Ucapan Pelancaran Portal MalaysiaBiz

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PELANCARAN (SECARA DALAM TALIAN)
PORTAL PENDAFTARAN DAN PELESENAN PERNIAGAAN SETEMPAT – MALAYSIABIZ

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama meraikan pelancaran Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat secara maya pada hari ini.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau MAMPU di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Corp. Malaysia atas inisiatif untuk membangunkan Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat, atau lebih dikenali sebagai MalaysiaBiz.

Terima kasih juga diucapkan kepada kesemua 6 Badan Pendaftar Perniagaan dan 11 Pihak Berkuasa Melesen (PBM) yang menjadi rakan strategik dalam penyediaan perkhidmatan portal ini.

Dalam mendepani kesan ekonomi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara kita, Kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Ini termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang merupakan salah satu daripada teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Justeru, proses digitalisasi ini akan terus dipergiat dan tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.

Sebagai contoh, Kerajaan mensasarkan sebanyak 40% pendigitalan penyampaian perkhidmatan End-to-end, iaitu E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun 2020 berbanding 20.2% pada tahun 2019. Sasaran ini juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang saya sendiri pengerusikan bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara kita.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

Saya sedar sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terhadap ekonomi negara dan penyediaan peluang pekerjaan. Pada tahun 2019, PKS telah menyumbang sebanyak 38.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.3% pada tahun 2018.

Manakala sebanyak 45% daripada KDNK disasarkan menjelang tahun 2025 dan 50% pada tahun 2030. Oleh sebab itu, langkah-langkah untuk menjana pertumbuhan PKS akan terus diberi keutamaan melihat kepada trend pembelian dalam talian pada hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang secara pesat. Dengan itu, proses pendigitalan dalam kalangan peniaga dapat dipermudahkan.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini, kelangsungan perniagaan menjadi salah satu daripada 3 matlamat utama. Perhatian khusus telah diberikan kepada PKS menerusi bantuan dana, latihan, peralatan digital dan geran. Antara lain, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.

Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100 ribu usahawan tempatan di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro. Selain itu, sebanyak RM4.6 bilion turut diperuntukkan bagi memperkasakan usahawan bumiputera dan penyediaan pembiayaan mikro kredit khas melalui TEKUN, MARA dan AgroBank yang memberi manfaat kepada usahawan wanita.

Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melonjakkan PKS dan konsisten dengan kerangka inisiatif-inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini seperti Skim Pembiayaan PKS Penjana dan Geran Prihatin Khas 1 dan 2 untuk meringankan beban para peniaga.

Menyedari peri pentingnya platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara, Portal MalaysiaBiz telah dibangunkan oleh MAMPU untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat. Portal ini berfungsi sebagai “one stop center” dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara efisien. MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat. Saya yakin objektif portal ini akan dapat tercapai dan sekali gus mendokong agenda kerajaan digital. InsyaAllah.

Kepada para usahawan kecil dan sederhana sekalian, manfaatkanlah peluang ini untuk mendaftar dan memohon lesen perniagaan masing-masing melalui Portal MalaysiaBiz. Marilah kita sama-sama menjayakan inisiatif ini dan semoga segala urusan saudara dan saudari dapat dipermudahkan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat -MalaysiaBiz.

Terima kasih. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kajian Kepuasan Pelanggan