Kenyataan Media Berkaitan Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik

  KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN TRANSFORMASI DAN KESTABILAN POLITIK

1. Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan hari ini telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

2. Memorandum ini, membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.

3. Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

4. Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

5. Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

6. Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi :

     I. Pemerkasaan Pelan COVID-19;
     II. Transformasi Pentadbiran;
    III. Pembaharuan Parlimen;
    IV. Kebebasan Institusi Kehakiman;
     V. Perjanjian Malaysia MA63; dan
    VI. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

7. Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

8. Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
13 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri