Kenyataan Media Berkaitan Peralihan Fasa dan Kelonggaran Baharu

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

PERALIHAN FASA DAN KELONGGARAN BAHARU

Alhamdulillah, Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19. Semalam, R-naught bagi seluruh negara mencatatkan nilai 0.88 dan kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan R-naught yang masih kekal di bawah nilai 1.0, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan COVID-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi SOP meskipun jumlah kes jangkitan harian COVID-19 menunjukkan ketidaktentuan.

Semalam, 28 September 2021, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Pada masa yang sama, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) mendapat sambutan menggalakkan, apabila mencatatkan sebanyak 1,217,386 dos vaksin telah diberikan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Perkembangan ini selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan.

Seperti yang telah saya umumkan pada 22 September, kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama.

PERALIHAN FASA

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini, Rabu, 29 September 2021, bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berikut berkuatkuasa 1 Oktober 2021:

• Lembah Klang : Daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor)
• Melaka : Daripada Fasa 2 kepada Fasa 3
• Kedah : Daripada Fasa 1 kepada Fasa 2

Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.

Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.

KELONGGARAN BAHARU

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membuat ketetapan seperti berikut:

1. Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50% ruang premis, manakala 100% kapasiti penuh bagi Fasa 4. Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre- event test menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

2. Pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Oktober 2021.

3. Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4. Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium. Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai SOP bagi kelonggaran baharu ini, boleh dilayari di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my.

Selain itu, kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biarpun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO). Individu yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan yang tegas.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan bagi menangani wabak ini.

PENUTUP

Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun saya berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Negara kini sedang menuju ke fasa endemik di mana kita akan terus hidup bersama COVID-19 dalam kehidupan norma baharu. Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PENGERUSI JAWATANKUASA KHAS PENGURUSAN PANDEMIK COVID-19
29 SEPTEMBER 2021

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri