Teks Ucapan Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YANG AMAT BERHORMAT
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI
MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

MAJLIS PELANCARAN DASAR PERHUTANAN
MALAYSIA SEMPENA
SAMBUTAN HARI HUTAN ANTARABANGSA
PERINGKAT KEBANGSAAN
PADA 21 MAC 2021 (AHAD) DI TAMAN BOTANI, FRIM

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli

Yang Amat Berhormat Menteri-menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri

Yang Berhormat Datuk Ali Biju
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli

Yang Berbahagia Datuk Zurinah Pawanteh
Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Ridza Awang
Ketua Pengarah
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

Yang Berbahagia Datu Hamden Hj Mohammad
Pengarah
Jabatan Hutan Negeri Sarawak

Yang Berusaha Encik Frederick Kugan
Ketua Konservator Hutan
Jabatan Perhutanan Negeri Sabah

Wakil-wakil Diplomatik

Wakil-wakil Persatuan Industri Perkayuan dan NGO

Dif-dif kehormat dan hadirin sekalian. Apa khabar semua?Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1.Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wataala kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia bersempena dengan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2021.

2.Kita sangat bertuah keranaSambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 peringkat kebangsaan pada hari inidiadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia atau FRIM. Kawasan yang dahulunya merupakan sebuah kawasan terosot dan bekas kawasan lombong yang telah mengalami proses transformasi yang kini berjaya mewujudkan persekitaran hutan semula jadi. Saya difahamkan usaha-usaha restorasi dan penghutanan (aforestation) telah bermula sejak tahun 1926. Syabas kepada FRIM kerana telah menyemarakkan keindahan dan keunikan hutan bandar seperti yang sama-sama dapat kita lihat pada hari ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

3. Kita bersyukur, Hutan Kita di Malaysia adalah antara yang terkaya di dunia. Kepelbagaian spesies tumbuhan dan hidupan liar di Hutan Kita adalah jauh lebih kaya jika dibandingkan dengan saiz kawasan yang sama di tropika Afrika atau Amerika. Hutan Kita merupakan aset semula jadi yang amat berharga kepada pembangunan sosioekonomi serta perkhidmatan ekosistem termasuk menjadi habitat kepada jutaan spesies flora dan fauna, menyedia sumber bekalan air yang bersih danoksigen untuk kelangsungan hidup serta menstabilkan iklim.

4. Menyedari kepentingan hutan dalam menjamin kesejahteraan hidup kita dan masyarakat dunia, Malaysia terus komited dalam menjaga, memelihara dan memulihara Hutan Kita. Berdasarkan laporan oleh Food and Agriculture Organization(FAO), Malaysia adalah antara 25 negara sedang membangun yang mempunyai litupan hutan yang tinggi dan kegiatan penyahutanan yang rendah atauhigh forest cover and low deforestation activities.

5. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri tadi, sehingga tahun 2018, negara kita mempunyai 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok.Daripada keluasan itu, 43.6 peratus adalah di Semenanjung Malaysia, 64.5 peratus di Sabah dan 62.3 peratus di Sarawak.Peratusan ini adalah lebih tinggi daripada kebanyakan negara Eropah termasuk Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom.

6. Bagi mencapai hasrat untuk menjadi negara maju, sememangnya pembangunan tidak dapat dielakkan. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, pelbagai usaha telah diambil bagi memenuhi komitmen yang diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazildengan mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

7. Daripada keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia, hanya 1.7 peratus adalah kawasan hutan terosot. Walau bagaimanapun, Kerajaan amat serius dalam pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan dalammelaksanakan program restorasi. Sejak tahun 2016,seluas 1,859 hektar kawasan terosot telah dipulihkan dengan peruntukan sebanyak RM152.82 juta.

8. Pada tahun ini pula, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM34.5juta untuk kerja-kerja restorasi hutan terosot di seluruh negara. Saya menyeru Kerajaan-kerajaan Negeri melipatgandakan usaha untuk memulihkan kawasan hutan terosot melalui nature-based solutions terutamanya dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar.

9. Sesungguhnya kos bagi mengekalkan dan memelihara kawasan hutan di Malaysia adalah sangat besar. Mengikut anggaran, sebanyak RM6 bilion diperlukan bagi tujuan ini. Ke arah ini, pelbagai instrumen kewangan khusus telah diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan termasukEcological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation, Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional danTabung Amanah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan di bawah Kerajaan-kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia.

10. Sungguhpun demikian, instrumen kewangan sedia ada masih belum mencukupi bagi menampung peruntukan yang amat besar tersebut. Menyedari hakikat ini, pada tahun 2020, Jemaah Menteri telah bersetuju meluluskan penubuhan Malaysia Forest Fund (MFF)yang merupakan entiti yang akan menguruskan mekanisme kewangan khusus untuk sektor perhutanan serta melaksanakan mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries(REDD Plus).

11. Saya yakin usaha-usaha yang akan dilaksanakan oleh MFF akan membuka peluang kepada badan korporat, pihak swasta dan institusi kewangan untuk bersama-sama terlibat sebagai rakan strategik dalam aktiviti konservasi hutan melalui instrumen-instrumen pensijilan karbon iaitu Forest Conservation Certificates (FCC) dan Forest Carbon Offsets (FCO). FCC dan FCO yang dikeluarkan oleh MFF adalah berdasarkan keperluan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) yang pastinya akan memberi kelebihan kepada badan-badan korporat dari segi penerimaan pengguna dan meningkatkan akses pasaran.

12. MFF dijangka akan membawa masuk dana sebanyak USD100 juta dalam tempoh 7 tahun akan datang yang seterusnya akan disalurkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri khusus untuk usaha-usaha konservasitermasuk perhutanan sosial yang akan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi Orang Asli/Orang Asal dan komuniti setempat.

13. Penglibatan sektor swasta dalam usaha untuk memulihara dan mengurus khazanah negaramelalui pensijilan karbon akan dapat meningkatkan IndeksEnvironmental, Social and Governance (ESG) syarikat dan bukan sahaja terhad semata-mata sebagai satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility).Malah aspek pelaporan kelestarian (sustainability report) dalam bidang perniagaantelahpun menjadi satu keperluan sektor swasta pada masa kini.Saya amat berharap pihak swasta akan mengambil peluang ini untuk bekerjasama sebagai rakan strategik MFF ke arah meningkatkan lagi usaha-usaha konservasi Hutan Kitasecara kolektif.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

14. Saya menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri dalam mewartakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar iaitu Hutan Simpanan Kekal, kawasan perlindungan, Rizab Hidupan Liar dan kawasan berkepentingan antarabangsa seperti Tapak RAMSAR danTapak Manusia dan Biosfera(MAB). Saya menyeru Kerajaan-kerajaan Negeri mempertingkatkan usaha mewartakan dan mengekalkan kawasan-kawasan berhutan terutamanya kawasan koridor ekologi Central Forest Spine(CFS) dan Heart of Borneo(HoB).

15. Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang sedang dimuktamadkan turut memberi penekanan kepada CFS bagi menjamin kesinambungan landskap hutan menerusi penubuhan koridor ekologi baharu. Pendekatan ini berupaya mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta membolehkan pergerakan bebas hidupan liar khususnya spesis-spesis ikonik negarayang diancam kepupusan. Sekiranya tindakan luar biasa atau extra ordinary actions tidak dilakukan sekarang, negara pasti akan kehilangan spesies ikonik terutamanya Harimau Malaya buat selama-lamanya. Justeru, saya menyeru Kerajaan-Kerajaan Negeri mengambil tindakan untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

16. Seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri sebentar tadi, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 pada 29 Januari 2021 telah menyaksikan penyatuan julung kalinya semua negeri di Malaysia dalam bidang pengurusan perhutanan negara yang telah menjangkau usia 120 tahun. Pada mesyuarat tersebut, semua Kerajaan Negeri telah bersetuju dan menerima Dasar Perhutanan Malaysia yang menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran-cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.

17. Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara. Saya berharap agar usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang telah dihasratkan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

18. Saya menyambut baik komitmen Kerajaan-kerajaan Negeri untuk meningkatkan litupan hutan di bawah Rancangan Struktur Negerimasing-masing. Kerjasama strategik Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta adalah penting dalam merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan. Bagi menyokong hasrat ini, saya telah melancarkan “Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” di seluruh negara dengan sokongan Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada 5 Januari yang lalu.

19. Kempen yang bertemakan“Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” atau “Greening Malaysia: Our Trees, Our Life” itu telah merekodkan penanaman lebih 4 juta pokok dan 400 spesies oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu, organisasi-organisasi Kerajaan dan syarikat swasta. Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ingin menyeru sekali lagi supaya semua pihak melipatgandakan usaha untukbersama-sama menjayakan Agenda Nasional Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.
20. Pada hemat saya, sumber kekayaan baharu daripada hutan perlu terus diterokai dan dimanfaatkan melalui pemantapan aktiviti R&D sektor perhutanan. Kerajaan-kerajaanNegeri disarankan supaya mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan dan seterusnya memperkasakan pelaksanaan Forest Beyond Timber sepertiekopelancongan, industri herba dan farmaseutikal.

21. Usaha untuk menggalakkan penyertaan Orang Asli/Orang Asal dan komuniti setempat melalui program Perhutanan Sosial sewajarnya diberikan tumpuan. Saya amat bangga dengan kejayaan yang telah dicapai melalui penglibatan komuniti dalam pengurusan hutan secara bersama antara Jabatan Perhutanan Sabah dan kaum Dusun di Hutan Simpan Kelawat. Melalui Perhutanan Sosial, kaum Dusun yang terlibat telah berjayameningkatkan 3 hingga 4 kali ganda pendapatan isi rumah iaitu melebihi RM1,000 sebulan.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

22. Saya difahamkan bersama-sama kita di majlis ini ialah wakil-wakil diplomatik. Untuk itu, saya akan menyampaikan sedikit ucapan dalam Bahasa Inggeris.

Your Excellencies, Ladies and Gentlemen,

23. It gives me great pleasure towelcome representatives from foreign embassies to the Forest Research Institute Malaysia (FRIM) and also our distinguised guests attending this event virtually. I thank you for your presence and support. The beautiful green scenery you see today is a lush man-made forests established from degraded and tin mining areas.

24. Being a megadiverse country, Malaysia is not spared from facing challenges in the management of biodiversity. Like all other nations, the world is facing real issues and challenges such as habitat loss, species extinction and inadequate financial resources to sustain and manage biodiversity. Recognising these complex challenges, the Ministry of Energy and Natural Resources, through a concerted effort with the Forestry Department of Peninsular Malaysia, Sabah Forestry Department and the Forest Department of Sarawak has developed a comprehensive Malaysia Policy on Forestryoutlining pragmatic strategies and action plans to be implemented throughout Malaysia. Malaysia Policy on Forestry is a testimony of our seriousness in conserving and managing our forest responsibly and sustainably.

25. As evident now, climate change is real and it is serious, thus tackling climate change is a shared responsibility of every citizen of the world. In this regard, the establishment of the Malaysia Forest Fund (MFF),aimed at enhancing collaborative strategic partnership amongst Federal government, State governments and the private sector in generating funds through the REDD Plus Finance Framework (RFF) for forest conservation and sustainable management activities. The carbon certificates in the form of Forest Conservation Certificates (FCC) and Forest Carbon Offsets (FCO) based on UNFCCC requirements, issued by MFFcan be used primarily by the private sector to achieve their sustainable needs and their climate ambitions.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

26. Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya menzahirkan ucapan terima kasih khususnya kepada Kerajaan-kerajaan Negeri atas komitmen yang dipamerkan terhadap Dasar Perhutanan Malaysia. Saya amat yakin sektor perhutanan Malaysiatelah melangkah ke satu era yang baharu dalam mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri demi kepentingan negara, rakyat dan khazanah Hutan Kita.

27. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya melancarkan Dasar Perhutanan Malaysia dan selamat menyambut Hari Hutan Antarabangsa 2021.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri