Teks Perutusan Sempena Hari Pekerja 2021

TEKS PERUTUSAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI

SEMPENA HARI PEKERJA 2021

1 Mei 2021|20 Ramadhan 1442

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

  1. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

  2. Alhamdulillah, saya ingin merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita diberikan kesempatan untuk menyambut Hari Pekerja pada tahun ini.

  3. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di Malaysia. Ini merupakan tahun kedua kita menyambut Hari Pekerja dalam keadaan sederhana, tanpa perhimpunan di peringkat kebangsaan sebagaimana biasa.

  4. Lebih setahun yang lalu, dunia mendepani cabaran pandemik COVID-19 yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Walaupun kini ramai di kalangan kita yang telah dapat membiasakan diri dengan norma baharu kehidupan, ancaman wabak ini masih lagi belum reda. Saya berharap agar saudara dan saudari akan terus cekal dan bersabar dalam mematuhi SOP untuk memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan.

  5. Tema sambutan Hari Pekerja pada tahun ini, “Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat” adalah bertepatan dengan keadaan semasa.

  6. Saya sedar bahawa selepas lebih setahun kita berdepan dengan wabak ini, ramai di kalangan saudara dan saudari sekalian yang masih bekerja keras membina semula kehidupan akibat wabak COVID-19.

  7. Kini kita berada di tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu untuk memperkasa (revitalize) ekonomi secara menyeluruh. Ini ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi demi kelangsungan masa hadapan saudara dan saudari sekelian, sama yang terjejas pendapatan mahupun yang kehilangan pekerjaan.

  8. Dalam mencapai hasrat ini, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat dan perniagaan serta melindungi ekonomi. Melalui PRIHATIN, PENJANA, PERMAI dan terkini PEMERKASA sejumlah lebih 300 bilion ringgit telah diperuntukkan dan pelbagai usaha Kerajaan untuk membantu golongan pekerja dalam mengekalkan pekerjaan dan menangani cabaran kadar pengangguran telah dilaksanakan melalui inisiatif di bawah PERKESO dan HRDF termasuk memperkukuh saringan kesihatan pekerja.

  9. Kerajaan juga berusaha untuk memastikan golongan pekerja mendapat manfaat daripada peruntukan yang besar pakej-pakej rangsangan ekonomi ini. Ini adalah untuk memastikan bukan sahaja nyawa rakyat dapat dilindungi, tetapi pekerja akan terus memperolehi perlindungan aspek ekonomi untuk meneruskan kehidupan.

    Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  10. Semenjak lebih setahun yang lalu, saya telah menggariskan 3 strategi utama bagi membantu meringankan beban saudara dan saudari, serta membantu warga pekerja secara khususnya dalam berdepan dengan kesukaran semasa akibat wabak COVID-19 ini. Strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.

  11. Strategi pertama yang telah saya tekankan ialah usaha Kerajaan untuk memastikan pekerja dapat kekal dalam pekerjaan dan mengekalkan sumber pendapatan. Inisiatif seperti penempatan pekerjaan yang lebih bersasar, program peningkatan kemahiran dan latihan semula termasuk digitalisasi serta pewujudan platform latihan yang mudah diakses secara dalam talian telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak, antaranya Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan dan PENJANAKerjaya di bawah PERKESO serta PENJANA HRDF. Kerajaan turut membelanjakan lebih 800 juta ringgit yang memanfaatkan pekerja dan majikan.

  12. Kerajaan juga terus berusaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam mempersiapkan kebolehpasaran untuk pekerjaan masa hadapan. Walaupun banyak institusi latihan terpaksa ditutup berikutan tempoh PKP, sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tetap diteruskan dan program latihan secara modular dan micro credentials diperluaskan.

  13. Sebagai salah satu usaha pendigitalan Kerajaan, hab e- pembelajaran baharu yang dikenali sebagai e-LATiH telah dibangunkan untuk membolehkan rakyat Malaysia mengakses secara percuma lebih 300 modul latihan pengembangan kemahiran yang disediakan berdasarkan keperluan industri Malaysia.

  14. Kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

  15. Strategi kedua Kerajaan ialah untuk membela hak saudara dan saudari sebagai warga pekerja dengan lebih baik. Ini dilakukan melalui usaha pembaharuan undang-undang buruh yang menyeluruh.

  16. Dalam hubungan ini, pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] telah dilaksana dan dikuatkuasakan selain penggubalan Ordinan Darurat (Pindaan) 2021 selaras dengan Proklamasi Darurat bagi membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya yang melibatkan kluster penginapan pekerja. Melalui Ordinan Darurat ini, pemakaian Akta 446 juga telah diperluas ke Sabah dan Sarawak.

  17. Selain itu, Kerajaan juga dalam proses untuk menambahbaik dan meminda undang-undang perburuhan contohnya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama 3 hari, menambahbaik amalan kerja dan kehidupan yang lebih seimbang (Work Life Balance) melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

  18. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan akan berusaha memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio- ekonomi semasa. Untuk tujuan ini, Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020 sedang dijalankan. Saya berharap dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan.

    Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  19. Strategi ketiga pula memfokus kepada usaha mencipta peluang pekerjaan. Dalam aspek ini kerajaan telah membentuk Majlis Pekerjaan Negara bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan yang selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu “Kesejahteraan Rakyat.”

  20. Melaluinya, hasrat Kerajaan untuk memulih dan merangsang sektor ekonomi dapat dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa, di samping mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara.

  21. Pelbagai inisiatif telah diambil oleh Kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia mempunyai peluang pekerjaan yang luas antaranya menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), “one-stop centre” UpskillMalaysia, HRDF Placement Centre (HPC) dan Karnival Pekerjaan secara bersasar.

  22. Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan ialah menerusi program Short-term Employment Program atau MySTEP. Di bawah program ini, para pemohon yang berjaya akan ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) secara kontrak. Sehingga 16 April 2021, seramai 30,377 orang telah pun berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP. Daripada jumlah ini, seramai 27,503 pemohon telah ditempatkan di sektor awam manakala 2,874 orang pula ditempatkan bersama GLC dan rakan- rakan strategiknya.

  23. Inisiatif ini disasarkan akan mengurangkan jumlah pengangguran, khususnya di kalangan lepasan universiti dan anak-anak muda kita.

    Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  24. Hasrat kerajaan juga adalah untuk memastikan kemakmuran negara dinikmati bersama tanpa ada sesiapa pun yang tertinggal. Sudah tentulah, warga pekerja seperti saudara dan saudari sebagai frontliners bidang ekonomi dan pembangunan negara mempunyai tugas peranan yang sangat penting untuk mencapai hasrat tersebut.

  25. Saya tidak nafikan walaupun banyak bantuan disediakan Kerajaan, masih juga terdapat golongan pekerja yang terjejas dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak COVID-19.

  26. Namun saya yakin bahawa rakyat Malaysia khususnya warga pekerja akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara kita. Peranan yang saudara dan saudari mainkan sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara selama ini adalah sangat penting dan dihargai kerajaan. Marilah kita teruskan usaha kita bersama untuk masa depan Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera.

  27. Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan juga ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada semua pekerja di sektor awam dan swasta, semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri