Perutusan Tahun Baharu 2021

TEKS PERUTUSAN

YAB TAN SRI DATO’ HJ. MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN PERDANA MENTERI

SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BAHARU 2021
TEMA: BERSEMANGAT MELANGKAH KE TAHUN BAHARU 2021

Bismillahi-rahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera . Apa khabar semua?
Saya doakan agar saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat di mana jua anda berada.

1. Saya ingin memanjatkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kita diberikan kesempatan untuk bersama-sama melangkah ke gerbang Tahun Baharu 2021. Saban tahun kita menyambut tahun baharu dengan melakukan muhasabah untuk menilai kejayaan yang telah dicapai mahupun rintangan yang ditempuh.

Saudara dan saudari, rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

2. Kita diuji dengan cabaran yang cukup besar dan getir sepanjang tahun 2020 iaitu pandemik COVID-19 yang mula dilaporkan di Malaysia pada bulan Januari. Cabaran ini bukan sahaja menguji kekuatan kita secara individu, tetapi daya ketahanan kita sebagai sebuah negara dan masyarakat yang berbilang kaum dan latar budaya.

3. Syukur Alhamdulillah, dalam berdepan dengan cabaran COVID-19, kita semua rakyat Malaysia telah bangkit bersama menentang kemaraan penularan wabak ini dengan satu keazaman dan semangat kesepaduan yang amat luar biasa. Walaupun pelbagai dugaan datang melanda sepanjang tahun 2020, rakyat Malaysia telah menunjukkan sikap positif dan daya ketahanan yang cukup kental dan amat membanggakan. Terima kasih rakyat Malaysia.

4. Berkat usaha dan kecekalan segenap lapisan rakyat Malaysia dalam menghadapi COVID-19, kita telah berjaya melandaikan lengkok penularan jangkitan COVID-19 di peringkat awal penularan wabak ini.

5. Respons pantas Kerajaan dalam membuat keputusan-keputusan yang amat sukar seperti menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menutup dan memperketat kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa, mewujudkan SOP yang ketat seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam serta mengaktifkan sistem pengesanan kontak rapat telah berjaya memastikan penularan wabak ini terkawal.

6. Tindakan kerajaan melaksanakan kawalan pergerakan sejak bulan Mac telah menyaksikan nilai R-Naught atau kadar kebolehjangkitan berjaya diturunkan sehingga pernah di bawah 1.0.

7. Namun, kerajaan juga perlu membuat pertimbangan yang amat sukar antara menyelamatkan rakyat dan juga ekonomi negara. Sewaktu PKP dilaksanakan, negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari dan sekiranya situasi ini berlaku lagi, ia akan melumpuhkan bukan sahaja ekonomi tetapi juga sistem kesihatan awam.

8. Oleh sebab itu, Kerajaan perlu laksanakan pendekatan yang paling sesuai dalam menguruskan pandemik ini untuk memastikan rakyat selamat dan ekonomi kekal bertahan. Ini mungkin menyebabkan usaha untuk mengawal sepenuhnya penularan pandemik COVID-19 akan mengambil masa yang lebih lama, tetapi ia adalah satu pendekatan yang perlu dibuat pada masa ini.

9. Pandemik ini telah memberi kesan terhadap orang ramai terutamanya yang dijangkiti. Ada di antara kita yang juga kehilangan insan tersayang , baik ibu, bapa, keluarga terdekat, sahabat dan rakan sekerja kerana COVID-19. Marilah kita bersama-sama menyedekahkan Al-Fatihah dan bertafakur seketika demi memperingati mereka yang terkorban dalam perjuangan menentang pandemik ini.

AL-FATIHAH


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

10. Hari ini kes jangkitan baru COVID-19 dalam negara telah mencatatkan angka tertinggi apabila merekodkan 2,525 kes baharu. Kerajaan telah memberikan banyak kelonggaran kepada rakyat namun, dengan syarat perlu mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Saya menyeru saudara dan saudari semua untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan di samping mengamalkan budaya norma baharu seperti mencuci tangan menggunakan sabun, menggunakan hand sanitizer, memakai pelitup muka dengan betul, menjaga jarak fizikal dan elakkan daripada bersentuhan ketika melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja, beriadah dan keluar makan bersama keluarga serta bersukan bersama rakan-rakan.

Kita semua adalah frontliners dan kawalan kendiri dalam pematuhan SOP serta pembudayaan norma baharu dalam kehidupan kita mampu melindungi diri dan keluarga dari jangkitan COVID-19. Kita tidak boleh leka kerana kelonggaran ini bukan bermaksud peperangan melawan COVID-19 sudah berjaya sepenuhnya

11. Walaupun tahun 2020 ini penuh dengan pelbagai dugaan , sebenarnya banyak juga kejayaan yang telah kita kecapi bersama. Seperti yang saudara dan saudari maklum, Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk kira – kira 9 bulan yang lepas dalam keadaan yang agak “luar biasa”.

Saya masih ingat janji saya ketika mula memegang tampuk pimpinan , bahawa Kerajaan akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan- kepentingan lain. Yang mustahak, soal kebajikan rakyat adalah keutamaan kita. Kerajaan dan rakyat bagai “isi dengan kuku, sakit sama mengadu, luka sama menyiuk.”

12. Di sebalik pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19 ini, kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional yang berteraskan prinsip prihatin telah mengambil kira semua aspek dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial.

Ingin saya tegaskan, PRIHATIN ini bukan sekadar slogan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan Perikatan Nasional, sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

13. Dalam usaha untuk memulihkan ekonomi , Kerajaan telah mengambil pendekatan strategik 6R. Kita sekarang berada di fasa ke-5, iaitu Revitalise atau Memperkasa. Walaupun saya akui untuk memulihkan ekonomi negara dalam keadaan sekarang bukanlah tugas mudah, namun Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan semua peringkat. Inisiatif ini kesemuanya bertujuan meringankan beban saudara dan saudari sekalian, dan memastikan tiada golongan yang tercicir atau tertinggal.

Untuk itu, Kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dan berani dalam menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM 980 pada 2005 kepada RM 2,208. Langkah ini penting bagi memastikan rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan dan juga golongan rentan sentiasa diberi tumpuan dalam strategi pembangunan ekonomi. Agenda membasmi kemiskinan adalah antara agenda penting Kerajaan Perikatan Nasional.

14. Selaras dengan itu, kerajaan telah mengambil pendekatan yang inklusif dalam menangani isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan khususnya semasa COVID-19 dengan memperkenalkan Empat Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM305 bilion. Ini merangkumi pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat, menjamin kelangsungan dan lonjakan perniagaan serta memastikan ekonomi berada di landasan pemulihan.

15. Pelbagai langkah proaktif dan inovatif telah diperkenalkan kerajaan untuk meringankan beban rakyat sepanjang tahun 2020 melalui pakej rangsangan ekonomi ini. Pelaksanaannya sentiasa dipantau dan dilaporkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui Unit LAKSANA bersesuaian dengan prinsip ketelusan, keterbukaan dan akauntabiliti. Sehingga kini:

• seramai 10.6 juta rakyat telah menerima Bantuan Prihatin Nasional;

• sebanyak RM12.928 bilion telah memberi manfaat kepada sebanyak 326,136 majikan bagi mengekalkan 2.67 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah;

• sebanyak 830,314 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro mendapat bantuan Geran Khas Prihatin;

• manakala 8 juta peminjam individu dan PKS menikmati manfaat daripada moratorium terhadap bayaran pinjaman bank – di mana Malaysia merupakan antara negara pertama di dunia yang mengumumkan moratorium pukal selama 6 bulan, kemudiannya diikuti dengan moratorium bersasar.

16. Kerajaan akan terus melihat dan sentiasa mempertimbangkan inisiatif- inisiatif kepada golongan sasar untuk memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada dasar-dasar kerajaan yang prihatin.

17. Secara keseluruhan, pakej rangsangan ekonomi ini merupakan pakej rangsangan terbesar dalam sejarah negara dan antara terbesar di Asia. Ini dijangka menyumbang lebih 4 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malah, dengan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan pembukaan semula ekonomi, trend pemulihan dan kesan positif kepada ekonomi dapat dilihat pada suku ketiga 2020.

Prestasi KDNK bertambah baik apabila mencatatkan penguncupan 2.7 peratus berbanding penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua 2020. Kadar pengangguran telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, iaitu pengurangan kepada 4.7 peratus dari paras 5.1 peratus pada suku sebelumnya.

18. Untuk menyokong pertumbuhan semula ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan beberapa majlis di peringkat tertinggi yang saya sendiri pengerusikan antaranya Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kemakmuran Bumiputera, Majlis Pekerjaan Negara, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara, dan Majlis Khas Perjanjian 1963 Sabah Sarawak. Ini membuktikan komitmen Kerajaan untuk terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang di seluruh pelosok negara.

Walaupun negara dilanda COVID-19, Malaysia masih kekal antara 30 ekonomi paling kompetitif di dunia dengan pencapaian ekonomi antara 10 terbaik di dunia mengikut laporan World Competitiveness Ranking 2020 oleh Institute of Management Development (IMD). Saya percaya banyak lagi ruang untuk kita baiki dan Insya-Allah akan kita lakukan secepat mungkin supaya daya saing ekonomi Malaysia terus meningkat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

19. Selain cabaran kesihatan awam dan ekonomi, pandemik COVID-19 juga membawa ancaman yang besar buat keselamatan negara. Malaysia masih menjadi tumpuan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Walaubagaimanapun Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan negara. Justeru, Operasi Benteng yang melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu terutamanya lorong -lorong tikus daripada dibolosi PATI. Ini bagi mengawal risiko jangkitan COVID-19 dari PATI dan mengekang jenayah rentas sempadan. Berkat usaha bersepadu wira negara mengawal perbatasan dan sempadan daripada ancaman pencerobohan PATI, keselamatan dan kedaulatan negara terus terbela.

20. Di persada antarabangsa, Malaysia melakar sejarah apabila berjaya menganjurkan APEC Summit secara maya buat julung kalinya pada bulan November lepas. Kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa terus diiktiraf apabila Visi Putrajaya 2040 diterima dan disepakati sebagai visi baharu oleh negara anggota APEC untuk mewujudkan Komuniti Asia Pasifik yang aman, terbuka dan berdaya tahan menjelang tahun 2040. Sesungguhnya, pengiktirafan negara anggota APEC ini merupakan satu penghormatan yang amat besar dan bermakna buat Malaysia. Momentum ini perlu dikekalkan bagi memastikan Malaysia dapat terus seiring dengan negara-negara lain khususnya di rantau Asia Pasifik dalam menarik pelaburan langsung dari luar negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

21. Mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun 2020, saya ingin mengajak semua untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan satu semangat dan keazaman yang baharu. Untuk tahun baharu 2021 ini, saya ingin menyeru saudara dan saudari sekalian agar terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama -sama membendung pandemik COVID-19.

22. Saya sedar dan insaf bahawa ada dalam kalangan kita telah diuji dengan khabar kematian orang yang tersayang, ada di antara kita yang dibuang kerja, ada yang terpaksa belajar memasak dan membuat kuih untuk menampung pendapatan harian, ada ibu yang terpaksa mengikat perut demi mengutamakan makanan untuk anak-anak dan pelbagai lagi kesulitan hidup dan cabaran akibat wabak COVID-19.

23. Selain itu, ramai ibu bapa yang risau kerana anak-anak tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sempurna. Dengan mengambil kira keperluan untuk anak-anak mengikuti pembelajaran dalam situasi yang semula jadi di sekolah, saya ingin memaklumkan bahawa kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dibuka mengikut takwim yang telah diumumkan pada 8 November 2020. Pembukaan bagi institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM bagi sesi 2021 adalah tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Bagi yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021. Bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing – masing.

24. Percayalah, segala usaha sedang giat dan akan terus dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kita berada dalam keadaan selamat daripada ancaman COVID-19. Namun demikian, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman sepanjang tahun 2020 kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal.

25. Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengunjurkan tempoh masa selama empat hingga lima tahun diperlukan dalam usaha dunia mengawal COVID-19 dengan efektif. Dari segi ekonomi, IMF World Economic Outlook 2021 pula mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2021 adalah sekitar 5.4 peratus.

Bank Dunia dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 6.5 hingga 7.5 peratus. Apa yang pasti, unjuran optimistik ini menunjukkan bahawa ada sinar yang lebih cerah menanti kita semua pada tahun 2021.

26. Dengan unjuran-unjuran positif ini, kerajaan akan menggembleng usaha untuk memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin. Justeru, saya ingin menggariskan lima keutamaan kerajaan pada tahun 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca COVID-19:

1) Pertama, mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin COVID-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara;

2) Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12);

3) Ketiga, memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan;

4) Keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat; dan

5) Kelima, memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

27. Kerajaan akan berikhtiar untuk terus meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.” Pencegahan awal adalah penting dan ingin saya tegaskan bahawa SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan.

28. Seperti yang saudara-saudari sedia maklum, Kerajaan menerusi KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Wisma Putra telah pun mewujudkan satu portfolio bekalan vaksin dan menandatangani beberapa perjanjian bagi memperoleh bekalan secepat mungkin daripada syarikat- syarikat dan badan-badan pengeluar vaksin COVID-19..

29. Kerajaan Malaysia akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini. Vaksin ini juga akan diberi secara percuma kepada rakyat Malaysia. Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini akan dilaksanakan oleh KKM melalui 3 fasa bermula seawal Februari 2021. Saya bersama petugas-petugas barisan hadapan akan menjadi antara orang yang terawal untuk menerima suntikan vaksin ini bagi membuktikan vaksin ini selamat dan berkesan, Insya-Allah. Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan penyakit pernafasan kronik juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin. Pemantaun keberkesanan dan keselamatan tetap akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara. Namun begitu, saya ingin mengingatkan bahawa program vaksinasi ini hanyalah satu langkah pencegahan dan SOP-SOP yang ditetapkan masih perlu dipatuhi pada setiap masa.

30. Menyentuh keutamaan kedua, untuk memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, Belanjawan 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan peruntukan sebanyak RM
322.5 billion. Belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya sentiasa terbela. Ini termasuk dalam agenda besar pembasmian kemiskinan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, yang akan terus dipertingkat oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

31. Bergantung kepada situasi ekonomi semasa Kerajaan sedia mempertimbangkan suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan, sepertimana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini. Pokoknya, Kerajaan akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

Apabila ekonomi rakyat kukuh, tentulah lebih mudah untuk kita memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19. Kita tidak boleh leka dan alpa dengan kejayaan yang telah kita kecapi hari ini. Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal tahun 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.

32. RMK-12 akan memberi tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi negara seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau . Infrastruktur fizikal dan digital di bandar dan luar bandar akan dibina untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing serta dapat merebut peluang-peluang ekonomi baharu di peringkat global. Selari dengan ini, kerajaan akan melancarkan Dasar Digital Negara pada suku pertama tahun 2021 dengan penumpuan khusus kepada pembangunan sistem rangkaian 5G. Insya-Allah, apabila diumumkan kelak, saya yakin RMK-12 akan memperlihatkan visi ekonomi Malaysia yang jelas untuk dekad baharu ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus bersifat inklusif dan memanfaatkan rakyat.

33. Ini membawa saya kepada keutamaan kerajaan yang ketiga iaitu memastikan kestabilan politik. Umum mengetahui situasi politik negara sepanjang tahun 2020 agak mencabar dan ini sedikit-sebanyak memberi kesan kepada keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Persefahaman dalam kalangan rakan-rakan parti Kerajaan Perikatan Nasional akan terus disemai dan dipupuk, manakala perbezaan akan diuruskan dengan teliti dan cermat.

Adalah juga diharapkan agar pimpinan politik yang lain dapat menunjukkan sifat bertanggunggjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu- gugat kestabilan politik negara. Pada masa ini, adalah baiknya jika kita menolak ke tepi soal politik dan bersatu demi memelihara kebajikan rakyat. Kita perlu dan mesti bersama dalam mengharungi pandemik ini sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Rata-rata rakyat mahukan semua ahli politik untuk menggembleng tenaga membantu rakyat dan tidak mencetuskan kemelut politik yang merugikan rakyat. Jutaan rakyat telah terjejas dengan pandemik ini, maka adalah lebih baik jika kita pamerkan kematangan dalam berpolitik dan terus memahami keluh-kesah, dan mendengar denyut nadi kemahuan rakyat. Saya percaya jika kita bekerja demi rakyat, mendahulukan rakyat, membela rakyat maka sudah tentu rakyat akan terus menyokong segala usaha kerajaan demi kebaikan bersama.

34. Di samping kestabilan politik, aspek tadbir urus yang baik atau good governance akan terus dipertingkat. Usaha memerangi rasuah dan menjunjung nilai ketelusan dan integriti akan diperhebat. Sistem pelaksanaan kerajaan akan terus dipantau dan ditambah baik supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan.

Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara. Pelaburan domestik dan antarabangsa ini pastinya akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka ruang perniagaan yang akan memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

35. Keutamaan keempat kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan negara terbela dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperkukuh. Dalam kita melangkah ke gerbang tahun 2021, Kerajaan ingin memberi jaminan bahawa keselamatan negara dan rakyat Malaysia sama ada secara fizikal mahupun maya akan sentiasa di bawah radar pemantauan agensi-agensi keselamatan negara. Kawalan terhadap sempadan dan pintu-pintu masuk negara akan terus diperketatkan, manakala sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas. Ingin saya ingatkan, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kedaulatan negara. Kerajaan juga akan terus memantau kadar jenayah baik yang bersifat fizikal mahupun dalam talian seperti scammer yang makin berleluasa dewasa ini. Semakin pintar sistem komunikasi, semakin pintar dan licik jenayah yang dirancang.

36. Pada tahun 2021, Malaysia juga ingin memainkan peranan yang lebih aktif di pentas global. Pandemik COVID-19 telah sedikit sebanyak merubah “the global order”, justeru membuka peluang untuk Malaysia menonjolkan kepimpinan yang lebih dinamik di peringkat dunia. Masanya sudah tiba untuk Malaysia muncul sebagai kuasa yang disegani, berani memperjuangkan kemakmuran bersama dan keamanan sejagat secara konsisten.

Selain mempererat hubungan dengan jiran tetangga dalam rantau ASEAN, Kerajaan akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara yang berkongsi aspirasi sama , melalui platform yang sudah sedia ada dan yang bakal dipelopori. Hubungan Malaysia dengan negara- negara luar dari segi diplomasi, keselamatan dan ekonomi akan sentiasa berpaksikan kepentingan strategik untuk jangka panjang.

37. Keutamaan kelima pada tahun 2021 ialah memperkukuh hubungan yang harmoni dalam masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan wilayah. Saya yakin dan percaya, perpaduan adalah kunci kejayaan Malaysia. Lihatlah, berkat perpaduan dan kesatuan hati kita semua, satu persatu cabaran dan dugaan pandemik COVID-19 dapat kita atasi. Insafi dan hayatilah hakikat ini. Pupuk dan semai semangat bersatu-padu, saling memahami antara satu sama lain. Benar, ini tidak mudah, apatah lagi dengan cabaran teknologi yang semakin canggih dan ledakan informasi antara benar, separa benar dan palsu yang berlegar di ruangan maya.

Ingin saya tegaskan, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingkar dan terus menyemai api kebencian antara kaum dan agama apatah lagi menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Saudara-saudari, rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

38. Lima keutamaan Kerajaan pada tahun 2021 yang telah saya jelaskan ini adalah selari dengan visi jangka panjang Kerajaan seperti yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Jika kita berusaha dengan lebih gigih hari ini dalam memulihkan ekonomi negara, saya pasti hasrat WKB 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan akan tercapai dengan jayanya menjelang tahun 2030.

39. Sememangnya, Kerajaan mempunyai perancangan dan visi ekonomi yang teliti untuk setiap peringkat pembangunan. Dengan kerjasama dan sokongan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah, saya pasti perancangan-perancangan ini akan membuahkan hasil dan wawasan yang kita gagaskan untuk Malaysia akan tercapai, insya-Allah.

40. Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar tahun 2021 akan membuka lembaran baharu untuk rakyat terus bersatu-padu memulihkan semula negara dalam semua aspek, khususnya dari segi kesihatan awam, sosioekonomi, perpaduan kaum dan integrasi nasional.

41. Tahun 2020 merupakan tahun yang amat sukar dan mencabar, namun saya percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia ini, masih banyak nikmat yang boleh kita syukuri. Justeru, marilah kita sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020, untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental. Matlamat kita adalah untuk melihat Malaysia yang lebih bersatu-padu, bebas dari ancaman COVID-19, rakyatnya yang makmur dan sejahtera, ekonominya pulih dan rancak berkembang serta namanya yang megah di persada antarabangsa.

Kerajaan Perikatan Nasional akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa menafikan hak agama lain dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik COVID-19.

42. Marilah kita galas tanggungjawab ini sebaik mungkin supaya diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita sentiasa terpelihara.

Let us all strive to be better versions of ourselves in the new year, to achieve more for Malaysia.

43. Akhir kata, saya berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga kita sentiasa diberkati dan dipermudah segala urusan. Marilah kita bersama-sama melangkah ke tahun baharu 2021 dengan lebih gagah, yakin dan berani bahawa tahun yang baharu ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insya-Allah.

Bersama-sama kita bawa semangat baharu ini ke tahun 2021.

Wabillahi al-Taufiq wal hidayah, wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri