Ucapan Perasmian PENJANA Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme

UCAPAN PERASMIAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA) KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI-
CAREER ADVANCEMENT PROGRAMME
(KPT-CAP)

28 SEPTEMBER 2020 JAM 3.15 PETANG
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM), BANGI, SELANGOR

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Saudara/Saudari Pengacara Majlis

Yang Berhormat YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad
Menteri Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan

Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof
Menteri Kanan Kerja Raya

Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan
Menteri Sumber Manusia

Yang Berhormat Dato’ Mansor Bin Haji Othman
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Datuk Abd. Rahim Bin Bakri
Timbalan Menteri Kewangan I


Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian

Naib-Naib Canselor Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Dan Swasta Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan

Rakan-Rakan Strategik, Rakan-Rakan Media

Yang Berbahagia Dato’-Dato, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian tinggi, Ketua-ketua Jabatan, Naib-naib Canselor, Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri- Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, dan seterusnya semua dif-dif kehormat dan jemputan yang saya muliakan.

Apakhabar semua? Saya doakan agar saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1. Alhamdulillah, saya ingin mengajak para hadirin untuk mengangkat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan keizinan-Nya jua kita dapat bersama-sama berhimpun dalam majlis yang penting ini.

2. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi atas kesudian menjemput saya bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP).

Saudara-saudari hadirin yang saya kasihi sekalian,

3. Tidak ada sesiapa pun yang menduga bahawa tahun 2020 akan menjadi tahun yang amat menguji kita semua. COVID-19 memberi impak langsung khususnya kepada pertumbuhan ekonomi dunia. Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF menyifatkannya sebagai “the worst economic downturn since the Great Depression”. IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global pada Jun tahun ini menurun kepada negatif 4.9 peratus berbanding dengan anggaran negatif 3.0 peratus yang diunjurkan pada bulan April.

4. Tidak terkecuali negara kita Malaysia. KDNK Suku Kedua 2020 mencatatkan penguncupan ekonomi sebanyak negatif 17.1 peratus. Namun begitu, jika dilihat secara terperinci penguncupan KDNK telah mengecil dari 28.6 peratus pada bulan April kepada 19.5 peratus pada bulan Mei, dan seterusnya kepada paras 3.2 peratus pada bulan Jun.

5. Data ini menunjukkan bahawa situasi ekonomi sedang pulih secara beransur. Menurut Bank Negara, prospek pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan 2020 telah disemak semula dan dijangka mencatat antara negatif 5.5 peratus hingga negatif 3.5 peratus. Manakala pada tahun 2021, ekonomi dijangka berkembang sekitar 5.5 peratus hingga 8 peratus. Situasi ekonomi negara akan bertambah pulih, insyaaAllah.

6. Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat dalam situasi getir ini. Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin dan peka dengan degup jantung rakyat, Kerajaan telah memperkenalkan pakej- pakej rangsangan ekonomi, termasuk Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau secara ringkasnya PENJANA bernilai RM35 bilion.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

7. Salah satu impak COVID-19 adalah berlakunya peningkatan pengangguran. Dalam ketidaktentuan global, statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia kini telah berkurangan kepada 4.7 peratus pada bulan Julai, berbanding
5.3 peratus pada Mei dan 4.9 peratus pada bulan Jun 2020. Alhamdulillah, beberapa langkah strategik yang diperkenalkan Kerajaan telah menunjukkan hasil.

8. Pelaksanaan program subsidi upah, program pengekalan pekerjaan dan insentif pengambilan pekerja di bawah PRIHATIN dan PENJANA telah sedikit sebanyak menyumbang kepada pengurangan ini. Kita akan terus pantau perkara ini dari masa ke masa kerana kadar pengangguran yang tinggi boleh mengheret negara kepada krisis jika penularan COVID-19 mengambil masa lebih lama untuk diputuskan.

9. Dalam konteks mahasiswa pula, saya prihatin dengan nasib dan hala tuju para graduan yang bakal menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan pada tahun ini. Memasuki pasaran kerja dalam situasi tidak menentu adalah satu cabaran yang harus ditempuhi oleh mereka. Bagi mengurangkan beban mereka, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Disember 2020. Inisiatif ini akan dapat memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik sebanyak RM1.13 bilion.

10. Justeru, pada Ogos 2020, Kerajaan telah menyalurkan waran peruntukan berjumlah RM100 juta kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tujuan pelaksanaan Program Peningkatan Kemahiran di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi atau dikenali sebagai PENJANA Career Advancement Programme (KPT-CAP).

11. Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT- CAP) ini merupakan salah satu program yang dirangka dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di bawah inisiatif Memperkasa Rakyat melalui Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran. Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

12. Selain dari peruntukan sebnyak RM100 juta kepada KPT ini, bagi pelaksanaan fasa pertama, Kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan kepada agensi-agensi seperti berikut:

i) Pembangunan Sumber Manusia Sdn Bhd sebanyak RM250 juta;
iii) Majlis Amanah Rakyat sebanyak RM39 juta
iv) Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara –sebanyak RM36 juta
v) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur sebanyak RM35 juta
vi) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebanyak RM30 juta
vii) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebanyak RM5 juta dan
viii) Kementerian Belia dan Sukan – RM5 juta


13. Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran bukan sahaja melihat usaha untuk menangani graduan menganggur malah juga memastikan golongan pekerja yang hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik COVID-19 mengekalkan atau meningkatkan kemahiran mereka untuk memanfaatkan peluang semasa ekonomi beransur pulih.

14. Tidak seperti program peningkatan kemahiran yang biasa dilaksanakan, Program Penjana KPT CAP yang julung-julung kali ini diperkenalkan adalah unik oleh kerana para graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan setelah mereka menamatkan dengan jayanya kursus-kursus yang ditetapkan. Kursus-kursus ini sebenarnya direkabentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat yang bakal mengambil graduan tersebut sebagai pekerja mereka.

15. Contohnya kursus Smart Trucker. Kandungan pengajaran dalam kursus ini direkabentuk berdasarkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan ‘Letter of Commitment’ (LOC) kepada KPT. Justeru, habis sahaja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik tersebut.

16. Saya difahamkan setelah pelancaran program pada hari ini, graduan-graduan sudah boleh memohon program KPT-CAP ini melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training atau GREaT yang disediakan oleh pihak KPT. Oleh itu, saya ingin menyeru kepada saudara-saudari graduan tahun 2020 dan tahun 2019 yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan, bolehlah memanfaatkan peluang untuk menambah kemahiran dan nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

17. Hakikatnya, universiti-universiti kita telah berjaya melahirkan ramai graduan yang diiktiraf di peringkat nasional mahupun antarabangsa dalam bidang-bidang tertentu termasuklah dalam bidang keusahawanan. Kita sudah melahirkan nama-nama seperti Arif Tukiman, Muhammad Usamah Zaid bin Yasin ataupun Mohd Nizam bin Abdul Razak. Mereka ini adalah antara usahawan-usahawan berjaya yang dilahirkan universiti- universiti tempatan.

18. Saudara Arif misalnya adalah pemilik RunCloud, sebuah syarikat yang menawarkan khidmat menguruskan ‘cloud server’ dan ‘web deployment’. Dua nama lagi iaitu saudara Muhammad Usamah Zaid bin Yasin dan saudara Mohd Nizam bin Abdul Razak adalah nama yang tidak asing dalam dunia animasi tempatan.

19. Ketiga-tiga mereka adalah produk universiti tempatan dan ada bersama-sama kita pada petang ini. Saudara Arif Tukiman adalah graduan dari Sekolah Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Arif yang kini berusia 28 tahun adalah CEO RunCloud yang berpangkalan di Cyberjaya. Bermula pada tahun 2017, syarikatnya yang bernilai RM20 juta kini menguruskan lebih 230,000 aplikasi web dari lebih 100 buah negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom dan India yang menjadi pasaran utama syarikat ini.

20. Runcloud telah memenangi pelbagai anugerah, antaranya ialah Anugerah Merit di International Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) di Guangzhou China; Judges’ Choice TOP100 Asia Pacific Echelon; Winner Global Techsummit Malaysia dan Startup of the Year di Asean Rice Bowl Award. Kejayaan-kejayaan ini telah melayakkan Arif Tukiman untuk disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Perniagaan Teknologi.

21. Saudara Muhammad Usamah Zaid bin Yasin pula adalah salah seorang individu penting di sebalik kejayaan siri animasi Upin dan Ipin. Selepas tamat belajar di Universiti Multimedia (MMU), Usamah menyertai Les’ Copaque Production dan berkhidmat sebagai Penolong Pengarah bagi animasi Upin dan Ipin. Pada tahun 2013, Usamah menubuhkan syarikat animasinya sendiri, WAU Animation yang menerbitkan siri animasi Ejen Ali.

22. Filem Ejen Ali The Movie telah membuka mata ramai pihak terhadap industri animasi tempatan apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan di pawagam. Malah, karya arahan Usamah Zaid Yassin itu juga disenaraikan sebagai antara tiga filem tempatan yang mencatat pungutan terbanyak sepanjang zaman.

23. Ikon seterusnya iaitu saudara Mohd Nizam bin Abdul Razak juga graduan dalam bidang Komunikasi Massa di MMU. Beliau terkenal sebagai pencipta dan pengarah siri animasi BoboiBoy dan francaisnya serta sebagai pengasas Animonsta Studios. Pada tahun 2009, Nizam menubuhkan syarikat animasinya sendiri yang diberi nama Animonsta Studios. Syarikat ini menerbitkan siri animasi BoBoiBoy. Kejayaan BoBoiBoy juga turut mencetuskan filem BoboiBoy: The Movie, BoBoiBoy Galaxy dan BoBoiBoy Movie 2.

24. Tujuan saya berkongsi kisah-kisah kejayaan anak-anak muda yang kita banggakan ini ialah sebagai peniup semangat kepada graduan- graduan muda kita yang ingin mengikuti jejak langkah mereka dan menjadikan nama-nama ini sebagai idola dunia keusahawanan.

25. Keusahawanan perlu dilihat sebagai salah satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka oleh pelajar dan graduan. Bidang keusahawanan bukan sahaja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusahanya tetapi sebagai “job creator” iaitu berupaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perniagaan yang dijalankan.

26. Saya difahamkan pada masa ini, KPT sedang giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di IPT melalui Pelan Tindakan yang akan tamat pada tahun ini. Saya berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan ini berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan yang lengkap.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

27. Sebagai akhir kalam, di kesempatan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan semua pihak yang telah berganding bahu bagi menjayakan majlis pada hari ini. Saya juga berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang berkolaborasi dengan pihak KPT bagi menjayakan program PENJANA-KPT-CAP ini.

28. Sekalung tahniah juga kepada tuan rumah, Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah merayakan Sambutan Jubli Emas iaitu penubuhan UKM ke-50 pada 18 Mei yang lalu. Sambutan ini amat signifikan sekali dengan kejayaan membanggakan UKM menempatkan diri dalam kelompok universiti satu peratus teratas di dunia iaitu pada tangga ke-
160 dalam QS World University Rankings 2019/2020. Syabas dan tahniah diucapkan!

29. Dengan penuh takzim dan dengan lafaz yang mulia: Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menyempurnakan Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP) dengan rasminya.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top