Ucapan Perasmian Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 

TEKS UCAPAN 

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN 
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

DI MAJLIS PERASMIAN 
PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA 2020 
PADA 29 SEPTEMBER 2020 JAM 11.00 PAGI  
BERTEMPAT DI HOTEL MOVENPICK, SEPANG 

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِه أَجْمَعِيْنَ

Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri,
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Yang Berhormat Tuan Haji Ahmad Marzuk Shaary
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Yang Amat Arif Dato’ Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar,
Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

Yang Berbahagia Dato’ Sri Syed Hussien Alhabshee,
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim Bin Haji Besar,
Ketua Hakim Syar’ie Negara Brunei Darussalam

Yang Amat Arif Tuan Alfian Yasrif Bin Kuchit,
Senior President, (Syariah Court), Singapura

Yang Mulia Dr. Drs. Haji Amran Suadi,
Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia
Yang Arif Hakim-Hakim Rayuan Syariah JKSM

Yang Amat Arif Ketua-Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/ Mahkamah Syariah Negeri

Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Datin-Datin Tuan-Tuan dan Puan-Puan Hadirin Yang Dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, pertamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Perasmian Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara 2020.

2. Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang sudi menjemput saya untuk merasmikan persidangan yang penting ini. Saya juga ingin mengalu-alukan semua hadirin yang menyertai persidangan ini baik di Malaysia mahupun di Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia yang mengikuti persidangan ini secara sidang video.

3. Pada hemat saya, persidangan kali ini amat besar ertinya kerana ia melibatkan pembentang kertas kerja yang terdiri daripada tokoh-tokoh antarabangsa yang tersohor selain para pesertanya adalah dari empat negara serumpun yang mempunyai hubungan akrab di Nusantara. Persidangan ini pastinya dapat memberi peluang kepada pengamal undang-undang syariah di keempat-empat negara ini menimba lebih banyak ilmu pengetahuan terutamanya dalam konteks amalan norma baharu dalam sistem kehakiman dan perundangan syariah di samping merapatkan hubungan kerjasama dalam bidang kehakiman syariah.

4. Persidangan pada kali ini mengangkat tema “Aplikasi Maqasid Al-Syar’iyyah: Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu Dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah”. Saya percaya bahawa tema ini mengambil kira cabaran semasa yang sedang dialami bukan sahaja oleh umat Islam di negara kita, malah penduduk negara-negara di seluruh dunia yang masih bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.

5. Maqasid Syariah sepertimana yang telah dihuraikan oleh para sarjana Islam bermaksud tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan. Konsep ini menyatakan bahawa wujud hikmah di sebalik sesuatu hukum syarak yang hendak dilaksanakan. Tujuannya tidak lain adalah untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.

6. Dalam konteks pentadbiran kerajaan di Malaysia, sudah tentulah para pemimpin terdahulu sehingga ke saat ini mendapat panduan daripada prinsip-prinsip dalam Maqasid Syariah untuk dilaksanakan demi kemaslahatan masyarakat awam. Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini, pendekatan pentadbiran yang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah berlandaskan kelima-lima prinsip dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan sekalipun tidak semestinya dinyatakan dalam bentuk slogan atau label.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

7. Saya ingin mengambil contoh tema “Malaysia Prihatin” yang menjadi aspirasi kerajaan Perikatan Nasional untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara dari ancaman wabak COVID-19 yang melanda dunia dan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan setelah terjejas akibat serangan wabak COVID-19 semenjak awal tahun ini. Bagi umat Islam di negara ini, pandemik COVID-19 telah menginsafkan kita dalam banyak aspek.

8. Walaupun pada zahirnya kita tidak nampak prinsip-prinsip maqasid ini diuar-uarkan sebagai kerangka yang menjadi panduan dalam tindakan menangani COVID-19, namun pada hakikatnya ia telah menjadi prinsip-prinsip panduan atau “guiding principles” dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk melawan pandemik ini.

9. Atas semangat “Malaysia Prihatin”, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Sehinggalah pada saat ini kita masih lagi berada dalam fasa PKP Pemulihan demi untuk memelihara keselamatan dan nyawa orang awam daripada ancaman wabak COVID-19.

10. Dalam memelihara nyawa, seperti mengelakkan daripada penularan pandemik Covid 19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan PKP adalah hakikatnya merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah. Dengan statistik pertambahan pesakit dan juga kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting. Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat.

11. Dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanakan lockdown atau di Malaysia dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan, banyak urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

12. Tindakan ini telah berjaya mengekang penularan wabak COVID-19. Namun pada masa yang sama, ia juga memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan pentadbiran negara. Pentadbiran mahkamah syariah adalah antara yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Ini termasuk penutupan mahkamah yang memerlukan sistem kehakiman berfungsi dalam keadaan norma baharu seperti pelaksanaan urusan mahkamah menerusi sistem dalam talian.

13. Dalam konteks ini, penggunaan teknologi baharu mestilah diberikan keutamaan oleh pentadbiran mahkamah syariah. Pada hemat saya, pengalaman yang kita perolehi daripada episod pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa penggunaan teknologi merupakan satu kewajipan. Tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang merupakan suatu tuntutan agama. Ini adalah sebahagian daripada norma baharu dalam pentadbiran kehakiman Islam yang mesti diberikan tumpuan.

14. Satu lagi prinsip utama Maqasid Syariah ialah hifzul al-din atau memelihara agama. Dalam konteks ini, negara-negara di Nusantara bertuah kerana mempunyai sistem kehakiman Islam yang mampu melaksanakan satu sistem perundangan Islam yang membolehkan umat Islam menjalani kehidupan berlandaskan tuntutan syariah. Ini termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam, zakat, fitrah, wakaf, baitulmal, jenayah syariah dan lain-lain.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

15. Di Malaysia, pemakaian undang-undang Islam dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Akta serta Enakmen yang berkaitan. Selain Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Senarai Kedua Jadual Kesembilan memperincikan perkara-perkara berkaitan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

16. Jaminan perlembagaan terhadap pelaksanaan hukum syarak adalah amat penting kepada kehidupan umat Islam. Ini merupakan sebahagian utama daripada prinsip hifzu al-din atau memelihara agama dalam Maqasid Syariah yang dilaksanakan di Malaysia. Saya percaya jaminan perlembagaan terhadap pelaksanaan undang-undang syariah adalah antara rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT ke atas umat Islam di negara ini yang wajib disyukuri oleh kita semua.

17. Pemeliharaan agama juga menjadi satu topik penting yang dibincangkan oleh kerajaan sepanjang kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang saya percaya telah mewujudkan satu norma baharu dalam kehidupan umat Islam. Antaranya ialah solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara yang perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Di peringkat awal, kita terpaksa menutup masjid dan surau untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 di dalam masyarakat. Solat Jumaat juga tidak diadakan untuk beberapa ketika demi untuk memelihara nyawa rakyat.

18. Alhamdulillah, pada hari ini masjid dan surau telah dibuka atas sebab kerajaan prihatin terhadap keperluan umat Islam untuk menjalankan ibadah yang merupakan sebahagian daripada prinsip hifzu al-din atau memelihara agama. Namun, prinsip ini diseimbangkan dengan prinsip hifzu al-nafs atau memelihara nyawa. Kerana itu, walaupun masjid dan surau telah dibuka dan solat berjemaah termasuk solat Jumaat dibenarkan, para jemaah mesti mengamalkan norma baharu. Antaranya ialah menjaga jarak antara jemaah. Jika kebiasaannya Imam menyuruh makmum supaya rapatkan saf, dalam keadaan norma baharu Imam meminta makmum supaya jarak-jarakkan saf. Ini penting supaya umat Islam yang datang ke masjid untuk beribadah tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang mengancam nyawa.

19. Perkara ini dibincang secara terperinci dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai COVID-19 yang saya sendiri pengerusikan. Antara ahlinya termasuklah YB Menteri Agama yang menasihati kerajaan dalam hal ehwal hukum syarak dan YB Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang memberi nasihat mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan. Alhamdulillah, saya dapat melihat bagaimana dua prinsip utama Maqasid Syari’ah iaitu memelihara agama dan memelihara nyawa dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha melindungi rakyat daripada ancaman COVID-19.

20. Banyak lagi prinsip Maqasid Syariah yang dapat dihuraikan dalam konteks norma baharu, khususnya yang berkaitan dengan pentadbiran kehakiman dan perundangan Islam yang saya percaya akan dibincang dan dibahas secara mendalam oleh saudara dan saudari sekalian dalam persidangan ini. Prinsip-prinsip ini termasuklah memelihara akal atau hifzu al-aql, memelihara harta atau hifz al-mal dan memelihara keturunan atau hifzu al-nasb.

21. Sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk menegakkan Maqasid Syariah walau dalam apa jua keadaan atau cabaran sekalipun. Saya yakin Islam sebagai agama yang syumul mempunyai penyelesaian terhadap segala permasalahan atau cabaran baharu yang dihadapi oleh umat Islam demi menjaga kemaslahatan ummah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

22. Mahkamah Syariah yang merupakan institusi kehakiman dan perundangan syariah yang mendokong Syiar Islam akan terus dipertahankan serta diperkasakan dari semasa ke semasa. Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa komited dalam menyokong usaha-usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia. Ini termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidangkuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah dari semasa ke semasa. Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya.

23. Di peringkat serantau, saya berharap agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu forum yang berperanan sebagai medium pertukaran maklumat dan amalan terbaik institusi kehakiman syariah yang boleh dikongsi dengan negara-negara serantau seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. Melalui forum ini, perbincangan ilmiah mengenai fungsi Maqasid Syariah di negara-negara serantau dapat diadakan secara berterusan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian.

24. Pada masa yang sama saya sedar bahawa tugas dan tanggungjawab para Hakim Syarie dan Pegawai Syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam. Walau bagaimanapun, anda semua hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti. Insya-Allah, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati oleh Allah SWT.

25. Akhir kalam, saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persidangan ini. Mudah-mudahan sumbangan tenaga dan usaha yang saudara dan saudari curahkan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Dengan lafaz bismilahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara tahun 2020.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top