Teks Ucapan YAB Perdana Menteri Sempena Pelancaran Gerbang Sabah

TEKS UCAPAN 

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN  
PERDANA MENTERI MALAYSIA 
SEMPENA PELANCARAN GERBANG SABAH 
PADA 17 SEPTEMBER 2020  
BERTEMPAT DI KOTA KINABALU, SABAH 

 

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Yang Berhormat Dato’ Saifuddin bin Abdullah
Menteri Komunikasi dan Multimedia

YBrs. Dr. Fadhlullah Suhaimi bin Abdul Malek
Pengerusi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

YBhg Tan Sri Mohd Bakke Salleh
Pengerusi Telekom Malaysia Berhad

Para tetamu jemputan

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

1. Pertamanya, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat berkumpul pada malam ini dalam Majlis Pelancaran Gerbang Sabah yang merupakan komponen penting Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang dibangunkan untuk memantapkan penyediaan infrastruktur digital negara.

2. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada perancangan strategik negara untuk mempersiapkan rakyat bagi menghadapi perubahan cara hidup di masa depan yang lebih berlandaskan inovasi dan teknologi. Gerbang Sabah ini adalah titik sambungan internet antara Sabah dan seluruh dunia yang saya percaya akan menrancakkan lagi pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

3. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kemudahan internet kini adalah antara utiliti asas yang menjadi kayu pengukur tahap pembangunan dan kemajuan sesuatu tempat. Kemudahan internet bukan lagi hanya untuk orang bandar atau golongan berada, bahkan ia telah menjadi keperluan untuk segenap lapisan masyarakat. Kemudahan internet digunakan secara meluas oleh saudara dan saudari sekalian untuk berhubung antara satu sama lain dan mendapatkan pelbagai bentuk perkhidmatan atas talian. Ini termasuk perkhidmatan pendidikan, pembelian barangan, pengangkutan awam, pesanan makanan dan bermacam lagi bentuk perkhidmatan samada yang disediakan oleh kerajaan mahupun pihak swasta.

4. Keperluan ini menjadi semakin kritikal ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19. Pergerakan secara fizikal dikawal untuk mencegah penularan jangkitan wabak ini. Kesannya, permintaan terhadap perkhidmatan internet telah meningkat secara mendadak. Ramai yang memilih untuk melakukan pelbagai transaksi secara atas talian bagi mengelakkan sentuhan fizikal. Ini adalah sebahagian daripada norma baharu kehidupan yang saya percaya akan menjadi budaya hidup saudara dan saudari pada masa hadapan.

5. Keadaan ini mendorong Kerajaan untuk melakukan kajian semula penyediaan perkhidmatan internet jalur lebar yang lebih menyeluruh dan pantas. Kerajaan bersama syarikat-syarikat perkhidmatan telekomunikasi telah mengadakan perbincangan untuk mencari kaedah terbaik dalam menyediakan infrastruktur jalur lebar yang mantap kepada semua rakyat tanpa ada yang tertinggal.

6. Hasil perbincangan tersebut, Kerajaan bersama-sama penyedia perkhidmatan telah mewujudkan inisiatif JENDELA yang akan menyediakan perkhidmatan internet yang berkualiti kepada seluruh rakyat, termasuk di kawasan pedalaman. Kerja-kerja telah pun dimulakan dan dijangkakan menjelang tahun 2022 sebanyak 96.9% peratus kawasan berpenduduk akan diliputi perkhidmatan 4G sebelum kita memperluaskan rangkaian 5G.

7. Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia diberi tanggungjawab untuk memacu pelaksanaan JENDELA. Sabah adalah penerima terbesar projek-projek pembangunan infrastruktur di bawah JENDELA. InsyaAllah, ini bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh penduduk di negeri Sabah setanding dengan kemudahan yang disediakan di negeri-negeri lain di Malaysia.

8. Dengan pelaksanaan inisiatif JENDELA, saudara dan saudari yang tinggal di negeri Sabah akan mendapat capaian jalur lebar yang lebih meluas bermula pada penghujung tahun ini sehinggalah tahun 2022. Sejumlah 419 menara baharu akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaikkan taraf kepada 4G. Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan yang melibatkan 251,166 premis di seluruh negeri Sabah. Inisiatif JENDELA di negeri Sabah dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM2.45 bilion.

9. Saya percaya saudara dan saudari akan menggunakan kemudahan ini sebaik-baiknya untuk memajukan kehidupan dan memakmurkan negeri Sabah. Namun, saya percaya masih terdapat rakyat yang memerlukan bimbingan untuk menjadi warga digital yang produktif. Sehubungan itu, Kerajaan menerusi MCMC telah menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di negeri Sabah.

10. Antara bimbingan yang akan diberikan ialah bagaimana untuk menjana pendapatan menerusi e-dagang, iaitu urusan jual beli dalam talian. Menerusi internet, sesiapa sahaja boleh berniaga dari mana-mana lokasi. Bahkan ada yang berniaga tanpa memiliki barang sendiri, iaitu melalui kaedah dropship. Inilah contoh potensi kemajuan yang dibawa oleh kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh Kerajaan.

11. Pusat Internet Komuniti sedia ada akan menjalani suatu proses perubahan dengan peruntukan RM13 juta. Aktiviti setempat akan diperkasa agar P.I.K bukan sahaja menjadi tempat untuk membangunkan kemahiran penggunaan internet dan e-dagang, tetapi juga mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu hasil daripada peningkatan aktiviti e-dagang serta menyediakan lebih banyak perkhidmatan atas talian bagi memudahkan rakyat setempat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

12. Kerajaan sedar golongan belia adalah kumpulan pengguna kemudahan jalur lebar yang paling aktif. Belia hari ini dilahirkan sebagai warganegara digital. Penggunaan komputer dan telefon pintar menjadi suatu keperluan kepada golongan ini untuk berkomunikasi, belajar dan bekerja.

13. Golongan belia juga menjadi harapan kita untuk mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital. Oleh itu, golongan ini perlu diberi pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu.

14. Untuk mencapai hasrat ini, kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan sekali lagi bekerjasama untuk mewujudkan pakej-pakej khas capaian jalur lebar untuk golongan belia. Perincian pakej akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat. Pakej ini bakal menyediakan perkhidmatan dengan kos yang rendah dan terma yang lebih menarik bagi membantu golongan belia memenuhi keperluan pembelajaran dan perhubungan di era norma baharu.

15. Semua aspirasi ke arah pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mampan untuk rakyat Sabah bermula di Gerbang Sabah. Kapasiti sambungan jalur lebar di sini akan disalurkan kepada infrastruktur seperti ibu sawat gentian optik dan menara-menara telekomunikasi seluruh negeri Sabah.

16. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Telekom Malaysia Berhad yang meneruskan komitmennya untuk mendukung pelan tindakan JENDELA menerusi inisiatif Gerbang Sabah ini. Inisiatif penting ini diharapkan dapat mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih cepat dan menyeluruh. Demi memastikan kualiti sambungan jalur lebar nasional terus dipertingkatkan dan sekali gus merapatkan jurang digital dalam negara, kapasiti Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) di Tanjung Aru telah dipertingkatkan dari 4 Terabit sesaat ke 7.3 Terabit sesaat.

17. Saya dimaklumkan Telekom Malaysia akan menaiktaraf dan menggandakan lagi kapasiti SKRM sebanyak 3 kali ganda sehingga sekurang kurangnya 12.8 Terabit sesaat dalam tempoh 3 hingga empat tahun akan datang. Ini akan melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan asal RM575.5 juta oleh MCMC dan Telekom Malaysia.

18. Kapasiti SKRM ini amat penting untuk menampung peningkatan pengunaan internet oleh rakyat di negeri Sabah serta menyokong matlamat pelan tindakan JENDELA yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Semoga usaha ini akan merapatkan jurang digital antara negeri-negeri di Malaysia selain meningkatkan reputasi Sabah di mata dunia.

19. Saya ingin mengulangi komitmen Kerajaan Perikatan Nasional untuk mentransformasi infrastruktur digital negara menerusi pelan tindakan Jalinan Digital Negara. Pelancaran Gerbang Sabah pada hari ini adalah sebahagian penting daripada inisiatif ini.

20. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Telekom Malaysia Berhad dan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini yang sama-sama terlibat dalam melaksanakan pelan tindakan Jalinan Digital Negara, khususnya Gerbang Sabah ini. Saya berdoa semoga pelancaran Gerbang Sabah pada hari ini akan menjadi titik mula kepada peningkatan keupayaan digital rakyat di negeri Sabah dan membuka peluang kepada saudara dan saudari semua untuk menempa kemajuan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

21. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan sukacitanya melancarkan Gerbang Sabah di Stesen Kabel Dasar Laut Tanjung Aru

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top