Kenyataan Media mengenai Kuarantin Kendiri YAB Perdana Menteri

PMO

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
MALAYSIA

Pada 3 Oktober 2020, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Untuk makluman, Datuk Seri Dr Zulkifli telah disahkan positif jangkitan COVID-19 hari ini dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat tersebut.

Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.

Ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) selama 14 hari bermula 3 Oktober 2020 hingga 16 Oktober 2020 dan memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Sehubungan itu, saya akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya selama 14 hari mengikut nasihat yang diberikan oleh KKM. Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan Kerajaan. Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak bulan April 2020 dan kesemua ujian pengesanan ini telah disahkan NEGATIF. Selain itu, saya telah melakukan tiga (3) ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati NEGATIF.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pejabat Perdana Menteri
5 Oktober 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top