Ucapan Sempena Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera I 1965-2020

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

SEMPENA PERASMIAN PENUTUPAN KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA I 1965-2020
BERTEMPAT DI WISMA BINA DAULAH MPM
PADA 1 OKTOBER 2020 JAM 3.30 PTG

Bismillahirrahmannirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,Yang Berusaha Pengacara Majlis,
Yang Amat Berbahagia Tun Mohd Hanif Omar, Pengerusi JK Pemandu, Gerakan Pertahankan Kedaulatan Perlembagaan, Majlis Perundingan Melayu merangkap Ahli Lembaga Penasihat MPM
Yang Berbahagia Dato’ Dr Hasan Mad, Pengerusi JK Penganjur Kongres, merangkap Setiausaha Agung MPM,
Yang Berhormat Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan,
Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya,
Yang Berhormat Menteri-Menteri & Timbalan-Timbalan Menteri,
Dif-dif Jemputan dan peserta Kongres yang saya kasihi sekelian.

Apa khabar semua? Saya doakan agar saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1. Bersyukur kehadrat Allah SWT di atas izin dan inayahNya, saya dapat bersama-sama para hadirin sekalian dalam Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2020 yang penuh bermakna ini.

2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada MPM atas usaha murni menjayakan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2020 ini yang berlangsung selama sebulan sejak 28 Ogos 2020 yang lalu.

3. Syabas juga diucapkan kepada MPM kerana memainkan peranan penting untuk melibatkan pemegang-pemegang-taruh termasuk komuniti Orang Asli, pemimpin pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), komuniti ekonomi Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan beberapa NGO lain, untuk turut menyumbang dalam inisiatif ini walaupun dalam keadaan suasana yang terbatas, iaitu tempoh PKPP akibat ancaman wabak COVID-19 yang masih belum dapat dihentikan.

4. Sebentar tadi kita sudah pun melihat penerimaan resolusi dan pelan tindakan KEB I 1965-2020. Kerajaan akan meneliti dokumen-dokumen tersebut untuk tindakan susulan. Saya difahamkan, penganjur telah membentuk 9 Kumpulan Bengkel Teras, setiap satu membincangkan secara terperinci pembaharuan resolusi asal KEB I 1965, sepanjang bulan Ogos dan September lepas. Saya beri jaminan yang Kerajaan pimpinan saya akan meneliti setiap satu resolusi yang dikemukakan KEB 2020. Saya juga bersetuju dengan satu perkara dalam resolusi itu iaitu meletakkan hal ehwal Bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri.

5. Saya menghargai usaha MPM dan rakan-rakan seperjuangannya yang gigih menyediakan dokumen-dokumen penting ini. Ini membantu usaha Kerajaan dalam menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Dasar Kemakmuran Bumiputera.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

6. Agenda ekonomi dan kemakmuran Bumiputera sudah seringkali dibincang dan dibahaskan di pelbagai forum, khususnya sejak mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.

7. Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pula telah bermula awal lagi pada tahun 1965, dan telah berjaya menghasilkan banyak pelan tindakan dan resolusi demi kebajikan dan kesejahteraan Bumiputera.

8. Meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai oleh kaum Bumiputera di Malaysia, kita sedar masih banyak hal yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.

9. Yang pasti, kita harus menerima hakikat bahawa:

a. Kaum Bumiputera merupakan kaum yang paling miskin dengan insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 7.2% berbanding kaum Cina, 1.4% dan India, 4.8% pada tahun 2019.
b. Selain itu, dari segi jurang pendapatan pada tahun 2019, jurang pendapatan purata antara Bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM2,802, iaitu 4 kali lebih tinggi berbanding pada tahun 1989.

10. Kedua-dua indikator yang saya sebutkan ini memberikan gambaran bahawa kaum Bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kaum yang lain walaupun pelbagai usaha telah dibuat melalui Rancangan-rancangan Malaysia sejaknya bermulanya Dasar Ekonomi Baru.

11. Kita mesti sedar bahawa mahu tidak mahu kaum bumiputera mesti bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dunia terkini, termasuklah untuk merangka dan mewujudkan ekosistem Bumiputera yang lebih positif, berdaya saing dan kompetitif dalam arus teknologi yang berkembang pesat.

12. Kita tidak boleh lagi berada di takuk yang lama dan perlu mengharungi norma baru apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar susulan wabak COVID-19.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

13. Kini selepas hampir 50 tahun sejak DEB diperkenalkan, komitmen kerajaan masih teguh terhadap pelaksanaan agenda Bumiputera, sebagaimana yang telah dapat dilihat melalui usaha memperkasakan modal insan bumiputera dan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi.

14. Dalam usaha memperkasakan modal insan bumiputera, Majlis Amanah Rakyat atau MARA telah membelanjakan sebanyak RM28 bilion dari tahun 1966 hingga 2019 bagi membiayai pembelajaran 171 ribu pelajar di Maktab Rendah Sains Mara atau MRSM, 624 ribu pelajar pendidikan teknik dan latihan vokasional (TVET), 182 ribu pelajar profesional serta 61 ribu pelajar di institusi pengajian tinggi luar negara. Kini anak-anak MARA ialah pemacu utama agenda bumiputera negara kita.

15. Untuk memastikan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi pula, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 1.1 trilion dalam Rancangan Malaysia Ke 7, 8, 9 dan 10 bagi peluang perolehan untuk membantu usahawan bumiputera termasuk melalui Program Pembangunan Vendor atau “PPV”. Antaranya sejumlah RM674.4 bilion perolehan Kerajaan Pusat telah diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam tempoh 1996 hingga 2015.

16. Peruntukan ini merupakan antara bukti komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Dasar Bumiputera dalam Perolehan Kerajaan. Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan juga telah mengambil langkah awal menangani impak Covid-19 ke atas ekonomi, termasuk penawaran kerja-kerja undian kepada kontraktor G1 Bumiputera yang mana kerja-kerja tersebut telah dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

17. Kerajaan juga sedang memperkukuh pelaksanaan Dasar Bumiputera dalam perolehan Kerajaan melalui beberapa penambahbaikan dasar termasuk menambahbaik mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan pelaksanaan dasar. Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mengekalkan dasar memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera.

18. Dalam masa yang sama, Kerajaan terus memberi bantuan pinjaman kewangan melalui SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan beberapa institusi lain.

19. Usaha murni membangunkan agenda Bumiputera kini diteruskan di bawah aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama atau WKB 2030 untuk menangani ketidaksaksamaan, menstruktur ekonomi dan membina negara Malaysia bagi menghadapi era yang lebih mencabar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

20. Saya berharap saudara-saudari sekelian dapat bersama-sama mengambil peluang memperkasakan modal insan Bumiputera untuk manfaat kita bersama. Seperti yang saudara dan saudari sedia maklum, di bawah pakej rangsangan ekonomi PENJANA, kerajaan telah memperkenalkan program insentif Penjana Kerjaya untuk menyediakan tenaga kerja yang mampu berdaya saing dan kekal relevan dalam industri pekerjaan yang serba mencabar hari ini.
21. Program upskilling dan reskilling ini bertujuan untuk membantu semua yang terkesan lebih-lebih lagi golongan bumiputera bagi meningkatkan kemahiran melalui skim latihan yang disediakan. Inisiatif ini berusaha memanfaatkan semua kelompok masyarakat sama ada untuk anak Melayu, anak Iban, anak Melanau mahupun anak Kadazan.

22. Kita sedar bahawa arus ekonomi sentiasa berubah dengan trend baru seperti Revolusi Perindustrian 4.0, Big Data dan Internet of Things. Ini memerlukan setiap dari kita untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi yang akan menentukan kebolehskalaan sesuatu perusahaan.

23. Insentif Penjana Kerjaya ini hanyalah salah satu contoh dalam usaha meningkatkan kemahiran modal insan bumiputera hari ini. Banyak lagi inisiatif yang boleh kita sama-sama lakukan untuk memanfaatkan golongan bumiputera. Pokok pangkalnya, kita perlu mencuba pendekatan baru untuk menjamin kelestarian daya saing Bumiputera terutama dalam bidang perniagaan.

24. Maka dalam mendepani dekad kebangkitan semula bumiputera ini, konsep “paying it forward” ataupun membalas budi dengan menyumbang kepada orang lain perlu diterapkan untuk mewujudkan eko-sistem masyarakat bumiputera yang prihatin.

25. Saya percaya telah tiba masanya untuk penerima manfaat Dasar Ekonomi Baru yang terdahulu, membalas budi dengan memberi balik kepada generasi akan datang. Contohnya, bidang perniagaan merupakan peluang terbaik untuk generasi terdahulu membantu menyediakan batu asas kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti modal mentor atau “mentor capital” serta modal rangkaian atau “network capital”.

26. Untuk memastikan kelangsungan komuniti bumiputera dalam jangka masa panjang, setiap daripada kita mestilah mempunyai semangat saling bantu-membantu sesama kita. Semangat kekitaan dalam komuniti bumiputera mestilah diterapkan untuk mewujudkan sebuah kitaran masyarakat yang turut mengambil berat terhadap generasi masa hadapan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

27. Saya juga ingin mengalu-alukan usaha-usaha murni berterusan yang dilakukan oleh gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan termasuk MPM dalam membangunkan masyarakat bumiputera. Usaha positif ini membuktikan bahawa Bumiputera adalah kaum yang “resilient”. Maja saya harap teruskanlah usaha murni ini, demi berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan masyarakat bumiputera secara menyeluruh dalam aspek sosial, pendidikan dan ekonomi.

28. Sikap ini dan sifat-sifat murni yang lain seperti beramanah, berintegriti, berilmu dan saling memperkukuh adalah antara prasyarat kepada kebangkitan semula ekonomi Bumiputera.

29. Bagi meneruskan usaha memulihkan ekonomi negara, saya ingin menyeru saudara dan saudari untuk menyahut dan bersama-sama melaksanakan 7 Teras Strategik seperti yang terangkum dalam Wawasan Kemakmuran Bersama.

30. Ini boleh dicapai dengan melaksanakan aspirasi dan model-model baharu di dalam WKB, serta menggunakan saluran termasuk melalui Majlis Kemakmuran Bumiputera yang telah saya umumkan, untuk memastikan tahap ekonomi yang boleh dibanggakan dapat dicapai bersama-sama.

31. Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada warga kerja MPM atas usaha murni menjayakan Kongres Ekonomi Bumiputera I 1965-2020 ini. Saya kira ini adalah detik bersejarah. Mungkin kita boleh bentuk sebuah jawatankuasa kerajaan bersama MPM. Saya percaya dekad ini ialah dekad kebangkitan semula Bumiputera. Semoga segala usaha kita ini diberkati Allah SWT.

32. Dengan lafaz mulia Bismillahirahmannirrahim, saya dengan ini merasmikan penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera I 1965-2020 anjuran Majlis Perundingan Melayu pada hari ini.
Sekian, terima kasih.

Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Similar Posts:

Share:
Scroll to top