Perutusan Hari Kebangsaan Negara Ke-64

PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN NEGARA KE-64
PERDANA MENTERI KE-9
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB

30 Ogos 2021 | Isnin

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita zahirkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan nikmat kemerdekaan kepada kita semua selama 64 tahun lamanya. Keluarga Malaysia pada tahun ini menyambut kemerdekaan di atas semangat Malaysia Prihatin.

  1. Izinkan patik dan seluruh rakyat Malaysia menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di atas kedaulatan dan kebijaksanaan Baginda Tuanku yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

  2. Dengan penuh rasa insaf dan bersyukur, saya ingin mengajak Keluarga Malaysia menyusur sungai sejarah perjuangan bangsa. Perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

  3. Biarpun ia sering diperkatakan, namun lumrah sesuatu yang penting, ia perlu diulang-ulang, agar sentiasa terpahat dalam fikiran kita, terutamanya untuk anak-anak muda.

  4. Dalam mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara ini, ia telah menumpahkan air mata, keringat dan darah para pejuang yang bukan sedikit. Bermula dengan runtuhnya Kerajaan Melaka di tangan kekuasaan Portugis pada tahun 1511.

  5. Sejak itu, peta pemerintahan dan kekuasaan kita mula dirobekkan oleh penjajah Barat. Ratusan perjuangan yang ditandai peperangan, perundingan, dan pengorbanan telah memakan masa selama 446 tahun. Ia terpaksa dihadapi demi mengembalikan semula kemerdekaan tanah air ini.

  6. Sepanjang tempoh lebih empat abad itu, tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda. Namun, semangat perjuangan yang tumbuh daripada anak-anak bumi bertuah ini tidak pernah patah atau luntur. Malah, ia sentiasa bercambah dan semakin kukuh sepertimana yang kita warisi kini.

  7. Antara tokoh besar yang perlu diingati oleh generasi sekarang ialah Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dato’ Naning, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhoby dan lain-lain.


    SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

  8. Perjuangan menuntut kemerdekaan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union. Inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu lagi, dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air.

  9. Nilai kemerdekaan negara ini terus dipelihara oleh kesemua Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  10. Bukan sedikit pahlawan negara yang gugur dan terkorban dalam mencapai dan mempertahankan kemerdekaan negara ini. Negara berterima kasih kepada perjuangan dan pengorbanan seluruh yang terlibat terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini.


    SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

  11. Saya perlu menyebut beberapa fakta sejarah tadi kerana, setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah. Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati. Yang paling utama ialah, mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia.

  12. Justeru, pada sambutan ke-64 kemerdekaan tanah air kita ini, marilah kita membulat tekad untuk memulihkan negara. Cabaran yang sedang kita hadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini. Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi. Di mana, ia menggugat kestabilan politik negara kita dan di seluruh dunia.

  13. Sempena hari kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19, sebagai musuh yang paling utama. Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu. Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

  14. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segeralah mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara. Vaksin telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini.

  15. Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan.


    SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

  16. Pada tarikh keramat ini, marilah kita berjanji untuk bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum. Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

  17. Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara.

  18. Saya bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia mengalungkan setinggi- tinggi penghargaan kepada tokoh-tokoh negara yang sangat berjasa ini, yang telah pergi meninggalkan kita.

  19. Saya amat berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

  20. Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik.

  21. Selamat mensyukuri Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-64. Malaysia Prihatin, Dirgahayu Tanah Airku!

Sekian, terima kasih.

WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri