Kenyataan Media mengenai Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.054 Gerik dan N.66 Bugaya

PMO

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong supaya Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah.

Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No. 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi (P.054) Gerik dan (N.66) Bugaya yang telah dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Dalam menyembah nasihat kepada Seri Paduka Baginda, Jemaah Menteri pada 4 Disember 2020 telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah jika diadakan pada masa pandemik COVID-19 masih menular di negara ini. Mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Perdana Menteri
16 Disember 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri