Kenyataan Media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 13

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA
MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS KABINET
MENGENAI ANTIRASUAH (JKKMAR) SIRI 13
19 NOVEMBER 2020

1. YAB Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 13 Bilangan 3 Tahun 2020 secara sidang video hari ini.

2. Sebanyak 7 kertas mesyuarat telah dibincangkan dan dimaklumkan kepada ahli-ahli JKKMAR, fokus kepada inisiatif-inisiatif untuk menambah baik governans dan integriti dalam memerangi rasuah sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP)

3. Keputusan-keputusan penting yang telah dicapai dalam mesyuarat JKKMAR adalah:

3.1 JKKMAR secara prinsip bersetuju dengan syor Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksanakan Program Authorized Economic Operator (AEO) di peringkat nasional. Pelaksanaan Program AEO ini bertujuan untuk meningkatkan pematuhan industri, keselamatan dan fasiliti perdagangan di sempadan yang membabitkan urusan import eksport.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 lalu, kerajaan telah mencadangkan pelaksanaan program AEO oleh JKDM dengan pembabitan jabatan, agensi pengawal atur dan penguatkuasaan bagi memberi kemudahan pelepasan kargo berisiko rendah. Dalam masa yang sama semua agensi berkenaan dapat meningkatkan keberkesanan kerja dengan memberi penumpuan pemeriksaan terhadap kargo yang berisiko tinggi. Antara lain ia juga dapat mengurangkan isu-isu rasuah dan ketirisan hasil kerajaan. Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) juga telah bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta setahun bagi merealisasikan program AEO secara bersepadu di peringkat nasional.

3.2  Bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, Mesyuarat bersetuju satu perbincangan diadakan di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (LSEAIC) dijadikan sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib. Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan tatatertib yang diambil oleh jabatan-jabatan. Ini termasuk menjadikan Pemantauan Status Maklum Balas Laporan SPRM dan Laporan EAIC sebagai satu agenda tetap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan/ Negeri/ Jabatan.

3.3  Sebagai langkah untuk memantapkan integriti dan tadbir urus anggota pentadbiran, JKKMAR hari ini secara prinsip bersetuju supaya Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bersama Menteri-menteri Kanan, KSN, Jabatan Peguam Negara dan SPRM untuk memperhalusi garis panduan pengeluaran surat sokongan oleh Anggota Pentadbiran.

3.4  Mesyuarat hari ini bersetuju dengan dua syor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menambah baik tatacara dan kaedah penilaian tender melalui peningkatan integriti maklumat dalam memastikan keberkesanan penilaian tender iaitu:

a) Mengadakan satu usahasama di antara JKR, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menggunakan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data agensi bagi tujuan penilaian tender dan;-

b) Menguatkuasakan syarat bon tender bagi tender tertentu kerajaan.

3.5  JKKMAR secara prinsip bersetuju supaya satu kajian komprehensif berkaitan Pengwujudan Peruntukan Undang- Undang Baharu berkenaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (Deferred Prosecution Agreement) secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara dan SPRM berkaitan peruntukan Liabiliti Korporat. Kajian ini adalah bagi melihat mekanisme dan penanda aras bagi suatu organisasi komersial yang telah dipertuduh di bawah Sek 17A (4) ASPRM.

3.6  Bagi meningkatkan integriti Setiausaha Politik (SUPOL), JKKMAR secara prinsip bersetuju dengan syor GIACC supaya diwujudkan Kod Tugas dan Fungsi Setiausaha Politik sesuai dengan objektif pelantikan mereka dalam membantu menguruskan hal ehwal berkaitan urusan politik sahaja. Oleh itu bagi melengkapkan peningkatan integriti dalam proses sokongan, Arahan YAB Perdana Menteri berkaitan Kod Tugas dan Fungsi SUPOL ini dapat menyempurnakan arahan terdahulu yang telah dikeluarkan khusus untuk pegawai kerajaan.

4. Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum mengenai usaha menyebar luas aspek governans, integriti dan antirasuah melalui promosi dan publisiti media yang akan dipergiatkan berdasarkan konsep normal baharu.

PEJABAT PERDANA MENTERI
19 November 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top