Kenyataan Media mengenai Mesyuarat Kali Kedua Majlis Pekerjaan Negara

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin pada hari ini telah mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC) secara sidang video. Mesyuarat pada kali ini dihadiri secara maya oleh 10 tokoh dari sektor korporat, industri dan pendidikan yang telah dilantik secara tetap iaitu:

i. YBhg. Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Pengerusi Petronas merangkap Pro-Canselor Universiti Teknologi Petronas
ii. YBhg. Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional;
iii. Tengku Muhammad Taufik, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas;
iv. YBhg. Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby;
v. YBhg. Dato’ Dr Syed Hussain bin Syed Husman, Presiden Malaysian Employers Federation;
vi. Encik K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia;
vii. Encik Chee Hong Lee, Pengarah Urusan Infineon Technologies (Malaysia);
viii. Encik Sean Goh, Pengarah Urusan Grab Malaysia;
ix. YBhg. Datuk Michael Kang Hua Keong, Pengerusi Nasional SME Association of Malaysia; dan
x. YBhg. Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai, Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM); 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memberi laporan situasi semasa ekosistem pekerjaan negara manakala Agensi LAKSANA memberi laporan bagi status kemajuan pelaksanaan program-program yang telah bermula di bawah inisiatif NEC.

Melalui koordinasi rapat di antara Kerajaan dan industri, dianggarkan lebih 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan bagi tahun 2021 melalui komitmen pelaburan (committed investment). Kerajaan mengalu-alukan tawaran Federation of Malaysian Manufacturers dan SME Association of Malaysia untuk bekerjasama bagi mengatasi kadar pengangguran melalui inisiatif di bawah Belanjawan 2021 terutamanya Peningkatan Kemahiran dan Pendigitalan.

NEC disokong oleh Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang telah bersidang sebanyak dua kali, melibatkan penyertaan pihak akademia dan swasta termasuk wakil golongan pekerja, belia, persatuan dan dewan perniagaan. Pasukan Petugas Khas (STF) telah membentangkan strategi bagi menangani isu pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan bagi mencapai objektif berikut:

a. Pemadanan modal insan berdasarkan permintaan industri;
b. Meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi; dan
c. Memperkasakan kerjasama di antara pihak akademik dan industri.

Walaupun negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan optimis sasaran yang ditetapkan dapat dicapai memandangkan strategi yang dirangka turut mengambil kira kepatuhan terhadap pelaksanaan PKP dan norma baharu. Antara inisiatif dengan norma baharu adalah penganjuran sebanyak 200 sesi webinar serta 180 sesi temuduga secara dalam talian. Pelbagai promosi turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat seterusnya memanfaatkan peluang yang ditawarkan. Setiap STF juga akan bekerjasama dengan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap pelaksanaan bersifat inklusif.

Rakyat yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ yang merupakan pusat hentian setempat dan rujukan utama bagi inisiatif berkaitan pekerjaan. Terdapat lebih daripada 200,000 peluang pekerjaan ditawarkan untuk pencari kerja dengan proses pemadanan calon dan industri turut disediakan. Selain itu, portal ini bertindak sebagai pusat sehenti bagi maklumat dan capaian inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula, khidmat nasihat dan juga program semasa berkaitan pekerjaan.

PEJABAT PERDANA MENTERI
9 FEBRUARI 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri