Ucapan sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020

TEKS PERUTUSAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA
PELANCARAN (SECARA DALAM TALIAN)
SAMBUTAN BULAN KELUARGA KEBANGSAAN

‘KITA JAGA KELUARGA’

TARIKH

7 NOVEMBER 2020 JAM 10.25 PAGI

 

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,

Yang Berhormat Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Yang Berhormat Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria, Pengerusi Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

Yang Berbahagia Dato’ Junaidah binti Kamaruddin, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Yang Berusaha Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

Seluruh Keluarga Malaysia yang kasihi sekalian. Apa khabar semua? Saya doakan semuanya sihat walafiat.

1. Alhamdulillah, marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk meraikan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini.

2. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensinya iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di atas inisiatif murni ini.

3. Dengan pemilihan tema “Kita Jaga Keluarga” pada tahun ini, sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan ini diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat dan semua pihak untuk mengukuhkan institusi keluarga. Kekuatan dan keutuhan sesebuah keluarga merupakan tonggak utama bagi menjamin kestabilan masyarakat dan keutuhan negara.

4. Peranan keluarga amat penting dalam kehidupan manusia. Keluarga yang bahagia adalah tonggak kehidupan masyarakat yang harmoni. Saya percaya perasaan kasih sayang yang dipupuk sesama ahli keluarga dan kejiranan akan membentuk sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

5. Tema sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini, iaitu ‘Kita Jaga Keluarga’ bertepatan dengan situasi semasa ketika kita semua sedang menghadapi ancaman Covid-19. Peranan setiap ahli keluarga adalah amat penting untuk melindungi keluarga masing-masing daripada bahaya wabak ini selain bertanggungjawab untuk bersama-sama membendung penularan Covid-19 dalam komuniti.

6. Pada masa yang sama, tema ini juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi institusi keluarga daripada wabak Covid-19. Keluarga yang terkesan diberi pelindungan, sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan keluarga supaya lebih cekal dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

7. Kesan pandemik Covid-19 ke atas negara dan amalan norma baharu telah mengubah kehidupan kita. Tanggungjawab dan cabaran keluarga juga makin bertambah dalam meningkatkan penjagaan kesihatan keluarga, memastikan kelangsungan pendidikan anak semasa di rumah dan penjagaan anak semasa bekerja.

8. Pada masa yang sama, keluarga yang terjejas dengan pandemik ini perlu diperkasa dan diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu dan meneruskan kelangsungan hidup. Sistem sokongan yang komprehensif memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan untuk peduli keluarga dan saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan.

9. Dalam hal ini, saya difahamkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyediakan Talian 15999 yang secara 24 jam menyediakan khidmat sokongan dalam membantu menangani isu tekanan emosi. Selain itu, Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara pula menyediakan Bantuan Khas Ibu Tunggal. Saya percaya bahawa inisiatif-inisiatif ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan ahli keluarga.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

10. Pada bulan Ogos lalu, saya telah menziarahi beberapa keluarga di Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang Kuala Lumpur. Saya melihat ada dalam kalangan mereka yang bertungkus-lumus membina kehidupan yang lebih baik, sehingga melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung keperluan kewangan keluarga.

11. Saya sedar dan insaf akan realiti ini. Sehubungan itu, Bajet 2021 telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan rentan yang terjejas dengan pandemik Covid-19. Kerajaan akan terus berusaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

12. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited untuk menetapkan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekaligus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa. Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

13. Saya percaya Malaysia mampu bangkit semula selepas ini. Ini terbukti kerana di sepanjang tempoh PKP, ramai rakyat Malaysia yang menunjukkan sikap mulia, saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama. INILAH KELUARGA MALAYSIA yang unik dan sentiasa bersama-sama bantu-membantu baik ketika susah atau senang.

14. Saya dimaklumkan sempena Bulan Keluarga Kebangsaan ini, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk diadakan. Salah satu daripadanya ialah Akademi Keluarga Sejahtera yang dilaksanakan secara dalam talian bagi menyebarkan maklumat kekeluargaan kepada masyarakat. Ini adalah insiatif yang amat baik dalam usaha membina institusi keluarga yang bahagia dan harmoni.

15. Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang cakna dengan amalan norma baharu dan terus berusaha menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat walaupun terdapat kekangan secara fizikal. Saya berharap segala pengisian program dan aktiviti yang dirancangkan ini akan menjadi platform dan pencetus bagi penyertaan pelbagai pihak untuk meraikan Bulan Keluarga Kebangsaan.

16. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top