Teks Ucapan Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TRANSKOM)

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN
PELAN TRANSFORMASI KOPERASI MALAYSIA 2021-2025 (TRANSKOM)

SELASA, 30 MAC 2021
MANDARIN ORIENTAL KUALA LUMPUR

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar,
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet;

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;

YBhg. Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Haji Samsudin,
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

Yang Berbahagia Dato’ Suriani binti Dato’ Ahmad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

Yang Berbahagia Datuk Nordin bin Salleh,
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia;

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan;

Datuk-Datuk, Tuan, Puan dan Para Media; serta

Seluruh warga kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Gerakan Koperasi yang saya kasihi.

1. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat sentiasa. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya dapat saya bersama saudara dan saudari sekalian bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 – 2025 atau TransKoM pada hari ini.

2. Gerakan Koperasi mempunyai peranan yang penting dalam pembangunan sosioekonomi sesebuah negara kerana perjuangannya untuk memenuhi keperluan manusia (human needs) adalah signifikan dalam sistem kapitalis yang kompetitif. Beribu-ribu koperasi di seluruh dunia mengeluarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk dipasarkan dan ini menentukan kedudukan sosial serta membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.

3. Evolusi koperasi di Malaysia bermula dengan pelan ekonomi dan pembangunan yang direncanakan oleh Kerajaan sejak Pelan Malaysia Pertama 1966-1970. Koperasi merupakan antara entiti sosio-ekonomi utama yang berjaya meningkatkan kesejahteraan anggotanya melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan. Gerakan koperasi juga telah membantu negara membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi bagi melahirkan sebuah masyarakat yang makmur dan sejahtera.

4. Menyedari akan kepentingan tersebut, transformasi secara menyeluruh ke atas Gerakan Koperasi perlu dilaksanakan bagi memperkasa dan memantapkan peranannya supaya terus mampan dalam menghadapi cabaran abad ke-21. Gerakan koperasi perlu dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan zaman digitalisasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

5. Aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah menggariskan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang terus membangun secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif. Justeru, Gerakan Koperasi sebagai institusi bumiputera berpendapatan rendah terbesar adalah silver bullet kepada objektif yang ingin dicapai dalam WKB2030.

6. Malah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 telah merangka strategi khusus untuk pemerkasaan Gerakan Koperasi bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara, yang seterusnya akan menyumbang secara langsung kepada hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.

7. Saya difahamkan, Gerakan Koperasi di Malaysia pada ketika ini dianggotai lebih kurang 6.1 juta orang, yang majoritinya terdiri daripada golongan B40. Jumlah ini mewakili hampir 20% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Kita juga maklum objektif Gerakan Koperasi adalah untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada semua anggotanya di mana Gerakan Koperasi merangkumi 68 kumpulan sasar seperti Koperasi Penduduk, Koperasi Ibu Tunggal, Koperasi Belia, Koperasi Siswa, Koperasi Pekerja dan Koperasi Usahawan. Sekiranya kesemua Gerakan Koperasi ini bergerak secara proaktif dan bersepadu, tentu sekali setiap anggotanya akan menerima manfaat dan peningkatan dari segi taraf sosioekonomi. Impak ini sangat besar kepada negara. Justeru, wajarlah Gerakan Koperasi menjadi wahana dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi rakyat bagi mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

8. Peranan dan sumbangan yang diberikan oleh Gerakan Koperasi adalah amat besar. Pada tahun 2022, ia akan menyambut ulang tahun yang ke-100 dan saya percaya Gerakan Koperasi akan terus kukuh dan relevan selagi mana ia beradaptasi dan membuat penyesuaian dengan arus perubahan semasa.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

9. Kita akui bahawa pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020 telah menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara. Sepertimana pemain industri yang lain, sektor koperasi juga merupakan antara yang terkesan khususnya dari segi ekonomi dengan pengurangan nilai perolehan dan pemberhentian pekerja yang sekaligus memberi impak sosial kepada anggota gerakan koperasi. Misalnya, bagi tahun 2020, perolehan koperasi di Malaysia dianggarkan berkurang kepada RM35 bilion, berbanding RM45.79 bilion pada tahun 2019.

10. Alhamdulillah, pada masa ini negara kita sedang dalam tempoh pemulihan. Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tentunya memberi sinar baharu dan manfaat besar dalam usaha negara memerangi pandemik ini. Di samping itu, pelbagai Pakej Rangsangan telah disediakan oleh Kerajaan antaranya Kita Prihatin, PENJANA dan PERMAI, yang bakal membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menyuntik pertumbuhan semula ekonomi negara. Melalui inisiatif PEMERKASA yang saya umumkan baru-baru ini, sejumlah 50 juta ringgit di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah diperuntukkan untuk membantu lebih 14,000 koperasi melalui insentif pembiayaan sehingga 100 ribu ringgit tanpa cagaran.

11. Pandemik COVID-19 juga telah mengajar kita semua untuk bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Semangat kerjasama ini juga merupakan prinsip asas Gerakan Koperasi. Peranan yang dimainkan oleh koperasi dalam mengenal pasti anggota yang terjejas dan menghulurkan bantuan yang diperlukan mencerminkan keprihatinan koperasi kepada masyarakat. Tahniah saya ucapkan.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

12. Kerajaan sememangnya komited dalam menyediakan hala tuju strategik dan dinamik untuk memulihkan semula ekonomi, termasuklah bagi sektor koperasi. Saya kira inilah masa yang sesuai untuk melaksanakan langkah transformasi bagi memperkasa Gerakan Koperasi di Malaysia, sebagai pemangkin atau catalyst kepada pertumbuhan sosioekonomi Malaysia yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan.

13. Saya yakin bahawa koperasi adalah pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Konsep koperasi yang berpaksikan prinsip inklusiviti dan keterangkuman, dengan mencipta keuntungan melalui aktiviti milikan bersama, adalah bersesuaian untuk diaplikasikan dalam situasi ekonomi pada masa ini.

14. Justeru, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 – 2025 atau TransKoM yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini adalah bertepatan dalam menjadi paksi transformasi kepada Gerakan Koperasi di Malaysia. Saya yakin pelan ini yang telah menggariskan sebanyak 5 bidang tujahan, 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti, akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing. Ia seterusnya akan menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

15. Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sektor koperasi terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, ANGKASA serta Gerakan Koperasi agar memberikan kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam melaksanakan anjakan transformasi yang dibawa melalui TransKoM 2021-2025 ini.

16. Saya mahu kesemua 14,668 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia menjadi aktif dalam perniagaan koperasi untuk sama-sama meningkatkan prestasi ekonomi negara. Koperasi-koperasi yang tidak aktif dan dorman harus bangkit dan bersama-sama menjadi agen transformasi koperasi Malaysia.

17. Pandemik COVID-19 juga secara tidak langsung telah mendorong kita semua untuk mengadaptasi norma baharu dalam semua aspek kehidupan. Justeru, kita perlu peka dan bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik, lebih produktif dan lebih kompetitif. Di samping itu, Gerakan Koperasi juga perlulah mengadaptasi digitalisasi dan norma baharu dalam operasi perniagaan dan sistem penyampaian masing-masing untuk kekal kompetitif dan relevan dalam era pasca Covid-19.

18. TransKoM juga mensasarkan penubuhan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi bertaraf universiti yang mengkhususkan kepada pendidikan koperasi dan keusahawanan. Institusi ini akan bertindak sebagai platform bagi membentuk generasi peneraju baharu gerakan koperasi yang berpengetahuan dan mempunyai kemahiran perniagaan dan keusahawanan.

19. Saya juga menyeru supaya lebih ramai generasi muda terutamanya golongan belia serta graduan malahan siswazah untuk turut sama menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasakan Gerakan Koperasi kerana golongan ini merupakan pelapis dalam memacu pembangunan sosioekonomi negara. Penglibatan aktif serta komitmen anggota-anggota dalam koperasi pula adalah kritikal bagi kelangsungan dan penentu kejayaan koperasi.

20. Saya juga ingin melihat Dasar Koperasi yang telah tamat pada tahun 2020, diperbaharui supaya ia menjadi suatu dasar yang kondusif dan inklusif bagi memastikan koperasi-koperasi negara terus diperkasakan dan tidak lagi berada di takuk lama.

21. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:

Kalau tanam buah kurma,
Jangan bibit disimpan di kamar,
Kalau ingin makmur bersama,
Bangunlah koperasi baik dan benar.

22. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri