu rakyat, yang terkesan akibat COVID-19 dalam semangat Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia Yang Dikasihi,

3. Sejak Mac 2020, kita telah melalui satu fasa yang cukup perit dan memberi kesan amat mendalam kepada ekonomi, sosial dan psikologi rakyat.

4. Saya sendiri melihat situasi ini dengan lebih dekat ketika saya diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan. Setiap hari kita berhadapan dengan keadaan dan persekitaran yang cukup berbeza, yang tidak pernah kita bayangkan apabila berhadapan dengan musuh yang tidak terlihat (atau the invisible enemy).

5. Setiap hari kita belajar perkara baharu, bagaimana untuk menangani pandemik COVID-19 ini, selain berusaha mencari langkah terbaik mengimbangi kesan ekonomi yang melanda negara sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

6. Impak yang dihadapi ini, meliputi pelbagai sektor industri, khususnya perniagaan kecil dan sederhana, yang sangat terkesan. Bukan sedikit yang masih bergelut, malah ada yang terpaksa gulung tikar.

7. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup rakyat ketika negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.

8. Bagi mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan, kerajaan akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama. Pertama, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

9. Seperti yang saya nyatakan di Parlimen tempoh hari, kerajaan akan meneruskan dasar strategik untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah dalam kalangan B40.

10. Bagi pelan jangka sederhana dan jangka panjang, program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan akan dilaksanakan.

11. Seterusnya, kita akan melalui fasa endemik di mana kita perlu hidup bersama-sama COVID-19 dalam norma baharu dengan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (atau SOP).

12. Alhamdulillah, kini kita telah berada pada landasan tepat ke arah pemulihan ekonomi negara. Sukacita ingin saya kongsikan, sehingga Rabu lalu, sebanyak 81 peratus populasi dewasa Malaysia telah divaksinasi melibatkan 18.9 juta individu.

13. Pada masa yang sama, kerajaan juga memulakan vaksinasi kepada pelajar-pelajar sekolah Tingkatan 5 dan 4 sebagai persediaan pembukaan sekolah di seluruh negara secara berperingkat.

14. Berdasarkan kepada perkembangan yang sangat positif ini, kerajaan mula memberi kelonggaran kepada individu lengkap divaksinasi bagi melaksanakan aktiviti dalam sektor ekonomi dan sosial.

15. Apa yang penting dalam tempoh endemik ini, adalah kawalan kendiri. Menjadi tanggungjawab kita semua, untuk memastikan segala aktiviti harian dilakukan mengikut pembudayaan norma baharu.

AGENDA PERUMAHAN UNTUK RAKYAT

Keluarga Malaysia yang dikasihi,


16. Dalam hal yang sama, kita tahu ramai di luar sana yang cukup terkesan dengan keadaan ekonomi semasa. Soal perumahan
sebagai contoh, tempat untuk berteduh, menjadi perkara pokok kepada Keluarga Malaysia.

17. Justeru, Agenda Perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan, khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

18. Program-program kediaman mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (atau PPR), Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (atau PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh.

19. Saya yakin, KPKT akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program-program perumahan ini agar ia tidak hanya boleh dibina dalam tempoh yang singkat, malah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

20. Selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, kita juga akan membantu golongan rentan serta golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti, sejajar dengan agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni.

21. InsyaAllah, perinciannya akan kita umumkan di dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta Belanjawan 2022 tidak lama lagi.

INISIATIF KEDIAMAN RUMAH KELUARGA MALAYSIA

Keluarga Malaysia Yang Dikasihi,


22. Oleh sebab itu, langkah dan pendekatan yang diperkenalkan oleh KPKT melalui Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA, merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya dan merupakan langkah penampan yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat yang memerlukan.

23. RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA ini menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan, atau mungkin juga kehilangan pekerjaan, sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang tinggi. Begitu juga ada yang terdesak menumpang di rumah saudara mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa.

24. Saya difahamkan sebanyak 1,000 unit RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA disediakan sebagai permulaan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (atau PPR) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum, iaitu 124 ringgit sebulan selama tempoh maksimum dua tahun.

25. InsyaAllah, saya optimis dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, ia akan memberi manfaat kepada keluarga penerima RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA.

Keluarga Malaysia Yang Dikasihi,

PENGUMUMAN 1


26. Saya memahami bahawa 1,000 unit rumah di 11 kawasan PPR yang berada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT, tidak mencukupi untuk menjadi tempat berlindung bagi Keluarga Malaysia yang terkesan akibat hilang mata pencarian. Ini kerana 139 projek PPR lain telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri.

27. Justeru, setelah perbincangan antara KPKT dan Pihak Berkuasa Negeri, sukacita saya umumkan bahawa Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA akan ditambah kepada 2,000 unit, yang akan
memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10 ribu isi rumah yang memerlukan.

PENGUMUMAN 2

28. Bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA, sukacita juga saya umumkan bahawa semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sehingga 6 bulan bermula dari tarikh menerima kunci.

29. Pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan melibatkan peruntukan lebih 1.5 juta Ringgit.

30. Ini bagi membolehkan saudara dan saudari penerima manfaat, khususnya Ketua Isi Rumah dapat menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga.

PENGUMUMAN 3

31. Satu lagi khabar gembira yang saya ingin umumkan, khususnya kepada penghuni sedia ada di kawasan PPR, kerajaan juga tidak akan meminggirkan kebajikan mereka.

32. Untuk itu, sukacita saya maklumkan bahawa, program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT, akan diteruskan sehingga akhir tahun 2022.

33. InsyaAllah, langkah ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 10 ribu Ketua Isi Rumah atau 50 ribu penghuni PPR, dengan melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah 18.84 juta Ringgit.

34. Inilah sebahagian daripada usaha kita, inisiatif kita, ikhtiar kita untuk Keluarga Malaysia yang memerlukan.

PENUTUP
Keluarga Malaysia Yang Dikasihi,

35. Kerajaan terus komited memberikan yang terbaik kepada rakyat keseluruhannya.

36. Dalam tempoh mendatang ini, pelbagai inisiatif dan usaha kerajaan akan diusahakan demi Keluarga Malaysia.

37. InsyaAllah, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat bakal menggariskan hala tuju dan pendekatan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia diberi keutamaan.

38. Kepada Keluarga Malaysia penerima manfaat RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA ini, saya doakan semoga urusan saudara dan saudari dipermudahkan dan kerajaan akan terus bersama-sama anda semua dalam apa jua keadaan.

39. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, sukacita saya melancarkan INISIATIF KEDIAMAN KELUARGA MALAYSIA ATAU RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA.

Sekian.

WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri