Langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN
TARIKH : 14 SEPTEMBER 2021 (SELASA)
DARIPADA : DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM [PORT DICKSON]

SOALAN NO. 2

Minta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

JAWAPAN

Terima kasih Yang Berhormat Ketua Pembangkang.

Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Perangkaan Malaysia telah menerbitkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan pada Ogos 2021. Berdasarkan laporan tersebut, pendapatan purata kasar bulanan isi rumah telah menurun sebanyak 10.3 peratus seperti yang disebutkan tadi. Daripada RM7,901 pada tahun 2019 kepada RM7,089 pada tahun 2020. Dan insiden kemiskinan juga telah meningkat kepada 8.4 peratus yang melibatkan 636,800 isi rumah berbanding dengan 5.6 peratus atau 405,400 isi rumah pada tahun 2019. Punca pandemik COVID-19 telah menyebabkan ekonomi rakyat Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020.

      Di samping itu, kadar pengangguran meningkat dengan ketara kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 melibatkan 826,100 individu berbanding 3.3 peratus pada tahun 2019. Lebih kurang 600,000 isi rumah daripada kumpulan isi rumah M40 yangberpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan telah turun ke kumpulan B40.

       Bagi mengurangkan tekanan beban individu dan isi rumah yang terkesan, kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah lapan pakej rangsangan ekonomi. Antaranya seperti berikut. Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 (BKC) fasa 1 pada keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion dan telah membantu 10.9 juta individu isi rumah, moratorium bayaran balik pinjaman daripada lebih tujuh juta peminjam, diskaun bil elektrik sebanyak 3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isi rumah,106.8 juta bakul makanan oleh JKM dengan 1,121,385 penerima isi rumah malah RM300,000 disediakan untuk setiap Ahli Parlimen untuk melaksanakan bakul makanan yang memanfaatkan 375,000 penerima yang seterusnya mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan termasuk program subsidi upah yang telah membantu kira- kira 300,000 makanan dan mengekalkan lebih daripada 2.7 juta pekerja.

       Walau bagaimanapun, bantuan ini hanya lah bersifat jangka pendek.Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40, dengan menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses daripada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan, menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan-pembiayaan kewangan dan meningkatkan perlindungan sosial.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri