Kenyataan Media mengenai Mesyuarat Pertama Majlis Pekerjaan Negara

KENYATAAN MEDIA 
PEJABAT PERDANA MENTERI

MAJLIS PEKERJAAN NEGARA: MEREALISASIKAN STRATEGI MENJANA DAN MENGEKALKAN PEKERJAAN DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin hari ini telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC) secara maya.

NEC dibentuk bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’. NEC merupakan majlis tadbir urus tertinggi dalam penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif Kerajaan khusus dalam mencapai sasaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menangani isu pengangguran.

Penubuhan majlis ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa, di samping mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara.

NEC memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan bahkan untuk menangani isu-isu lain yang berkaitan seperti kekurangan pekerja di sektor tertentu (underemployment), kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan penggajian.

Majlis yang dianggotai oleh menteri-menteri berkaitan itu akan turut disertai wakil sektor swasta dan industri yang akan diumumkan kelak. NEC akan bermesyuarat sekerap mungkin mengikut keperluan semasa.

Selain itu, NEC akan disokong oleh sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang bertindak menyelaras 5 buah Pasukan Petugas Khas peringkat jawatankuasa kerja seperti berikut:

I. Pasukan Petugas Khas Pendidikan Nasional
II. Pasukan Petugas Khas TVET
III. Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan
IV. Pasukan Petugas Khas Real Economy
V. Pasukan Petugas Khas Deeptech & Future Skills

Pasukan Petugas Khas ini bertanggungjawab melaporkan status pelaksanaan di bawah kluster masing-masing kepada Pasukan Petugas Peringkat Tinggi secara bulanan.

Unit LAKSANA, Kementerian Kewangan akan bertindak selaku Sekretariat NEC dan memantau kemajuan pelaksanaan setiap program di bawah inisiatif NEC supaya lebih efektif berpandukan penilaian yang bersesuaian dari masa ke masa.

Selaras dengan penubuhan NEC, warganegara yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mula mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/. Portal ini merupakan pusat sehenti dan rujukan utama kepada rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Dengan penubuhan NEC, YAB Perdana Menteri yakin inisiatif penciptaan pekerjaan bermula tahun 2021 dan ke hadapan akan menjadi lebih terancang dan dilaksana secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan. Usaha ini akan dipandu oleh Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional yang akan dibangunkan kelak bagi memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi serta menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

 

PEJABAT PERDANA MENTERI
10 DISEMBER 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri