Teks Amanat Sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214

TEKS AMANAT

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

SEMPENA
PERBARISAN SAMBUTAN
PERINGATAN HARI POLIS KE-214
TAHUN 2021

PADA 25 MAC 2021 (KHAMIS) JAM 8.30 PAGI
DI DATARAN KAWAD PULAPOL KUALA LUMPUR

Yang Berhormat
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin
Menteri Di Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia
Tan Sri Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia
Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM
Panglima Angkatan Tentera Malaysia

Yang Dihormati
Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador,
Ketua Polis Negara

Yang Berhormat
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Timbalan Menteri Dalam Negeri I

Yang Berhormat
Tuan Jonathan Yasin
Timbalan Menteri Dalam Negeri II

Yang Berbahagia
Datuk Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

Yang Dihormati
Deputi Inspektor Jeneral
Dato’ Sri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani
Timbalan Ketua Polis Negara

Yang Dihormati
Datuk Seri, Dato’ Sri, dan Dato’- Dato’
Pengarah Jabatan PDRM

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri
Dato Sri – Dato Sri,
Datuk – Datuk,
Pegawai-Pegawai Kanan PDRM,
Dif-Dif Jemputan,
Wakil-Wakil Media,
Seterusnya Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Hadirin Sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan kehendak-Nya jua, maka kita dapat bertemu dan berhimpun pada pagi yang berbahagia ini bagi meraikan sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 tahun 2021.

2. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, terlebih dahulu saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas segala khidmat dan pengorbanan, yang dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara ini.

3. Terlebih dahulu, marilah kita membaca dan meniatkan pahala bacaan surah Al-Fatihah kepada mereka yang telah gugur sebagai wira-wira negara, dan berdoa semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT.

Al-Fatihah.

4. Sesungguhnya pengorbanan, dedikasi dan khidmat bakti seluruh warga pasukan PDRM akan terus dihargai dan dikenang oleh negara dan seluruh rakyat Malaysia serta generasi kita yang akan datang.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

5. Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah institusi penting yang selama ini telah berjaya menjalankan fungsinya iaitu memastikan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan di dalam negara sentiasa terjamin.

6. Dalam usianya yang kini menjangkau 214 tahun, PDRM telah berjaya mengadaptasi dengan cemerlang melalui beberapa siri transformasi dan pembaharuan dari semasa ke semasa bagi memastikan PDRM kekal relevan mengikut peredaran zaman.

7. Sejajar dengan kemajuan era teknologi canggih, terkini dan dunia tanpa sempadan, kerajaan sedar bahawa PDRM pada hari ini berdepan dengan cabaran-cabaran yang lebih kompleks dan rumit berbanding ancaman jenayah tradisional pada waktu dahulu,

8. Sungguhpun begitu, berbekalkan jati diri, profesionalisme dan keupayaan yang tinggi dalam kalangan anggota PDRM, saya yakin bahawa pasukan PDRM mampu mematahkan serta membenteras kegiatan jenayah yang semakin kompleks.

9. Dalam konteks ini, saya juga percaya bahawa masih wujud ruang pemerkasaan yang luas untuk pasukan PDRM meningkatkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh warga PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan ini.

JENAYAH RENTAS SEMPADAN

10. Sehubungan itu, bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, kerajaan baru-baru ini telah bersetuju untuk meletakkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di bawah tanggunganjawab PDRM.

11. Menerusi AKTA Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, AKSEM adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang melaksanakan kawalan di sempadan darat negara terhadap kegitan penyeludupan atau kegiatan tidak sah yang lain.

12. Langkah ini bertujuan bagi menstruktur semula dan memperkasakan strategi kawalan sempadan negara secara holistik bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat kekal terpelihara.

13. Kerajaan percaya strategi meletakkan peranan AKSEM di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) ia bakal menyekat pencerobohan masuk warga asing ke dalam negara dengan lebih berkesan dan efisien, terutamanya ketika penularan pandemik COVID-19.

14. Pada kesempatan ini, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM bersama agensi dan jabatan kerajaan lain yang telah mengawal sempadan negara daripada dibolosi oleh warga asing dalam beberapa operasi berterusan yang dijalankan seperti OP PASIR dan OP BENTENG.

15. Lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan telah dikerahkan untuk penugasan OP COVID-19, PDRM tetap berjaya mengimbangi keutamaan perkhidmatan pasukan memerangi jenayah serta mengekalkan rasa selamat dalam kalangan rakyat sekaligus memastikan keamanan negara. Mereka adalah antara “the real frontliners” yang telah bertungkus lumus mengekang penularan COVID-19.

Saudara dan saudari sekalian,

JALAN KE HADAPAN

16. Bergerak kehadapan bagi mendepani cabaran serta ancaman moden yang mencabar, selain melengkapkan pasukan PDRM dengan aset, peralatan dan senjata canggih serta terkini, PDRM juga harus memperkasakan keupayaan anggota dalam menguasai perundangan negara.

17. Oleh yang demikian, bagi memperolehi pendedahan dan perkongsian yang lebih global dan terkini, PDRM harus mempertingkatkan lagi penyertaan anggota serta pegawai PDRM dalam latihan, kursus atau persidangan yang dianjurkan bukan hanya di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.
18. Kolaborasi dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa yang dijalinkan oleh PDRM selama ini mampu meletakkan pasukan keselamatan negara ini sebaris dengan pasukan keselamatan dari negara luar seperti Scotland Yard, Royal Military Police United Kingdom dan Hong Kong Police Force.

19. Bagi membina pasukan penguatkuasaan undang-undang yang kukuh dan utuh, penerapan nilai disiplin dan integriti perlu dititikberatkan dalam pembinaan sahsiah anggota PDRM.

20. Selain itu, untuk meningkat prestasi pasukan, semua anggota PDRM harus mempunyai sifat sense of belonging kepada pasukan dan rasa tanggungjawab yang tinggi kepada amanah yang digalas

21. InsyaAllah, berbekalkan niat yang ikhlas dan kerjasama berpasukan yang jitu, saya yakin dan percaya keupayaan pasukan PDRM dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara akan dapat terus dipertingkatkan serta nama baik PDRM akan kekal harum dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari sekalian,

KEBAJIKAN ANGGOTA

22. Walaupun negara sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, kerajaan tetap prihatin menjaga kebajikan dan komited untuk terus melindungi warga PDRM.

23. Bagi tahun ini, kerajaan telah bersetuju untuk memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), tidak kira sama ada kepada penerima pingat yang sedang bertugas atau sudah bersara daripada perkhidmatan.

24. Pemberian imbuhan ini akan dimanfaatkan oleh lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan.

25. Selain itu, bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah daripada penjenayah ataupun orang yang tidak bertanggungjawab, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan atau body-worn camera bagi kegunaan anggota PDRM.

26. Dengan penggunaan kamera badan berteknologi tinggi dan canggih, saya percaya moral dan keyakinan anggota PDRM dapat dipertingkatkan semasa melakukan operasi dan penugasan yang telah ditetapkan.

Saudara dan saudari sekalian,

27. Secara tuntasnya, Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya.

28. Sungguhpun ia melibatkan kos tambahan kepada kerajaan, namun kerajaan akan tetap menimbangkan sekiranya wujud keperluan peruntukan bagi memperlengkapkan pasukan polis.

29. Dalam konteks menjaga keamanan negara, bebanan ini tidak sepatutnya diletakkan atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata.

30. Menyedari betapa besarnya agenda memerangi dan membanteras jenayah ini, maka saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi membanteras apa juga usaha dan tindakan anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.

31. Sebelum mengakhiri ucapan, di kesempatan ini saya sekali lagi mengucapkan selamat menyambut peringatan hari polis ke-214. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua.

32. Semoga warga PDRM akan terus meningkatkan semangat serta iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited dan dedikasi demi menjaga keselamatan, kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri