Teks Ucapan Majlis Pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI

DI MAJLIS PELANCARAN

PERTANDINGAN KOMUNITI ZON HIJAU COVID-19

28 APRIL 2021|17 RAMADHAN 1442

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Redzuan Bin Md. Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)

Yang Berhormat Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)

Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)

Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Bin Abu Hassan
Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Jemilah binti Mahmood
Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri bagi Kesihatan Awam

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  1. Alhamdulillah, saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhana Wa Taala, kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya jua kita dapat bersama-sama hadir di majlis Pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 pada tengah hari ini.

  2. Sejak tercetusnya wabak COVID-19 lebih setahun yang lalu, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan demi memastikan usaha menyelamatkan nyawa rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat berjalan dengan sempurna dengan penglibatan semua lapisan masyarakat.

  3. Antara inisiatif yang penting ialah Program Pemerkasaan Komuniti yang telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada 29 Mac yang yang lalu.

  4. Matlamat utama program ini adalah untuk mengajak masyarakat agar bersama-sama bertindak bagi memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 serta mencegah peningkatan mendadak kes-kes jangkitan dalam komuniti. Matlamat ini boleh dicapai melalui penglibatan secara langsung anggota masyarakat sebagai frontliner atau petugas barisan hadapan dalam komuniti masing-masing.

  5. Selain pemantauan dan kawalan berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasa, seluruh warga komuniti mempunyai peranan penting untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Pematuhan SOP seperti mana yang sering diingatkan oleh Kerajaan adalah faktor utama yang membolehkan kita melindungi diri dan komuniti daripada jangkitan COVID-19.

  6. Lebih-lebih lagi pada masa ini dunia sedang berhadapan dengan gelombang baharu COVID-19. Terdapat varian baharu virus ini yang sedang menular dengan lebih cepat dan memberi kesan yang lebih buruk dari segi peningkatan kes yang lebih mendadak di beberapa buah negara. Kita sudah pastinya ingin mengelakkan penularan varian baharu ini di negara kita.

  7. Oleh sebab itu Kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas dalam membendung penularan Covid-19. Kawalan sempadan negara diperketatkan dengan menghalang kemasukan pelawat dari negara yang sedang dilanda varian baharu COVID-19. Tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar arahan kuarantin wajib.

  8. Namun, tindakan tegas Kerajaan sahaja tidak memadai. Yang lebih penting ialah anggota masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mematuhi semua peraturan dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan demi melindungi rakyat daripada bahaya virus SOP yang sentiasa diulang-ulang ialah pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal dan elakkan tempat yang sesak dan sempit.

  9. Dalam konteks ini, para pemimpin masyarakat juga mestilah faham dan peka terhadap semua SOP yang telah ditetapkan, bergantung kepada perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa di kawasan masing-masing. Ambil tahu program atau majlis-majlis yang akan diadakan oleh penduduk di kampung atau kawasan taman perumahan anda dan pastikan penganjuran program atau majlis betul-betul mematuhi SOP yang ditetapkan.

  10. Selain itu, saya juga ingin menggesa agensi-agensi penguatkuasa yang menjalankan pemantauan dan kawalan pematuhan SOP supaya menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah dalam memastikan masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan.

  11. Saya faham dan menginsafi kesusahan rakyat mencari punca pendapatan untuk menjamin kelangsungan hidup dalam situasi pandemik ini. Ada yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil- kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman ataupun hasil tanaman masing-masing. Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan.

  12. Jadi ketegasan itu penting untuk pastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa yang sama, perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang supaya usaha kita untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima. Hal ini sangat penting, terutamanya dalam situasi pandemik yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat.

  13. Saya berharap kerjasama dan persefahaman yang baik antara masyarakat dan pihak penguatkuasa akan mampu memperkasakan lagi komuniti untuk bersama-sama memastikan kejayaan membendung penularan jangkitan virus COVID-19 dapat dicapai. Sekiranya sikap saling mengingatkan ini diamalkan, insya-Allah saya yakin norma baharu dalam kehidupan dapat kita budayakan.

  14. Suhubungan itu pada hari ini, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan melalui Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipengerusikan bersama oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Ketua Setiausaha Negara telah bersetuju untuk melaksanakan Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 yang melibatkan komuniti bandar dan luar bandar di seluruh negara.

  15. Selain menggalakkan komuniti untuk membudayakan Norma Baharu, program ini juga bertujuan untuk memperkasakan peranan komuniti bersama-sama pihak Kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 dan seterusnya memastikan warga komuniti bebas daripada jangkitan COVID-19.
  1. Pertandingan ini akan diurusetiakan oleh NADMA dan dilaksanakan dalam 2 kategori, iaitu kategori komuniti bandar yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan komuniti luar bandar yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

  2. Kategori pertandingan komuniti bandar khusus kepada Perumahan Strata jenis flat, pangsapuri dan apartment, manakala kategori komuniti luar bandar terdiri daripada Kampung Tradisional, Rumah Panjang dan Kampung Orang Asal. Tema pertandingan ini ialah “Komuniti Perkasa, Negara Sejahtera”.

  3. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sejumlah RM1.7 juta bagi hadiah pertandingan ini, iaitu sebanyak RM50,000 dalam bentuk nilai projek pembangunan yang akan diberikan kepada Komuniti Zon Hijau COVID-19 yang dipilih sebagai pemenang.

  4. Antara projek pembangunan yang ditetapkan ialah naik taraf ruang rekreasi komuniti, baik pulih surau komuniti, membina perpustakaan komuniti dan lain-lain projek komuniti yang bersesuaian. Sebanyak 20 pemenang bagi kategori Luar Bandar, manakala 14 pemenang bagi kategori bandar akan dipilih di seluruh negara.

  5. Oleh itu, saya menyeru agar semua anggota masyarakat dapat menyahut cabaran dengan menyertai pertandingan ini. Insya-Allah, segala jerih perih, komitmen dan usaha pimpinan dan ahli komuniti di kawasan masing-masing untuk membenteras ancaman COVID-19 akan dapat diterjemah dan dihargai melalui pertandingan ini.

  6. Saya berharap agar kita akan terus berusaha dan berdoa agar ancaman wabak COVID-19 akan segera berakhir, dan semoga kita dapat kembali memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

  7. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum  warahmatullahi wabaraktuh. Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri