Teks Ucapan Majlis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030

TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI

MAJLIS PELANCARAN DASAR PERPADUAN NEGARA DAN RANGKA TINDAKAN (BLUEPRINT) PERPADUAN NEGARA 2030
15 FEBRUARI 2021

Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis,

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Perpaduan.

Yang Berhormat Datuk Halimah Binti Mohamed Sadique
Menteri Perpaduan Negara,

Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker
Timbalan Menteri Perpaduan Negara,

YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi
Ketua Setiausaha
Kementerian Perpaduan Negara,

Dif-dif kehormat, saudara dan saudari sekalian,

Serta seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat sentiasa.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersua secara maya pada pagi ini bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030.

2. Perpaduan merupakan hasrat semua negara di dunia. Imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik, berbilang agama dan berbilang budaya sering dijadikan contoh rujukan sebuah negara yang bersatu-padu. Walaupun adakalanya wujud perbezaan, persaingan dan konflik, tetapi kesepaduan sosial yang telah wujud sekian lama dalam masyarakat telah mengekalkan perpaduan kita sehingga ke hari ini menjadikan negara-negara lain ingin belajar dari kita.

3. Perpaduan rakyat Malaysia dapat kita lihat dengan jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah. Di kala negara masih berdepan dengan gelombang COVID-19, kita telah saksikan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Berbekalkan slogan #KitaJagaKita, rakyat bersama-sama bersatu membantu Kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

4. Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana kita bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan. Kita patriotik kerana kita inginkan keharmonian dan idamkan perpaduan dalam negara yang kita cintai ini.

5. Tahniah rakyat Malaysia di atas perpaduan ini! Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita pada masa-masa akan dating, InsyaAllah.

6. Dalam tempoh negara berdepan dengan wabak COVID-19 ini, saya sedar bahawa ramai di kalangan kita juga telah menunjukkan sifat empati sesama kita. Kita saksikan ramai rakyat Malaysia menzahirkan merupakan keupayaan individu atau kumpulan untuk memahami sentimen, aspirasi, kebimbangan, cita-cita, individu atau kumpulan yang lain.

7. Dalam krisis COVID-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan atau frontliners telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. Sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat kita. Sifat ini membantu usaha kita mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan.

8. Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu. Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media.

9. Selain itu, kita juga harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik. Ini merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang berbilang kaum. Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan.

10. Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah kita kecapi ini demi matlamat peribadi. Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan. Di bawah kepimpinan YB Datuk Halimah Mohamed Sadique dan YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Kementerian ini menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan.

11. Sejak mula ditubuhkan Kementerian Perpaduan Negara terus bekerja keras bagi memperkukuh perpaduan. Hasilnya ialah sebuah Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif yang saya akan lancarkan pada hari ini.

12. Seiring dengan dasar yang digubal, Kementerian turut menghasilkan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 yang menyokong strategi-strategi dalam Dasar Perpaduan Negara serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Tahniah! Kementerian Perpaduan Negara atas pencapaian ini.

13. Saya juga suka menekankan bahawa usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku. The quest for unity is a journey not a destination. Justeru kita semua mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya, bukan sahaja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kita kelak.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

14. Penggubalan Dasar Perpaduan Negara adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dasar Perpaduan Negara adalah selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa.

15. Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara. Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada Raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian. Tidak kiralah samada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri-ciri yang wajib kita hayati.

16. Kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara. Maka ‘Perpaduan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity) yang berteraskan ‘model integrasi’ inilah yang kita hasratkan untuk rakyat Malaysia. Ini kerana berdasarkan sejarah, kita rakyat Malaysia telah menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya. Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian ini, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara ini perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan.

17. Menyedari hakikat tersebut, Dasar Perpaduan Negara, berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, telah menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat. Tiga (3) objektif utama yang ditetapkan dalam dasar ini ialah:

(i) Mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara;

(ii) Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; dan

(iii) Melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

18. Bagi memastikan objektif ini tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting.

Saudara saudari sekalian yang saya kasihi sekalian,

19. Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perpaduan Negara ini adalah dasar kita bersama. Kita semua adalah agen perpaduan negara. Kita yang akan membawa aspirasi ini ke hadapan. Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat kita untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini.

20. Saya mendoakan agar negara kita akan terus makmur dan kekal kukuh sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni. Subur dan kukuhkanlah perpaduan dalam kepelbagaian yang kita miliki selama ini.

21. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030.

22. Dengan itu, saya sudahi ucapan ini dengan lafaz Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kajian Kepuasan Pelanggan