Teks Ucapan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2021

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

BERSEMPENA

MAJLIS PELANCARAN
BULAN WAKAF KEBANGSAAN TAHUN 2021

13 APRIL 2021 (SELASA) 1 RAMADHAN 1442H

Bismillahirahmanirrahim
Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Yang Berhormat Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Yang Berusaha Tuan Haji Ruslan bin Said
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji

Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Amir bin Shaharuddin
Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Waqaf Malaysia

Ketua-ketua Setiausaha Kementerian

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri

Ketua-ketua Majlis Agama Islam Negeri

Yang Berusaha Encik Adnan bin Mat
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam

Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Rani Lebai Jaafar
Pengerusi Bank Rakyat

Yang Berbahagia Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat

Yang Berusaha Encik Ismitz Matthew De Alwis
Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif Kenanga Investors Berhad

Tan Sri, Datuk, Tuan, Puan dan Hadirin Sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat Wal afiat.

1. Alhamdullilah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat bersama-sama pada pagi ini untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021, bertemakan “Wakaf untuk Kemakmuran Bersama”.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji atau JAWHAR kerana sudi menjemput saya untuk melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan pada hari yang mulia ini.

3. Saya juga ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah di sepanjang bulan Ramadan ini. Semoga dengan keberkatan awal Ramadan amalan kita akan beroleh rahmat dan pandangan kasih sayang Allah Subhana Wa Taala dalam usaha untuk beroleh ketakwaan di bulan agung ini, insyaaAllah.

4. Jika kita selusuri sirah dan sejarah Islam, begitu banyak kisah-kisah berkaitan ibadah wakaf, termasuklah wakaf Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam serta para sahabat baginda. Antara kisah hebat adalah peristiwa Saidina Umar menyerahkan tanahnya yang subur di Khaibar, Saidina Uthman membeli seterusnya mewakafkan telaga Rawmah untuk memenuhi keperluan penduduk, Abu Talhah menafkahkan harta tercintanya iaitu kebun Biyarha’ serta Masjid Quba dan Masjid Nabawi dibangunkan di atas tanah yang diwakafkan.

5. Wakaf terus berkembang dengan hebatnya di zaman kegemilangan Islam termasuklah sewaktu zaman Khalifah Uthmaniah sehingga wujudnya begitu banyak universiti, sekolah, hospital dan fasiliti-fasiliti berasaskan wakaf. Ianya diteruskan dengan ikon-ikon wakaf yang hebat dan amat membanggakan. Antara yang termasyhur adalah Universiti Al-Azhar, yang dibangunkan serta diurus dengan menggunakan konsep wakaf secara keseluruhan. Dan sehinggalah ke hari ini, kesinambungan perkembangan pembangunan wakaf diteruskan dan berjalan dengan jayanya.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, semua urusan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Di bawah Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, Majlis Agama Islam Negeri adalah pemegang amanah tunggal bagi semua hartanah wakaf.

7. Kerajaan mengiktiraf kuasa negeri-negeri dalam aspek pengurusan dan pembangunan hartanah wakaf. Untuk menyokong dan memperkukuhkan aspek ini, Kerajaan Persekutuan juga memberikan penekanan terhadap peranan dan sumbangan wakaf dalam setiap Rancangan Malaysia Lima (5) tahun negara. Ini sebagai contoh dizahirkan melalui penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada tahun 2004 dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) pada tahun 2008, yang bertujuan menjadi pelengkap kepada usaha Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

8. Penubuhan kedua-dua agensi ini juga disusuli dengan beberapa inisiatif baharu wakaf yang diumumkan dalam belanjawan tahunan negara. Menerusi pembentangan Belanjawan 2021, Kerajaan terus komited untuk memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Pelan Induk Wakaf Nasional atau PIWN akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan.

9. Pelan ini adalah untuk memastikan peranan wakaf dapat terus diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Ini diharapkan akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat, tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan. Oleh sebab itu saya berharap agar penglibatan semua pihak sama ada masyarakat, agensi Kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan dapat dioptimumkan demi memperkasakan peranan wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi negara.

10. Di kesempatan ini, saya ingin ucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air atau KASA kerana telah mengambil tindakan segera untuk menyokong inisiatif ini. Saya dimaklumkan bahawa pihak KASA dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia telahpun melancarkan Tabung Wakaf Perkhidmatan Air atau Wakaf Air pada 17 Disember 2020 yang lalu bertujuan membantu menyediakan perkhidmatan bekalan air yang baik kepada pihak yang memerlukan.

11. Begitu juga dengan penglibatan syarikat-syarikat termasuklah GLC dan GLIC. Saya juga dimaklumkan terdapat dua institusi yang telah merangka produk baru, yang disinergikan dengan elemen wakaf iaitu:

12. Yang pertama adalah pewujudan Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan iaitu unit amanah yang dilancarkan hasil kerjasama Kenanga Investors Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia. Dana yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melabur dengan pengurus dana profesional sambil berwakaf dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan masyarakat di seluruh negara.

13. Penyaluran aset wakaf hasil dari pulangan pelaburan akan meliputi projek-projek yang bersifat pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 atau Sustainable Development Goals 2030.

14. Kerjasama kedua adalah di antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Bank Rakyat. Menerusi kerjasama dalam meningkatkan tabungan dana wakaf, Bank Rakyat yang merupakan Bank Koperasi Islam Terbesar di Malaysia, telah memberi komitmen untuk menyumbangkan dana wakaf sebanyak RM1 juta sebagai ‘matching grant’ di mana bagi setiap ringgit yang disumbangkan oleh pewakaf individu ke platform yang disediakan oleh Bank Rakyat, Bank Rakyat akan mewakafkan pada nilai yang sama kepada Dana Wakaf Tunai ini. Ini adalah revolusi wakaf hasil cetusan sinergi sektor korporat yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan wakaf di Malaysia.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Untuk memastikan wakaf berperanan sebagai salah satu elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara, sokongan dan penglibatan semua masyarakat, sama ada secara individu atau organisasi amat diharapkan. Justeru, ke arah mencapai hasrat ini, tanpa menidakkan hakikat bahawa Majlis Agama Islam Negeri-negeri adalah pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri-negeri, saya menggariskan empat (4) perkara utama yang perlu diberi perhatian.

16. Pertama, meningkatkan tabungan dana wakaf bagi membolehkan banyak lagi aset wakaf diwujudkan. Bagi tujuan ini, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan serta Agensi di peringkat Persekutuan perlu merangka inisiatif bagi menggalakkan pegawai dan kakitangan di bawah tanggungjawabnya untuk berwakaf secara tunai, terutamanya secara berkala melalui potongan gaji.

17. Bagi tujuan ini, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara telahpun meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri melalui kod 4474. Begitu juga dengan institusi-institusi perbankan dan kewangan dalam membantu mempelbagaikan lagi platform berwakaf. Institusi-institusi kewangan Islam seharusnya menjadikan wakaf sebagai elemen yang menjadi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan kewangan mereka.

18. Kedua, menjadikan pembangunan hartanah wakaf sebagai salah satu elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Lima (5) tahun negara. Dalam konteks ini, GLC, GLIC, badan korporat bersama-sama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam mereka-negeri perlu mengenalpasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset-aset wakaf.

19. Ketiga, memperhebatkan lagi aktiviti pembudayaan dan sosialisasi wakaf ke arah mewujudkan masyarakat celik wakaf. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji dan Yayasan Waqaf Malaysia perlu bersama-sama merangka pelan pembudayaan yang holistik dan komprehensif, yang akan dilaksanakan di peringkat Nasional dan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

20. Oleh yang demikian, saya berharap agar Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji selaku Jabatan di peringkat persekutuan yang telah diiktiraf penubuhannya sejak tahun 2004 akan terus meningkatkan hubungan baik dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri bagi memastikan pentadbiran harta wakaf, zakat dan urusan haji Umat Islam menjadi lebih sistematik, cekap dan berkesan.

21. Keempat, Yayasan Waqaf Malaysia khususnya perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya dapat benar-benar menjadi contoh teladan pentadbiran wakaf yang terkehadapan di peringkat antarabangsa. Saya berharap melalui peranan institusi-institusi berkaitan wakaf di Malaysia, kita boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam yang lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

22. Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji dan Yayasan Waqaf Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri agar wakaf dapat berperanan aktif dan efektif untuk membangunkan taraf sosioekonomi ummah. Bagi memastikan tumpuan khusus masyarakat dapat diberikan terhadap kehebatan wakaf, Bulan Ramadhan dijadikan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan.

23. Ini bukanlah bermaksud, untuk berwakaf perlu menunggu di bulan Ramadhan, tetapi kita akan merancakkan lagi aktiviti wakaf di bulan ini ke seluruh pelusuk Malaysia. Semoga setiap aktiviti yang dirancang di sepanjang Bulan Wakaf kebangsaan Tahun 2021 ini akan dapat memenuhi hasrat amal jariah pewakaf dan beroleh ganjaran serta rahmat Ilahi.

24. Akhir kata, saya merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji dan Yayasan Waqaf Malaysia di atas penganjuran Bulan Wakaf kebangsaan Tahun 2021 ini.

25. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacita melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaaan Tahun 2021.

26. Sekian Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri