Ucapan Sempena Persidangan Perwakilan ANULAE Ke-27

TEKS UCAPAN
(RAKAMAN VIDEO)
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PERSIDANGAN PERWAKILAN KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA PIHAK BERKUASA TEMPATAN SEMENANJUNG MALAYSIA (ANULAE) KE-27

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

YBhg. Datuk Haji Azih Bin Muda, Presiden ANULAE Semenanjung Malaysia,

YBhg. Tuan Haji Adnan Bin Mat, Presiden CUEPACS Malaysia,

Barisan kepimpinan Kesatuan ANULAE dan Cuepacs Malaysia,

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat bersama-sama menghadiri secara maya Persidangan Perwakilan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) yang ke-27 pada pagi ini.

2. Ini adalah kali ketiga saya menyertai Persidangan Perwakilan ANULAE Semenanjung Malaysia sejak tahun 2009.

3. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ANULAE kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan yang diadakan secara tri-tahunan ini.

4. Syabas juga saya ucapkan kepada semua perwakilan yang hadir pada hari ini.

5. Saya menyambut baik usaha Kesatuan ANULAE yang bergabung dengan Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS untuk sama-sama menangani masalah dalam kalangan ahli kesatuan khususnya para penjawat awam demi menjaga kebajikan mereka.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah mengubah banyak aspek dalam kehidupan kita. Kita perlu mematuhi beberapa norma baharu. Jika sebelum ini kita dapat menjalankan kebanyakan urusan secara bersemuka tanpa sebarang kekangan, kini kita perlu mematuhi dengan SOP tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti COVID-19.

7. Namun begitu, cabaran menghapuskan wabak COVID-19 ini tidak menghalang usaha pemerkasaan sektor awam yang merupakan salah satu daripada agenda utama Kerajaan untuk memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat.

8. Tanggungjawab kita kini adalah untuk membudayakan norma baharu dalam cara kerja supaya perkhidmatan ini tetap dapat disampaikan secara efektif kepada golongan bersasar di samping meningkatkan produktiviti kerja.

9. Di peringkat Kerajaan, bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran, saya telah menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan. Ini misalnya dilakukan melalui usaha membanteras amalan rasuah.

10. Oleh kerana Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat PBT. Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika.

11. Selain itu, saya turut menyeru agar PBT dan agensi yang berkaitan dapat turun ke lapangan dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa dan meneliti isu-isu berhubung warga kakitangan mereka yang saban masa bertemu dengan orang ramai untuk menyelesaikan urusan seharian.

12. Saya sedar dan prihatin terhadap kebajikan para penjawat awam termasuk barisan petugas hadapan yang turut menjadi sebahagian daripada anggota kakitangan awam yang menggadaikan masa dan tenaga untuk melindungi kita sewaktu pandemik ini.

13. Oleh sebab itu, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan penjawat awam, beberapa inisiatif telah diumumkan baru-baru ini menerusi Belanjawan 2021 seperti bantuan khas secara one-off sebanyak RM600.00 kepada kakitangan awam dengan gred 56 dan ke bawah. Manakala pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen layak mendapat elaun sebanyak RM300.00.

14. Manakala petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia juga diberi bantuan one off sebanyak RM500.00 sebagai tambahan kepada elaun khas Covid-19 sebanyak RM600.00 yang telah diberikan kepada mereka semenjak bulan Mac atas usaha menangani Covid-19. Petugas barisan hadapan lain yang layak berdasarkanm kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula akan menerima elaun sebanyak RM300.00.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Persidangan Perwakilan ini merupakan peluang buat semua warga ANULAE untuk berbincang dan menyuarakan pandangan tentang isu-isu berkaitan kebajikan ahli. Saya berharap agar kita semua dapat bersama-sama berganding bahu untuk memastikan hak dan kebajikan setiap kakitangan awam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.

16. Saya juga berharap agar kesatuan ini akan terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dalam komuniti setempat dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan.

17. Semoga persidangan kali ini dapat dijalankan dengan jayanya dan saya difahamkan terdapat pelbagai isu yang akan dibincangkan sepanjang tempoh persidangan.

18. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan kali Ke-27 ANULAE dan seterusnya melancarkan Buku Terbitan ANULAE Semenanjung Malaysia yang bertajuk ‘Perjuanganku Dari Ilusi, Inspirasi Kepada Realiti Membela Nasib Pekerja Golongan Bawahan’.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
28 Disember 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri