Perutusan Khas YAB Perdana Menteri mengenai Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Sabah

PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI
        MENGENAI PILIHAN RAYA KECIL BATU SAPI, SABAH

 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal áfiat.

1. Pada hari ini saya telah diterima menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya Seri Paduka Baginda Tuanku mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

2. Bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, Seri Paduka Baginda Tuanku telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kawasan Batu Sapi dan memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 yang membolehkan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember 2020 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk memberikan penjelasan kepada saudara dan saudari sekalian mengapa Jemaah Menteri membuat keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Sabah di bawah Perkara 150 yang dibaca bersama Fasal (1) dan (1A) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

4. Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 13 November 2020 telah membincangkan secara terperinci akan kesan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi jika diadakan pada masa pandemik COVID-19 masih menular di negeri Sabah. Dalam membuat pertimbangan ini, Jemaah Menteri mengambil kira kesan penularan COVID-19 di negeri Sabah susulan Pilihan Raya Umum Negeri Sabah yang diadakan pada bulan September yang lalu.

5. Data menunjukkan pada 12 September 2020, iaitu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, kes kumulatif COVID-19 di Sabah berjumlah 808 kes. Pada 26 September, iaitu pada hari mengundi, kes kumulatif COVID-19 di Sabah telah meningkat kepada 1,547 kes, iaitu peningkatan sebanyak 91.5 peratus.

6. Situasi penularan COVID-19 di Sabah menjadi lebih buruk apabila peningkatan berlaku secara mendadak dalam tempoh 4 minggu selepas hari mengundi. Pada 24 Oktober 2020, Sabah mencatatkan 11,285 kes kumulatif dan menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan jumlah kes COVID-19 melebihi 10,000 kes. Hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes kumulatif COVID-19 yang tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 24,269 kes dengan 181 kematian.

7. Mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, Jemaah Menteri berpandangan lebih elok sekiranya Pilihan Raya Kecil bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Sabah dapat dielakkan atas beberapa faktor.

8. Pertamanya ialah faktor ancaman terhadap kesihatan awam. Pengalaman Pilihan Raya Umum Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika COVID-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak ini di dalam komuniti. Walaupun SOP yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung.

9. Kedua, pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas. Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak COVID-19. Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November 2020, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1% sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi.

10. Ketiga, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah. Sebagai contoh, pegawai-pegawai SPR yang berkhidmat di Kota Kinabalu akan bergerak ke Sandakan untuk membantu melaksanakan PRK Batu Sapi. Perjalanan mereka sejauh 370 kilometer akan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Ranau, Telupid dan Beluran. Daerah- daerah ini adalah daerah yang dikategorikan sebagai kawasan merah atau kuning.

11. Selain pergerakan pegawai SPR, para pengundi berdaftar di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi yang tinggal di daerah lain juga akan melakukan perjalanan merentas daerah bagi tujuan mengundi. Walaupun kerajaan pada masa ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang tidak membenarkan perjalanan rentas daerah, pergerakan pengundi rentas daerah tidak boleh dihalang kerana hak mereka untuk mengundi adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga akan meningkatkan risiko penularan COVID-19.

12. Keempat ialah kebimbangan mengenai risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi. Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas. Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan COVID-19 yang boleh membawa maut. Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi seperti ini mestilah dielakkan.

13. Kelima ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan. Pada masa ini pun, kesan ekonomi telah amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Ada yang telah mengalami kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini. Kerajaan sedang berusaha untuk mengawal penularan COVID 19 terutamanya di negeri Sabah yang pada masa ini telah menunjukkan tanda-tanda yang agak positif dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan.

14. Kita tidak mahu berlaku lonjakan kes-kes baharu COVID-19 di Batu Sapi khususnya, dan di Sabah amnya sekiranya pandemik ini menular selepas PRK Batu Sapi diadakan. Ini tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para frontliners kita, yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini. Kasihanilah mereka yang bertungkus-lumus bersengkang mata siang dan malam untuk melindungi nyawa kita. Jangan kita sia-siakan pengorbanan mereka.

15. Berdasarkan faktor-faktor ini, Jemaah Menteri berpandangan Pilihan Raya Kecil bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik COVID-19 berakhir.

16. Jemaah Menteri telah mendapatkan pandangan Peguam Negara mengenai kaedah terbaik dari segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pilihan raya kecil ini dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain. Ini kerana menurut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, sekiranya terdapat kekosongan luar jangka sesuatu kerusi Parlimen, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR telah memastikan kekosongan tersebut berlaku. Oleh itu pilihan raya kecil MESTI diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah, melainkan kekosongan tersebut berlaku dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar setelah berjalan selama 5 tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya .

17. Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan dengan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Menurut Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.

18. Alhamdulillah, perisytiharan darurat ini telah pun diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong pada hari ini. Dengan perisytiharan darurat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan suatu Ordinan menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk membatalkan dan menangguhkan PRK Batu Sapi.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

19. Darurat diisytiharkan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat. Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi. Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuatkuasa di negeri Sabah.

20. Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram.

21. Bagi pihak Jemaah Menteri, saya menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan nasihat Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah. Titah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata yang saya percaya sentiasa dekat di hati Tuanku.

22. Saya berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan langkah yang diambil oleh Kerajaan ini adalah satu hikmah yang dapat membantu membendung wabak COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat. Langkah ini juga adalah bertepatan dengan hasrat sebahagian besar rakyat yang tidak mahu pilihan raya diadakan semasa pandemik COVID-19 sedang melanda negara. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi daripada sebarang musibah. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin
Perdana Menteri
18 November 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top