Kenyataan Media Mengenai Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

YAB Perdana Menteri hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang diadakan secara sidang video. JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut COVID-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas.

Mesyuarat itu disertai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri; YB Menteri Kanan Luar Negeri; YB Menteri Kanan Kerja Raya; YB Menteri Kanan Pendidikan; YB Menteri Kewangan; YB Menteri Sains dan Teknologi dan YB Menteri Kesihatan. Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kesihatan turut serta dalam mesyuarat itu.

Untuk makluman, Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju melantik Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi PPN, yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan; serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik.

Mesyuarat hari ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial (subject matter experts) bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital dan juga strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia.

Penglibatan kumpulan profesional, terutamanya pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi, dalam pengurusan pandemik COVID-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul.

Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran- cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19. Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif.

Bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha Kementerian serta Agensi yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN.

PEJABAT PERDANA MENTERI
9 Julai 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri