Kenyataan Media Berkaitan Kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Dan Peralihan Fasa

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
KELONGGARAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) DAN PERALIHAN FASA

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada sektor-sektor berikut:

i. Kelonggaran baharu bagi sektor sosial/pendidikan di negeri Fasa 2 PPN SAHAJA

      • Pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat DIBENARKAN

ii. Kelonggaran baharu bagi sektor sosial/pendidikan di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 PPN SAHAJA

      • Tabika, Taska, Tadika, Pusat Jagaan Harian Serta Pusat Perkembangan Minda DIBENARKAN beroperasi bagi anak-anak yang ibu bapanya bekerja. Operator dan pekerja di pusat–pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi.

iii. Kelonggaran baharu bagi sektor rekreasi di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 PPN

      • Kebenaran aktiviti kolam memancing dalam tempoh PPN dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap berdasarkan  ketetapan berikut :

Fasa 1 : 6.00 pagi – 8.00 malam di daerah yang sama
Fasa 2 : 6.00 pagi – 10 malam di negeri yang sama.

iv. Kelonggaran baharu bagi sektor sosial di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 PPN SAHAJA

      • Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) DIBENARKAN kepada individu telah lengkap vaksin (secara tempahan, sanitasi, penjadualan penggunaan dan pemantauan rapi.

      • Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal (seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain) DIBENARKAN mengikut kapasiti penuh sukan tersebut TERHAD bagi individu yang telah lengkap vaksin sahaja dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

      • Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan/premis yang sama dengan mematuhi 50% kapasiti atau tidak melebihi 50 orang (mana-mana yang lebih rendah) bagi individu yang lengkap divaksin, dengan seliaan jurulatih/instruktur DIBENARKAN

v. Kelonggaran baharu bagi sektor sosial di setiap Fasa PPN

      • Aktiviti Ziarah Kubur Islam DIBENARKAN dengan mengikut ketetapan pihak Berkuasa Agama Negeri. Aktiviti ziarah Kubur selain Islam juga DIBENARKAN dengan mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

      • Kapal Persiaran DIBENARKAN dibuka dengan 50% kapasiti – semua anak kapal dan penumpang mesti lengkap divaksin.

Saya juga ingin mengumumkan beberapa kelonggaran bagi sektor pekerjaan/ekonomi berkuatkuasa 17 September 2021:

i. Kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan/ekonomi di negeri Fasa 1 PPN SAHAJA.

      •  Pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak projek pembinaan infrastruktur awam yang utama dan kerja-kerja pembinaan bangunan serta premis industri/perkhidmatan perlu yang DIBENARKAN.

      • Penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral dan Lesen Memproses Mineral DIBENARKAN bagi tujuan keselamatan (safety and security) untuk mengelakkan risiko kemalangan.

      • Pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir DIBENARKAN.

      •  Pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara DIBENARKAN.

      •  Perladangan berasaskan kayu dan kenaf DIBENARKAN.

      • Jenis perniagaan berikut DIBENARKAN kembali beroperasi dengan syarat vaksin yang telah ditetapkan.

a. Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi;
b. Kedai barangan terpakai;
c. Kedai bunga/ nurseri;
d. Kedai kraftangan dan cenderahati;
e. Kedai antik;
f. Kedai alat permainan;
g. Kedai permaidani;
h. Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif;
i. Kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain);
j. Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;
k. Kedai tembakau (termasuk vape / rokok elektronik).

ii. Kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan/ekonomi di negeri Fasa 2 PPN SAHAJA

      • Semua pejabat swasta DIBENARKAN beroperasi seperti berikut:

a. Kapasiti 60% pekerja sekiranya 40% pekerja telah lengkap vaksin
b. Kapasiti 80% pekerja sekiranya 60% pekerja telah lengkap vaksin
c. Kapasiti 100% pekerja sekiranya 80% pekerja telah lengkap vaksin

      • Kenderaan pekerja dengan penumpang lengkap vaksin DIBENARKAN dengan 100% kapasiti kenderaan

      • Kilang Perabot DIBENARKAN beroperasi

iii. Kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan/ekonomi di negeri Fasa 2 dan 3 PPN SAHAJA

      • Aktiviti-aktiviti Sektor Pengurusan Perhutanan DIBENARKAN, merangkumi Pengusahasilan Hutan (Pembalakan); Pengusahasilan Hutan (Hasil hutan bukan kayu); Perladangan hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK); dan Pembangunan hutan (di bawah Projek Pembangunan Hutan RMKe-12)

iv. Kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan/ekonomi di Fasa 2,3,4 PPN

      • Mesyuarat sahaja secara bersemuka DIBENARKAN kepada individu yang telah lengkap vaksin.

PERALIHAN FASA BAGI NEGERI TERENGGANU

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 3 bagi negeri Terengganu berkuat kuasa 17 September 2021.

Kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 3 sebelum ini. Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan akan dikemaskini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my.

Bagaimanapun ekoran kelonggaran SOP yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, saya mendapati orang ramai mula mengabaikan SOP yang ditetapkan. Sehubungan itu saya berharap rakyat terus patuh pada SOP untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Kesediaan Kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini. Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup separuh muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Pihak penguatkuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
15 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri