Kenyataan Media Mengenai Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB)

Kenyataan Media Pejabat Perdana Menteri

Mengenai

Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB)

Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Mesyuarat pertama MTKB telah diadakan pada 4 Mei 2021.

MTKB berperanan untuk menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini termasuk menetapkan sasaran, indikator makro dan KPI bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara yang akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030.

Keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang Menteri, 4 Ketua Jabatan, 2 Ketua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), 3 Wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India serta tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.

Antara tokoh-tokoh tersebut termasuklah Tan Sri Dato’ Seri Sulaiman Mahboob, Tan Sri Dato’ Azman Mokhtar, Datin Paduka Setia Dato Dr Aini Ideris, Datuk Dr. Asma Ismail, Dato’ Dr. Madeline Berma dan Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria.

Turut diwujudkan ialah Jawatankuasa Eksekutif Kemakmuran Bersama (JEKB) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof.

Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat MTKB.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
5 Mei 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri