Kenyataan Media Berkaitan Peralihan Fasa 2 Lembah Klang

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
PERALIHAN FASA 2 LEMBAH KLANG

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada hari Rabu, 8 September 2021, bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 2, bagi kawasan Lembah Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuat kuasa 10 September 2021.

Antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 2 sebelum ini, seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu:

• Rentas daerah dibenarkan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin;
• Pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin dibenarkan untuk merentas negeri;
• Ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun;
• Dine-in dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin; dan
• Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama yang melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos.

Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama. Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya.

Sementara itu, jawatankuasa turut bersetuju untuk melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi, untuk negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.
Antara ketetapan yang telah diputuskan ialah:

• Membenarkan aktiviti sukan indoor, kecuali gimnasium, kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin.
• Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin. Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP.

Keputusan ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta MKN dan akan berkuatkuasa pada 10 September 2021.

Bagi sektor perdagangan dan pengedaran; perniagaan kedai bunga/nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi mulai 10 September 2021 bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

Sementara itu bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser, dan salon kecantikan dibenarkan.

Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemaskini oleh MKN dan kementerian berkaitan.

Amalkan kawalan kendiri serta gaya hidup sihat. Terima kasih.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
8 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri