Ucapan Berhubung Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)

UCAPAN PERDANA MENTERI BERHUBUNG PERKEMBANGAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN (PICK)

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah pun melepasi 100 hari pelaksanaannya sejak fasa pertama PICK bermula pada 24 Februari 2021, yang menyaksikan frontliners menerima dos pertama vaksin tersebut.

Alhamdulillah, berkat kerja kuat dan perancangan baik serta usaha bersepadu kerajaan, kita mula menyaksikan roll-out Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya dilaksanakan malah melepasi sasaran yang ditetapkan.

Pada permulaan program ini, kira-kira 5,000 hingga 8,000 suntikan vaksin diberikan setiap hari. Kini kita telah berjaya meningkatkan suntikan vaksin harian sekitar 100,000 sehari.

Untuk tempoh dua bulan akan datang, kita akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin COVID-19. Dengan pertambahan bekalan vaksin ini, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka ini akan terus meningkat.

Usaha ini tidak dapat dijayakan tanpa perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat.

Daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemvaksin ataupun vaccinators, doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, RELA, APM dan para sukarelawan, SYABAS dan TERIMA KASIH atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara kita ini berjaya dilaksanakan.

Kepada mereka yang telah menerima vaksin dalam Fasa 1 dan 2 PICK, terima kasih juga saya ucapkan kerana telah memainkan peranan anda dalam usaha mengekang pandemik ini.

Kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur. Saya akui, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambahbaik program ini dari semasa ke semasa.

Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok.

Saya ingin tekankan, bahawa program vaksinasi COVID-19 ini sangat penting bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada risiko jangkitan yang lebih teruk dan menyelamatkan nyawa, seterusnya membantu proses menjana semula ekonomi negara.

Sehingga hari ini, kita telah memberikan lebih 3 juta suntikan dos vaksin, dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin COVID-19. Kini kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.

Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kita. Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain dan bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.

Bagaimanapun hasil persediaan awal kerajaan, kita telah berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.

Dalam tempoh terdekat ini, saya telah diberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba. Saya telah mengarahkan Menteri Penyelaras, YB Khairy Jamaluddin untuk memastikan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) ditambah di seluruh pelosok negara bagi mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian vaksin kepada anda semua.

Insya-Allah, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai. Namun begitu, ingin saya ingatkan, ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua.

Pada masa ini, lebih 280 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedang beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin. Sementara itu, sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, dewan-dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telahpun beroperasi.

Beberapa PPV mega juga telah diwujudkan dan jumlah ini akan terus ditambah dalam masa terdekat terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Lembah Klang, Johor, Penang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin.

Saya sendiri telah melawat beberapa PPV termasuk 2 PPV mega iaitu di WTC dan MITEC bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin ini. Dari maklumbalas yang saya terima ketika lawatan lawatan ke PPV ini, ramai yang menyambut baik usaha kerajaan untuk memvaksinasikan rakyat. Namun saya juga turut menerima cadangan cadangan konstruktif untuk memperbaiki proses vaksinasi di pusat pusat ini, dan perkara ini telah saya maklumkan kepada YB Khairy dan Menteri Kesihatan, YB Dato Seri Dr Adham Baba untuk diambil tindakan segera.

Untuk mempercepatkan lagi roll-out program vaksinasi, kerajaan juga telah melibatkan Pusat dan Klinik Perubatan Swasta dalam program vaksinasi kebangsaan ini. Pada penghujung Jun 2021, sebanyak 1,000 Klinik Perubatan Swasta atau PPVGP disasarkan akan terlibat dalam PICK.

Dalam pada itu bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini, kerajaan telah melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

Setakat 3 Jun, 9 negeri telah mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan, Sabah, daerah Gua Musang dan Pasir Puteh, Kelantan dan daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar Perak.

Di Pulau Pinang pula, kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di 8 rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor, setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri.

Kerajaan juga telah membuka PPV khusus bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti di Malaysian Association for the Blind di Brickfields bagi OKU penglihatan bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

Kementerian Wilayah Persekutuan telah memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan sasaran memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur terutamanya dikawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat dan Pusat Transit Gelandangan.

Peningkatan kapasiti ini diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, seterusnya mempercepatkan usaha kita untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Saya ambil maklum, keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin masing-masing. Oleh itu, saya telah mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin.

Sehingga hari ini, hampir 13 juta individu telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. Ini hanya 51% daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.

Saya juga mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin.

Untuk itu, saya telah mengarahkan semua Kementerian dan Agensi Kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset Kerajaan bagi mempermudahkan untuk mereka mendapat vaksin.

Saya juga telah meminta JKJAV untuk melihat semula proses pendaftaran vaksin agar dapat dipermudahkan lagi, termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi.

Sehubungan itu, saya ingin menyeru rakyat Malaysia agar tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin. Golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

Penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam pendekatan whole of government dan whole of society untuk kita mencapai 80% yang disasarkan untuk membentuk imuniti berkelompok.

Bagi yang telah menerima suntikan vaksin, jangan pula ambil mudah terhadap pemakaian pelitup muka dan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19.

Bersamalah kita memainkan peranan sebagai frontliners untuk keluarga dan juga komuniti kita. Jangan sesekali kita leka dalam peperangan menentang COVID-19 ini. Ayuh rakyat Malaysia, kita jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Lindung diri, lindung semua.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri