Teks Ucapan Bersempena Lawatan Ke Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) Dan Majlis Penyampaian Amanat di KPDNHEP

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

BERSEMPENA

LAWATAN KE PUSAT ARAHAN PENGUATKUASAAN (ECC)
DAN MAJLIS PENYAMPAIAN AMANAT DI KPDNHEP

23 APRIL 2021 (JUMAAT) 12 RAMADHAN 1442H

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

 Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

Yang Berhormat Dato’ Rosol bin Wahid

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

 Yang Berbahagia Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian;

Saudara saudari Warga Kementerian Yang Saya Hormati Sekalian.

PENDAHULUAN

  1. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat sentiasa. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya dapat saya bersama saudara dan saudari sekalian pada majlis hari ini. Saya merakamkan setinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjemput saya datang semula ke Kementerian ini yang pernah saya terajui sebagai Menteri dari tahun 1994 sehingga 2004.

  2. Walaupun terdapat beberapa perubahan dari segi skop tugas KPDNHEP, fungsi utama Kementerian ini selaku penjaga (custodian) kepada sektor perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan masih kekal sehingga ke hari ini dan menjadi semakin penting, terutama dalam berhadapan dengan situasi perubahan ekonomi global semasa.

PANDEMIK COVID-19 DAN TINDAKAN KERAJAAN

  1. Sejak lebih setahun yang lalu, seluruh dunia berhadapan dengan situasi luar jangkaan berikutan penularan pandemik COVID-19. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan tersebut, di mana kita berhadapan dengan cabaran yang memberi impak terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, di samping kegiatan ekonomi yang banyak terjejas. Aktiviti ekonomi yang hampir terhenti telah mengakibatkan kesan yang amat serius, yang mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan akibat penutupan tempat kerja, peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan dan bekalan barangan keperluan asas terjejas.

  2. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang besar terhadap kehidupan masyarakat sekarang, termasuk cara bekerja, cara belajar, cara menjalankan perniagaan dan sebagainya. Sehingga hari ini, kita terus menjalani kehidupan kita dengan menerapkan norma baru, iaitu pematuhan kepada SOP seperti menjaga jarak fizikal, memakai topeng muka dan sering mencuci tangan. Pandemik ini telah membuat kita menyedari bahawa untuk maju ke hadapan, kita harus melepaskan diri dari kehidupan yang biasa, dengan memperkenalkan pelbagai langkah yang efektif bagi mengurangkan impak pandemik terhadap rakyat dan ekonomi negara kita. Kini bukan lagi “business as usual”. Kini adalah masanya untuk percambahan idea baru dan menjadi lebih berinovasi.

  3. Justeru, di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional yang prihatin di mana saya selaku Perdana Menterinya, kita akan terus menerapkan langkah-langkah yang tepat bagi mencapai keseimbangan di antara melindungi nyawa serta mata pencarian rakyat kita yang terjejas akibat pandemik, dan melakukan segala upaya untuk menghidupkan kembali ekonomi dan mengembalikan rakyat kita ke pasaran kerja. Sejak dari awal pihak Kerajaan telah mengambil pendekatan yang menyeluruh iaitu 6‘R’ dalam mengimbangi antara kelangsungan hidup rakyat dan pemulihan ekonomi negara. Pada ketika ini, negara kita sedang berada dalam fasa ke-5 iaitu “Revitalise” atau memperkasa ekonomi negara.

  4. Aspek penting kepada pemulihan ekonomi negara adalah tahap kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang kini telah memasuki fasa kedua. Alhamdulillah segala perancangan program vaksinasi negara kini berjalan lancar dan sasaran kita ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia atau bersamaan dengan 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma menjelang Februari 2022. Langkah ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity. Justeru, dengan semakin ramai penduduk di Malaysia mendapat vaksin, saya yakin bahawa kita akhirnya akan dapat menangai wabak ini dengan berkesan. Pelaksanaan program imunisasi tersebut tentunya memberi sinar baharu dan manfaat besar dalam usaha negara memerangi pandemik ini.

  5. Di samping itu, pelbagai Pakej Rangsangan juga telah disediakan oleh Kerajaan. Baru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang bernilai RM20 bilion. Inisiatif ini merupakan kesinambungan pelan pemulihan ekonomi yang telah diperkenalkan sebelum ini seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), PRIHATIN PKS Tambahan, Kita Prihatin dan Pakej Bantuan PERMAI.

  6. Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu yang terbesar dalam sejarah negara. Hasilnya, negara kita berada di landasan yang tepat untuk merancakkan semula ekonomi negara dengan dipacu oleh sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan yang hampir kesemuanya telah dibenarkan beroperasi.

  7. Salah satu kaedah untuk mempercepat pemulihan ekonomi adalah dengan menggunakan teknologi baru. Pandemik ini menunjukkan pentingnya peningkatan dan pengukuhan teknologi dan infrastruktur digital kita untuk memudahkan pengurusan kerja. Ia juga telah menimbulkan rasa “urgency” atau pentingnya agenda kemasukan digital, untuk membolehkan berjuta-juta orang melakukan pekerjaan, menjalankan perniagaan, belajar dan berhubung secara digital.

  8. Melalui pelan MyDigital dan Rangka Tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia pula, antara sasarannya ialah untuk memacu transformasi digital sektor awam. Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam yang celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025.

  9. Dalam memastikan kelancaran blueprint tersebut, pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21 bilion untuk 5 tahun ke hadapan bagi melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi ini dengan mempercepat penyambungan digital negara melalui penyebaran akses mudah alih, akses fiber dan tanpa wayar, serta membuka jalan ke arah spektrum 5G. Kita yakin ia akan mendorong penggunaan teknologi dan transformasi digital dengan lebih hebat lagi di dalam semua bentuk aktiviti harian.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dalam lingkungan 6 hingga 7.5 peratus tahun ini. Pemulihan aktiviti domestik yang stabil, ditambah dengan peningkatan permintaan luaran, menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut. Bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tersebut, kerjasama dari semua pihak adalah amat penting bagi memastikan ekonomi negara kita terus berada pada landasan yang tepat. Oleh yang demikian, saya berharap agar warga KPDNHEP akan terus memainkan peranan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri, terutamanya berkaitan dengan perdagangan pengedaran bagi memastikan program dan gerak kerja ekonomi negara supaya sentiasa lancar dan dapat dirancakkan.

  2. Justeru, saya percaya bahawa saudara dan saudari mempunyai komitmen yang tinggi sebagai penjawat awam dalam membantu kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dalam usaha untuk mengekang penularan wabak ini dan memastikan kelancaran aktiviti perekonomian. Ini termasuklah tugas saudara-saudari dalam memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan pengedaran, yang dapat dilihat terutamanya semasa tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula bulan Mac 2020. Syabas diucapkan kerana kementerian ini telah berjaya menangani situasi pembelian panik (panic buying) dan memastikan bekalan barangan keperluan asas, pelitup muka dan “hand sanitizer” adalah mencukupi sewaktu tempoh tersebut.

  3. Saya juga menghargai usaha Kementerian untuk terus membantu komuniti perniagaan. Saya difahamkan bahawa pihak Kementerian telah menambahbaik proses dan juga peraturan berkaitan Ease of Doing Business bagi memudahcara proses-proses perniagaan. Ternyata langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian telah memberi kesan positif dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang.

  4. Tidak ketinggalan, dengan inisiatif daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada syarikat-syarikat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, seperti pelanjutan masa bagi penyerahan beberapa dokumen utama untuk memastikan lesen pernigaan terus kekal sah, menaikkan nilai ambang keberhutangan, pelanjutan masa sehingga tiga bulan selepas berakhir PKP untuk syarikat mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pengecualian kompaun atas kelewatan pembaharuan pendaftaran perniagaan – kesemuanya telah dapat membantu syarikat-syarikat perniagaan. Inisiatif-inisiatif sebegini amatlah dihargai oleh para peniaga dan benar-benar telah memberi impak positif dalam membantu aliran tunai dan memastikan survival perniagaan mereka.

  5. Alhamdulillah, Kerajaan Perikatan Nasional yang telah mencapai usia lebih dari setahun ini berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran negara. Pakej-pakej Rangsangan Ekonomi yang bernilai lebih dari RM300 bilion atau lebih 20 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah diharapkan untuk dapat meringankan beban rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, sekaligus memastikan agar proses pemulihan ekonomi dapat terus dilaksanakan.

Saudara-saudari sekalian,
KERAJAAN PRIHATIN DAN FOKUS KEPADA ISU RAKYAT

  1. Kerajaan menyedari tindakan sebilangan pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan dengan sewenangnya menaikkan harga barangan keperluan pada musim-musim tertentu. Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar banyak keluhan dari rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan keperluan utama apabila datangnya bulan Ramadhan dan kelak apabila menjelangnya musim perayaan. Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil.

  2. Tindakan pihak Kerajaan melalui KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 21 April 2021 adalah salah satu langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadhan dan menjelang Hari Raya AIdilfitri kelak.

  3. Walaubagaimana pun, saya ingin melihat supaya KPDNHEP dan lain-lain agensi Kerajaan berkaitan barganding bahu mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani isu tersebut dan melakukan pemantauan serta penguatkuasaan yang berterusan. Pihak kerajaan perlu memastikan supaya aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan. Pada masa yang sama, rakyat juga diseru memainkan peranan aktif untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan.

FOKUS KEMENTERIAN TAHUN 2020 DAN 2021

  1. Tidak dinafikan, penularan wabak COVID-19 telah memberikan kesan kepada ekonomi negara, di mana pada tahun 2020, ekonomi telah menguncup sebanyak 5.6 peratus. Kadar pengangguran pula direkodkan sebanyak 4.8 peratus, iaitu seramai lebih kurang 760,000 individu kehilangan pekerjaan pada suku ke-empat tahun 2020. Namun begitu, kita harus bersama-sama bergading bahu dan bangkit untuk terus menggerakkan momentum ekonomi negara bagi memastikan pertumbuhan yang lebih memberangsangkan.

  2. Biarpun terkesan dengan pelaksanaan PKP pada tahun 2020 dan awal tahun 2021 ini, saya pasti masih ada beberapa pencapaian yang boleh menjadi kebanggaan di peringkat Kementerian ini. Antaranya termasuklah penggunaan e-dagang secara meluas, terutamanya dalam sektor perdagangan pengedaran. Penggunaan platform atas talian juga telah membolehkan perniagaan untuk terus bertahan dan kembali beroperasi dengan rancak bagi memberi perkhidmatan kepada pengguna di sepanjang tempoh PKP tersebut.

  3. Pada masa yang sama, penyediaan dokumen Standard Operating Procedures (SOP) bagi sektor Perdagangan Pengedaran semasa tempoh pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan oleh KPDNHEP dengan gandingan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan antara pencapaian yang boleh dibanggakan oleh warga Kementerian. Penghasilan SOP ini telah membolehkan aktiviti perniagaan diteruskan oleh lebih 170 kategori perniagaan runcit dan borong dalam keadaan yang terkawal dan selamat.

  4. Saya juga menyambut baik akan program-progam yang sedang dijalankan oleh KPDNHEP ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negara. Pelaksanaan program seperti “Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia” (KBBM) dan “Program Jualan Malaysia” (PJM) yang bermatlamat menggalakkan dan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan telahpun membuahkan hasil, di mana sektor perdagangan pengedaran telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.248 trilion pada tahun 2020. Ini jelas membuktikan bahawa pelaksanaan program secara bersasar oleh Kerajaan dapat membantu ke arah pemulihan ekonomi negara ke tahap yang pernah kita kecapi sebelum bermulanya pandemik ini.

  5. Saya turut dimaklumkan bahawa KPDNHEP akan terus menggerakkan agenda pendigitalan secara meluas pada tahun ini, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk bergerak ke arah ekonomi digital, dengan mengambil kira keperluan norma baharu yang perlu kita lalui. Saya sangat mengalu-alukan inisiatif yang bakal dilaksanakan ini dan berharap ianya akan dapat diterjemahkan kepada aktiviti yang dapat meningkatkan pendapatan negara, terutamanya dalam konteks pembangunan perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan serta sektor borong dan runcit perniagaan yang dikawal selia di bawah KPDNHEP.

Saudara-saudari sekalian,

HARAPAN KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL

  1. Tahun 2020 telahpun berlalu dan kita telahpun membuka tirai tahun 2021 dengan lembaran baharu yang menjanjikan masa hadapan yang lebih baik menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari 2021 yang lalu. Dengan jangka masa pelaksanaan selama satu tahun melalui tiga Fasa Pemberian Vaksin, saya ingin menggalakkan warga Kementerian agar bersama-sama membina herd immunity negara dengan mendaftar dan mengambil vaksin tersebut tanpa perasaan ragu-ragu bagi membolehkan aktiviti harian diteruskan pada masa akan datang.

  2. Agenda pemulihan ekonomi negara juga akan diteruskan. Kerajaan telahpun menetapkan sepuluh (10) asas penting bagi menentukan hala tuju negara pada masa hadapan, merangkumi teras pemulihan ekonomi, merancakkan pertumbuhan ekonomi, pendidikan, reformasi sektor kesihatan, agenda Bumiputera, jaminan makanan, integriti, keselamatan dan ketenteraman awam, perpaduan serta pendigitalan Malaysia. Bagi tujuan ini, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang telah diletakkan sebagai paksi dasar yang mempunyai matlamat untuk memastikan rakyat Malaysia mencapai decent standard of living menjelang tahun 2030.

  3. Saya juga difahamkan bahawa KPDNHEP baru-baru ini juga telah melancarkan dokumen Perancangan Strategik Lima tahun Kementerian bagi tahun 2021 hingga 2025, yang akan memberi fokus terhadap pembangunan perdagangan dalam negeri yang progresif, mampan dan pendaya-upayaan pengguna. Saya berharap inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah Pelan Strategik tersebut dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam sektor perdagangan dalam negeri.

Saudara-saudari sekalian,

PENUTUP

  1. Saya menyeru semua warga KPDNHEP untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam merealisasikan agenda pemerkasaan sektor perdagangan dalam negeri, dan pada masa yang sama, memartabatkan agenda pemerkasaan dan perlindungan hak pengguna. Ia pasti bukan satu tugas yang mudah, tapi saya amat yakin dengan kebolehan dan iltizam anda semua. Saya percaya kementerian ini akan terus teguh mendepani cabaran dan meneruskan perjuangan bagi memenuhi keperluan rakyat serta memulihkan ekonomi negara. Anda adalah frontliners pemulihan ekonomi dan kesejahteraan pengguna.

  2. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KPDNHEP yang hadir pada hari ini. Marilah bersama-sama kita berdiri teguh dan bersatu untuk menghadapi cabaran yang akan datang dan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Sekian.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri