Teks Ucapan Pelancaran Saluran TV Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI

PELANCARAN SALURAN TV PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

17 FEBRUARI 2021 8.00 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari serta seluruh ahli keluarga berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wataala kerana dengan izin dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama pada hari ini sempena pelancaran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang akan mula bersiaran pada hari ini, 17 Februari 2021.

2. Kerajaan sedar bahawa pendidikan merupakan antara sektor yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu. Keadaan ini merupakan satu situasi yang sukar sehinggakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil keputusan menutup sekolah semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

3. Apabila sekolah ditutup, pastinya pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah tidak dapat dilaksanakan. Namun begitu, KPM komited untuk terus menyediakan akses pendidikan kepada lebih 5 juta murid bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan.

4. Justeru, Kerajaan melalui KPM memperkenalkan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar pembelajaran dapat dilaksana secara berstruktur dan terancang. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dari rumah seperti secara dalam talian, luar talian dan off-site. PdPR mula dilaksanakan semasa PKP pada 18 Mac 2020 dan telah ditambah baik mengikut kesesuaian. Dalam hal ini, KPM sentiasa menekankan bahawa apa jua pendekatan yang digunakan mestilah mengikut kesesuaian guru dan murid.

5. Kerajaan juga sedar bahawa murid-murid terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar ataupun kawasan pedalaman. Oleh yang demikian, kita perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat. Ini kerana sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai dan juga faktor kekangan akses kepada internet.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa dalam situasi sukar ini. Sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran serta bagi

membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, KPM telah menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7.

7. Siaran TV pendidikan secara terestrial yang mula disiarkan sekitar tahun 1972 telah melalui pelbagai evolusi dalam aspek kandungan siaran dan kaedah penyampaian. Pada 1 Mac 2008, TV Pendidikan secara terestrial telah ditukar kepada format dalam talian melalui portal EduwebTV dan seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009.

8. Namun demikian, KPM telah mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Ini sebagai usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen.

9. Baru-baru ini saya berkesempatan menonton slot ‘Road to Success SPM 2020’ bagi subjek Matematik Kertas 1 oleh Cikgu Arzman Saad. Antara yang menarik perhatian saya adalah cara penyampaian guru yang begitu kreatif serta mudah diterima dan difahami oleh murid. Saya juga difahamkan bahawa guru yang dijemput untuk mengajar adalah daripada kalangan guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing supaya kualiti pengajaran yang disampaikan untuk murid adalah pada tahap yang terbaik. Program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan.

10. Saya percaya dan yakin ramai dalam kalangan warga pendidik kita mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif. Tahniah kepada guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa jua keadaan.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

11. Kerajaan sedar akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini, termasuk hal berkaitan pendidikan anak-anak. Justeru, Kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.

12. Hari ini terukir satu sejarah di mana kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari. Ini merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

13. DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.

14. Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa. Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.

16. Akhir kata, besarlah harapan saya agar saluran DidikTV KPM yang mula bersiaran pada hari ini akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

17. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullan hiwabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kajian Kepuasan Pelanggan