Kewajaran Pembukaan Semula 11 Sektor Ekonomi Di Negeri-Negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN)

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : DATO’ HAJI MOHD. SALIM SHARIF [JEMPOL]
TARIKH : 14 SEPTEMBER 2021 (SELASA)

SOALAN NO. 1

Minta PERDANA MENTERI menyatakan kewajaran pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kala kes harian baharu masih mencatatkan angka yang membimbangkan.

JAWAPAN

YAB

YAB. DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan telah mempertimbangkan pembukaan sektor tertentu sebagai salah satu cara untuk memulihkan kembali ekonomi negara. Kita sedia maklum tentang kesusahan rakyat akibat daripada penutupan sektor-sektor ekonomi. Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara wajar berikutan dengan keputusan penerima vaksinasi yang tinggi ketika ini. Malah keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai ekonomi.

          Untuk makluman, sehingga bulan September ini, sebanyak 74.7 peratus rakyat dewasa telah menerima sebanyak dua dos vaksin, manakala untuk satu dos vaksin sebanyak 91.6 peratus rakyat telah pun menerimanya. Selain daripada itu, sektor-sektor ini dibuka dengan SOP yang ketat termasuk hanya membenarkan pelanggan yang telah divaksin lengkap sahaja untuk masuk membuat urus niaga dan mendapatkan perkhidmatan. Manakala pekerja-pekerja di premis-premis yang berkaitan juga mesti telah pun lengkap dengan dua dos vaksin.

        Langkah mengurung rakyat tidak lagi dilihat sebagai sesuai, malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental. Sekali gus kita perlu memberi keutamaan dengan membuka sektor ekonomi. Pembukaan ekonomi bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberikan peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

MAKLUMAT TAMBAHAN:

1. Pada ketika ini kedudukan Malaysia telah turun 35 anak tangga ke kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam Indeks Daya Tahan COVID-19 yang diterbitkan oleh Bloomberg pada Julai 2021. Indeks itu menunjukkan realiti kedudukan ekonomi peniaga, pekerja dan isi rumah di Malaysia yang semakin membimbangkan sekiranya proses pembukaan ekonomi kekal perlahan seperti ketika ini.

2. Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) juga adalah bersifat sementara dan keutamaan perlu diberikan kepada beberapa sektor ekonomi, antaranya sektor yang berorientasikan buruh kerana sektor ini menggajikan ramai pekerja dan apabila perniagaan dibuka, ramai pekerja akan mendapat pekerjaan. Selain itu, pembukaan sektor-sektor ini dapat membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuka kembali perniagaan mereka secara berperingkat.

3. Untuk makluman, penanda aras dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah berdasarkan kepada tiga (3) indikator iaitu kes harian COVID-19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan peratus penerimaan vaksin, dan Kerajaan berpandangan agar perkara ini perlu diimbangi dengan indikator ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan penutupan operasi perniagaan.

4. Sebelas (11) jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi di dalam fasa 1 iaitu:

a. Kedai cuci kereta
b. Kedai elektrik dan elektronik
c. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
d. Kedai perabot
e. Kedai peralatan sukan
f.  Kedai aksesori kereta
g. Pusat pengedaran dan jualan kereta
h. Pasar pagi dan pasar tani sahaja
i.  Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
j.  Kedai barang kemas
k. Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri