Kenyataan Media Berkenaan Perbincangan Isu di Myanmar dan Palestin

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

Pada 27 Mei 2021, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PBB, TYT António Guterres. Kedua-dua mereka telah mengadakan perbincangan secara mendalam mengenai isu-isu berkaitan Myanmar dan Palestin.

YAB Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB sama-sama menyatakan rasa kesal dan bimbang mengenai situasi keselamatan di Myanmar yang tidak menunjukkan perkembangan yang positif. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain telah mengadakan pertemuan pada April yang lalu bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani krisis di Myanmar.

YAB Perdana Menteri berpandangan bahawa PBB dan ASEAN boleh bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani krisis politik di Myanmar, terutamanya melalui Five-Point Consensus yang telah dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin- Pemimpin ASEAN tersebut.

Malaysia juga telah memaklumkan bahawa pelantikan suatu Utusan Khas Pengerusi ASEAN sedang dimuktamadkan dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian secara damai demi kepentingan rakyat Myanmar.

YAB Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB juga bersetuju supaya semua pihak yang terlibat harus terus bekerjasama secara konstruktif dengan tujuan untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi di Myanmar.

Mengenai situasi di Palestin pula, YAB Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB telah menyatakan rasa dukacita di atas keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki. Malaysia mengutuk sekeras- kerasnya pencerobohan yang telah dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei yang lalu.

Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri telah menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan gencatan senjata oleh kedua-dua pihak, Israel dan pejuang Palestin di Gaza. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri telah menyatakan sokongan atas usaha PBB dan negara- negara yang terlibat supaya pihak yang bertelagah mematuhi gencatan senjata serta mencari jalan penyelesaian yang berkekalan bagi menamatkan konflik tersebut.

YAB Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB sepakat menyatakan bahawa penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin perlu dihentikan serta merta dan amat perlu untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keamanan yang berpanjangan untuk kedua-dua belah pihak. Atas dasar itu, YAB Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten bagi penubuhan (negara) Palestin yang bebas dan merdeka dari belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Sesi panggilan telefon tersebut yang dilakukan oleh Setiausaha Agung PBB ke atas YAB Perdana Menteri bagi membincangkan isu Myanmar dan Palestin jelas menunjukkan bahawa PBB mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia dalam isu Myanmar dan Palestin di peringkat antarabangsa.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
27 MEI 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri