Perutusan Khas YAB Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021

TEKS PERUTUSAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI

PELANCARAN (SECARA DALAM TALIAN)
PROGRAM KEMISKINAN BANDAR (5MY)
WILAYAH PERSEKUTUAN
SEMPENA SAMBUTAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2021

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Tan Sri Annuar Musa,
Menteri Wilayah Persekutuan

YB Dato’ Sri Dr. Santhara J.P,
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Yang Berbahagia Datuk Hajah Rosida Jaafar,
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan

Seluruh penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang saya kasihi sekalian. Apa khabar semua? Saya doakan semuanya sihat walafiat.

1. Alhamdulillah, marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, esok kita akan meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Walaupun kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP, tarikh 1 Februari ini disambut secara maya tanpa mengurangkan sedikitpun signifikannya di kalangan rakyat Malaysia. Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan khususnya kepada semua warga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

2. Saya sedar akan realiti kesulitan yang berlaku di kalangan rakyat yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan. Sama ada golongan bujang, berkeluarga, golongan kelas menengah, para petugas barisan hadapan, para pelajar dan mahasiswa dan seluruh lapisan masyarakat, saban hari pihak Kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran.

3. Di pihak Kerajaan juga usaha diteruskan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara. Ini dibuktikan melalui Belanjawan 2021 yang telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

4. Selain itu, untuk membuktikan bahawa Kerajaan tidak berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, saya juga telah mengumumkan inisiatif PERMAI pada 18 Januari lalu. Pakej bantuan PERMAI ini adalah inisiatif Kerajaan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan PKP.

5. Di antara inisiatif di dalam pakej ini termasuklah mempercepatkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional fasa terakhir, melaksanakan Program Bakul Makanan dengan segera serta pemberian bantuan komuniti di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Selari dengan prinsip Prihatin Kerajaan Perikatan Nasional dan sebagai mendukung inspirasi Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Prihatin, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil pelbagai pendekatan yang inklusif dalam menangani isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan, khususnya semasa COVID-19 dengan melancarkan Program 5MY – MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.

7. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana proaktif dalam melengkapkan inisiatif Kerajaan dengan melaksanakan program social safety net di Wilayah Persekutuan. Hal ini konsisten dengan penegasan kepada rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif kebajikan rakyat mestilah dilaksanakan dengan segera.

8. Saya juga mengucapkan tahniah kepada agensi Kementerian iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan di atas inisiatif murni ini.

9. Bertepatan dengan strategi ini, saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2020 sahaja, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur telah menerima bantuan langsung melalui Program Kemiskinan Bandar (5My) – iaitu inisiatif MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah yang dilaksanakan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

10. Berdasarkan tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Pendapatan Garis Kemiskinan atau PGK Nasional telah meningkat kepada 2,208 ringgit sebulan bagi setiap isi rumah. Ini bermakna, lebih 400 ribu isi rumah yang berpendapatan kurang daripada PGK ini telah tergolong dalam kategori miskin. Kementerian Wilayah Persekutuan secara tidak langsung turut menyediakan inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan rakyat di Wilayah Persekutuan khususnya.

11. Sehingga 31 Disember 2020, statistik data PERKESO merekodkan seramai 6,805 orang telah kehilangan pekerjaan pada bulan Disember 2020. Dari segi pencari kerja, seramai 53, 869 orang direkodkan berbanding lebih 170, 000 kekosongan jawatan. Dalam usaha menangani masalah ini, saya difahamkan Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Program MyJob@Wilayah telah menyediakan sehingga 3,259 pekerjaan di ibu kota iaitu 28% lebih tinggi daripada sasaran asal. Inisiatif pengambilan pekerjaan adalah meliputi pelbagai sektor dan industri.

12. Inisiatif MySchoolBus@Wilayah telah memberi bantuan kepada seramai 9,704 murid di 67 kawasan perumahan awam kos rendah yang melibatkan 94 orang pengendali bas sekolah. MYMedic@Wilayah pula adalah perkhidmatan klinik bergerak yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma kepada warga kota yang kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.

13. MYGrocer@Wilayah pula adalah inisiatif yang berkonsepkan pasar bergerak ke kawasan perumahan kos rendah melalui perjualan barang basar dan keperluan harian pada harga 5% hingga 20% lebih murah daripada harga di pasar awam. Sehingga kini, trak MyGrocer telah bergerak ke 30 lokasi Perumahan Awam dan Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur. Manakala MYFood@Wilayah adalah konsep bantuan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada golongan miskin bandar dan kini telah memanfaatkan seramai 32,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

14. Bagi menambah baik inisiatif-inisiatif murni ini, saya dimaklumkan Kementerian Wilayah Persekutuan akan melipatgandakan usaha dengan meneliti semula sasaran penerima bantuan bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir kerana pada masa ini bantuan lebih banyak diberikan kepada penghuni PPR dan Perumahan Awam.

15. Pada hari ini juga saya turut ingin berkongsi satu berita gembira kepada penduduk di Wilayah Persekutuan. Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan melalui Program MyBeras@Wilayah akan mula menyumbangkan 5750 kampit beras secara percuma setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula pada hari ini.

16. Walaubagaimanapun, saya ingin mengingatkan dalam proses pengagihan, jangan lupa perlu kekal mematuhi SOP tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti COVID-19.

17. Saya turut dimaklumkan sempena Bulan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini, pelbagai aktiviti menggunakan platform maya telah dirancang untuk diadakan. Salah satu daripadanya ialah River of Life virtual run sempena KL Car Free Morning Program yang dilaksanakan secara dalam talian sebagai salah satu awareness akan usaha Kerajaan kepada masyarakat. Ini adalah insiatif yang amat baik dalam usaha membina institusi masyarakat yang informatif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

18. Sekali lagi, syabas saya ucapkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan yang cakna dengan amalan norma baharu dan terus berusaha menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat walaupun terdapat kekangan secara fizikal. Saya berharap segala pengisian program dan aktiviti yang dirancangkan ini akan menjadi platform dan pencetus bagi penyertaan pelbagai pihak untuk meraikan Bulan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

19. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited untuk melaksanakan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekaligus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu. Di Wilayah Persekutuan dan di seluruh negara, kita hendaklah meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa. Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

20. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Program Kemiskinan Bandar (5MY) di Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2021. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri