Kenyataan Media Berkaitan Sasaran 500,000 Peluang Pekerjaan Bakal Dicapai

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

SASARAN 500,000 PELUANG PEKERJAAN BAKAL DICAPAI

1. Majlis Pekerjaan Negara (National Employment Council – NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam (22 September 2021), dimaklumkan lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September 2021.

2. Majlis ini, dianggotai oleh 12 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 12 wakil dari sektor swasta dengan dipengerusikan oleh saya.

3. Kejayaan menempatkan pekerja tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September 2021. Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai.

4. Selain itu, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76% daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir. Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021.

5. Bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (National Job Creation Strategic Plan – NJCSP) yang akan disokong oleh lima specialised taskforce di bawah NEC.

6. Penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu:

i. Meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik
ii. Memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri
iii. Memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa
iv. Memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan
v. Memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden
vi. Mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

7. Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET.

8. Antara cadangan NJCSP adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program-program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

9. Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.

10. Mesyuarat juga bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

11. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada PERKESO. Bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.

12. Akhir sekali, kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PENGERUSI MAJLIS PEKERJAAN NEGARA
23 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri