Teks Ucapan Perasmian Majlis Peyampaian Dividen RISDA dan FELCRA Tahun 2021

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN PERDANA MENTERI
BERSEMPENA
MAJLIS PENYAMPAIAN DIVIDEN RISDA DAN FELCRA TAHUN 2021
AUDITORIUM SULTAN AHMAD SHAH, IBU PEJABAT RISDA
27 APRIL 2021 (SELASA)|16 RAMADHAN 1442

Yang Berhormat Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad
Menteri Pembangunan Luar Bandar

Yang Berhormat Dato’ Sri Hj. Abdul Rahman bin Mohamad
Timbalan Menteri (I) Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Yang Berhormat Datuk Henry Sum Agong
Timbalan Menteri (II) Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Yang Berhormat Dato’ Hj. Mohd Salim bin Mohd Sharif
Pengerusi RISDA

Kumpulan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Kumpulan Pengurusan Tertinggi RISDA

Kumpulan Pengurusan Tertinggi FELCRA Berhad

Yang Dikasihi Para Penerima Dividen dan Zakat Korporat

Rakan-rakan Media

Serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Luar Bandar Sejahtera,

  1. Apa khabar semua. Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

  2. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran sama-sama kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin serta rahmat-Nya, kita dapat bersua di Majlis Penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA tahun 2021 pada hari ini.

  3. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), RISDA dan FELCRA kerana telah mengundang saya bagi menyempurnakan majlis yang sungguh bermakna ini.

  4. Saya turut melahirkan rasa syukur dengan kejayaan KPLB menganjurkan majlis penyampaian ini yang mana membuktikan pihak RISDA dan FELCRA telah berjaya membangunkan kumpulan sasar luar bandar dengan gemilang. Tradisi ini merupakan penzahiran prinsip Kerajaan Perikatan Nasional untuk memastikan rakyat sentiasa mendapat faedah daripada hasil Negara dan dasar yang dirangka kerajaan.

Saudara Saudari yang dihormati sekalian.

  1. Sepertimana kita semua sedia maklum, komoditi tanaman getah dan sawit berperanan sebagai tanaman strategik, terutamanya bagi menyokong industri pembuatan produk dan antara sumber pendapatan utama Negara. Bukan itu sahaja, sektor ini juga telah menyumbang kepada membuka pelbagai peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan serta taraf hidup penduduk luar bandar.

  2. Saya pasti pelbagai kenikmatan dan kemudahan telah dikecapi oleh seluruh pekebun kecil RISDA dan peserta FELCRA di sepanjang pentadbiran kerajaan. Kini komitmen tersebut akan diteruskan untuk mencapai sebuah Negara yang cemerlang menerusi pertumbuhan ekonomi berpaksikan inisiatif PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA atau PENJANA dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi”. Justeru, nikmat kestabilan politik dan kemakmuran Negara harus dikekalkan untuk membina masa hadapan rakyat yang aman, makmur dan sejahtera.

  3. Menerusi pembentangan bajet tahun 2020 mahupun tahun 2021, Kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pekebun kecil RISDA dan peserta FELCRA. Saudara dan saudari semua adalah nadi komoditi getah dan sawit yang telah memainkan peranan paling utama dalam membangun, memajukan ladang serta memastikan pengeluaran hasil yang terbaik untuk keperluan industri.

  4. Menerusi KPLB, setiap tahun Kerajaan bukan sahaja menyalurkan bajet pembangunan yang besar untuk pembangunan masyarakat luar bandar malah kerajaan yang prihatin ini juga memandang serius kebajikan pekebun kecil yang ditimpa bencana. Pada tahun lalu, Kerajaan telah pun melancarkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil dan penoreh getah melibatkan peruntukkan RM129.8 juta dan Bantuan Khas COVID-19 dengan peruntukkan berjumlah RM64 juta.

  5. Saya pasti pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi RISDA dan FELCRA telah menumpukan pelbagai program untuk menentukan ianya benar-benar dapat memberi faedah kepada kumpulan sasar. Usahasama antara kedua agensi terutama menerusi penyampaian dividen yang telah lama dilaksanakan ini membuktikan salah satu kejayaan RISDA dan FELCRA dalam membangunkan tanah-tanah secara berkumpulan dan diurus secara komersial.

    Saudara- Saudari yang saya kasihi sekalian.

  6. Dalam usaha untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan menerusi penanaman getah, pada tahun ini Kerajaan melalui KPLB dan RISDA telah memperluaskan skop Bantuan Tanam Semula Getah. Pekebun kini boleh membuat permohonan untuk tanah kosong atau tanah selain bertanam getah. Keluasan tanah yang melayakkan bantuan ini adalah minimum 0.1 hektar hingga maksimum 5.0 hektar. Usaha ini bukan sahaja dilihat kepada peningkatan ekonomi pekebun kecil malah kerajaan mensasarkan pengeluaran getah Negara dapat ditingkatkan dengan memastikan keluasan tanaman getah kepada 1.1 juta hektar serta mengurangkan tanah terbiar yang tidak diusahakan.

  7. Di samping itu, bagi menyokong keperluan industri dan tidak hanya bergantung kepada pengeluaran getah skrap. Kerajaan menyediakan satu skim yang dikenali Skim Insentif Lateks (SIL) yang melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM 500 / hektar. Skim ini diperkenalkan bertujuan menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dan meningkatkan pendapatan sebanyak 30% berbanding penghasilan skrap.

  8. Usaha berterusan dilaksanakan bagi memelihara kebajikan pekebun kecil yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada industri getah Negara. Oleh itu, pada tahun ini Kerajaan sekali lagi menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT 2021) kepada seramai 232, 319 orang pekebun kecil yang melibatkan peruntukkan berjumlah RM 69.9 juta iaitu pembayaran RM 600 seorang pada kadar RM 300 untuk bulan Disember 2021 dan bulan Januari tahun 2022.

  9. FELCRA Berhad merupakan sebuah syarikat milik penuh Kerajaan yang bertanggungjawab untuk menguruskan kira-kira 1,217 projek di seluruh negara yang merangkumi 220,086 hektar bagi 112,337 peserta, dengan penanaman komoditi sawit, padi dan getah.

  10. Pada masa ini, walaupun harga komoditi sawit di pasaran sangat memberangsangkan, FELCRA terkesan dengan pandemik COVID-19 akibat kekurangan tenaga kerja mahir untuk menuai dan memungut hasil sawit di ladang-ladang di seluruh Negara.

  11. Demi menangani dugaan tersebut, FELCRA Berhad telah memulakan usaha sejak September 2020 untuk mewujudkan peluang pekerjaan sebagai Operator Penuaian kepada Modal Insan Tempatan di seluruh Negara, dengan komitmen 2,500 peluang sebegitu merangkumi 8 Wilayah Pengurusan FELCRA iaitu Utara, Timur, Perak, Pahang, Tengah, Johor, Sabah dan Sarawak.

  12. Buat masa ini, seramai 200 orang sudah pun menjalani latihan kemahiran yang diperlukan demi menjalankan tugasan sebagai Operator Penuaian dengan efisien dan efektif.

  13. Peluang ini juga terbuka kepada mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19 dan turut juga menyantuni mereka yang dipilih daripada program Orang yang Di Parol atau ODP. Ini adalah salah satu usaha untuk membantu mereka memulakan hidup baru dan mencapai kejayaan agar tidak terbelenggu dengan kisah silam mereka.

    Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  14. Alhamdulillah, walau diduga kekangan pandemik, FELCRA masih berjaya membayar agihan keuntungan yang diraih kepada para peserta.

  15. Demi mencapai matlamat tersebut, Warga Kerja Operasi FELCRA terus komited mempertingkatkan usaha komprehensif mereka untuk menangani tanggungjawab memastikan produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

  16. Pelbagai inovasi perladangan turut diperkenalkan termasuk mekanisasi dan automasi, demi memastikan kos pembangunan ladang- ladang milik peserta mencapai tahap efisien dan efektif selaras dengan pengeluaran komoditi tersebut.

  17. Alhamdulillah, bayaran agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 ini melengkapkan amalan pembayaran keuntungan tahunan sebanyak tiga (3) kali setahun iaitu bayaran Interim Pertama dalam bulan Ogos, bayaran Interim Kedua pada bulan Disember dan bayaran agihan akhir keuntungan pada bulan April,setelah akaun projek siap ditutup bagi tahun berkenaan.

  18. Maka dengan itu,dalam usaha Kerajaan membantu komuniti pekebun kecil RISDA dan FELCRA, saya bersyukur dan berbesar hati dapat umumkan bahawa, Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju menyelaraskan pengagihan dividen melalui RISDA dan FELCRA dengan jumlah keseluruhan RM189.08 juta.

  19. Melalui dividen RISDA seramai 16,080 orang pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan seramai 15,165 orang pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK) bakal menerima dividen tahun 2020 dengan jumlah RM82.03 juta melibatkan keluasan 39,430 hektar.

  20. Pada hari ini juga, saya difahamkan RISDA turut mengagihkan keuntungan zakat korporat kepada lebih 4,000 orang asnaf pekebun kecil dan institusi agama terpilih di seluruh Malaysia dengan nilai zakat berjumlah RM2.48juta.

  21. Alhamdulillah, 58,826 orang Peserta FELCRA Berhad di seluruh negara akan menerima agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 sejumlah RM107.053 juta secara berperingkat, bermula hari ini.

  22. Agihan Akhir Lebihan Keuntungan FELCRA 2020 yang diagihkan ini adalah hasil daripada keuntungan bersih dari 890 projek ladang-ladang milik peserta yang dimajukan oleh FELCRA. Bakinya, iaitu 327 projek adalah terdiri daripada projek yang belum berhasil dan dalam fasa tanaman semula.

  23. Tahniah dan syabas kepada KPLB, RISDA dan FELCRA atas kejayaan menyampaikan bantuan – bantuan yang amat bermakna untuk komuniti luar bandar ini.

  24. Harapan saya dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak mengurangkan beban ekonomi Para Pekebun Kecil RISDA dan Peserta FELCRA dalam mengharungi pandemik COVID-19 dan persiapan hari raya aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

  25. Adalah diharapkan dengan usaha-usaha kerajaan dan pelbagai bantuan yang disediakan ini, masyarakat luar bandar akan lebih bertambah maju dan berdaya saing. Saya akan sentiasa menyambut baik usaha – usaha KPLB dan agensi – agensi untuk memartabatkan kesejahteraan masyarakat luar Bandar.

  26. Akhir kata, saya doakan di bulan Ramadan ini dan berkat perancangan, usaha dan kesungguhan saudara dan saudari yang berterusan, mudah-mudahan sektor pertanian dan perladangan akan berdiri teguh dan menempa lebih banyak lagi kejayaan demi Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera, insya-Allah.

Dengan   lafaz   ’Bismillahirrahmanirrahim’    saya                 menyempurnakan Majlis Penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA tahun 2021.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri