Perutusan Maulidur Rasul 1442H/2020M

PERUTUSAN 
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN 
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

SEMPENA 

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW BAGI TAHUN 1442H/2020M 

29 OKTOBER 2020 (KHAMIS) 
BERSAMAAN 12 RABIULAWAL 1442 HIJRI 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.

Saban tahun, kita memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda SAW terhadap umatnya. Tema sambutan pada tahun ini adalah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”. Tema ini dipilih untuk menggambarkan peri pentingnya sifat Rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (Surah Al-Ahzab: 21).

Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari sekelian untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi Sunnah insan yang sangat mulia dan kita kasihi ini.

Pada tahun ini, saya difahamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggerakkan kempen “Malaysia Berselawat” yang mana peserta terdiri daripada rakyat Malaysia dianjurkan untuk merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan hashtag #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial JAKIM. Ini bukan sahaja inisiatif yang sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian, bahkan yang lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi SAW.

Saya ingin mengajak seluruh umat Islam untuk terus bermunajat di kala kita masih lagi diuji dengan wabak COVID-19 serta dalam usaha kita memulihkan ekonomi negara dan memperkukuh perpaduan dalm kalangan rakyat. Ujian ini seharusnya mengukuhkan iltizam kita untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan kita sebagai umatnya.

Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top