Teks Ucapan Majlis Pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021 – 2030

PMO

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN
PELAN PEMERKASAAN KEPIMPINAN KOMUNITI RUKUN TETANGGA 2021-2030
DAN
ANUGERAH PERDANA RUKUN TETANGGA 2021

28 FEBRUARI 2021 (AHAD)


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Yang Berhormat Datuk Halimah Binti Mohamed Sadique Menteri Perpaduan Negara

Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker Timbalan Menteri Perpaduan Negara

YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi
Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara

Seluruh warga kerja Kementerian Perpaduan Negara, serta saudara dan saudari yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersua secara maya sempena Majlis Pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 pada hari ini.

2. Seperti saudara-saudari sedia maklum, Kementerian Perpaduan Negara yang ditubuhkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada bulan Mac 2020 telah diberi mandat sebagai pemacu agenda perpaduan nasional. Dalam tempoh setahun ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kementerian untuk memastikan agenda perpaduan negara dapat dilaksanakan secara berkesan.

3. Baru-baru ini, saya juga telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 atau DPN, iaitu sebuah dasar komprehensif yang menggariskan hala tuju perpaduan negara menerusi 3 teras perpaduan dan disokong oleh 12 strategi. Saya ingin ucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Perpaduan Negara di atas inisiatif ini dan berharap agar DPN ini akan memperkukuh usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, makmur dan sejahtera.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

4. Peranan Rukun Tetangga yang telah ditubuhkan pada tahun 1975 merupakan komponen penting dalam memastikan hasrat perpaduan negara dapat diperkukuhkan. Bermula dengan aspek yang memberi fokus terhadap keselamatan dan keamanan, fungsi Rukun Tetangga kemudiannya telah diperluaskan kepada konsep kejiranan.

5. Saya difahamkan pada masa ini terbanyak sebanyak 8,274 buah Kawasan Rukun Tetangga atau KRT di seluruh negara dengan jumlah keahlian seramai 248,220 orang. Saya menyambut baik peningkatan penubuhan KRT ini kerana ia adalah petunjuk baik yang membuktikan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan peranan Rukun Tetangga.

6. Cabaran yang kita hadapi semenjak dunia dilanda wabak COVID-19 lebih setahun yang lalu telah menyerlahkan kepentingan Rukun Tetangga di kalangan masyarakat. Bertepatan dengan semangat dan amalan Kita Jaga Kita, saudara dan saudari telah menunjukkan semangat kekitaan yang tinggi dan sentiasa saling bantu-membantu di dalam komuniti masing-masing dalam mendokong segala usaha kerajaan untuk memerangi wabak ini.

7. Saya berharap semangat kesukarelawanan ini dapat terus diperkasakan melalui penglibatan bersama Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk, NGO-NGO, pemimpin komuniti serta generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan supaya ia dapat dibudayakan dalam komuniti kita.

8. Sehubungan dengan itu, bagi memperkukuhkan usaha ini, saya dengan sukacita ingin mengumumkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021. Saya berharap agar Pelan tindakan ini dapat memperkasa peranan KRT di peringkat akar umbi menerusi kerjasama pihak kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

9. Di sini saya ingin berkongsi 4 Agenda Kerja KRT yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga iaitu:

Pertama, Agenda Kerja KRT Selamat yang akan digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berperanan untuk meronda dan mengawal mana-mana premis atau lokasi di Kawasan Rukun Tetangga dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kedua, Agenda Kerja KRT Sihat. Agenda ini akan memberi penekanan kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti hasil kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Ketiga, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah pula menumpukan kepada program pembersihan dan pengindahan di kawasan komuniti dengan sokongan Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah pelaksanaan Program Local Agenda 21.

Dan keempat, Agenda Kerja KRT Sejahtera untuk mengenal pasti kumpulan rentan seperti ibu tunggal, golongan kelainan upaya, warga emas dan golongan kurang berkemampuan dan memberi bantuan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Projek Ekonomi Rukun Tetangga dan Program Sayangi Komuniti.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

10. Peranan Rukun Tetangga perlu sentiasa didokong sebagai agen dan penggerak usaha untuk menyatupadukan rakyat. Oleh sebab itu, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk bersama-sama mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera. Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional.

11. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada semua pemenang Anugerah Perdana Rukun Tetangga pada hari ini. Anugerah Perdana Rukun Tertangga bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada KRT yang cemerlang.

12. Saya berharap Anugerah ini akan menjadi penyuntik semangat kepada seluruh KRT untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti masing-masing agar saudara-saudari dapat menjadi role model kepada anggota Rukun Tetangga yang lain.

13. Akhir kata, sekali lagi syabas saya ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri Perpaduan Negara, seluruh warga kerja Kementerian Perpaduan Negara dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.

14. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri