Kenyataan Media Pejabat Perdana Menteri mengenai isu Pemakaian Gelang Pengawasan

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

Merujuk isu pemakaian gelang pengawasan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, adalah dijelaskan bahawa YAB Perdana Menteri tidak diberikan gelang pengawasan  oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM pada 5 Oktober 2020, YAB Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) dan memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Sehubungan itu, beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan.

Justeru, dakwaan bahawa YAB Perdana Menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar.

Untuk makluman, keputusan ujian saringan pengesanan COVID-19 yang dilakukan pada 5 Oktober 2020 ke atas YAB Perdana Menteri telah disahkan NEGATIF pada 6 Oktober 2020. Selain itu, beliau juga telah melakukan tiga (3) ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati NEGATIF.

YAB Perdana Menteri walau bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

Setakat ini keadaan kesihatan Perdana Menteri adalah baik, Walaupun begitu beliau akan terus melakukan kuarantin kendiri sehingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh KKM.

PEJABAT PERDANA MENTERI
7 Oktober 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top