Teks Ucapan Perjumpaan Khas YAB Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO)

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

PERJUMPAAN KHAS YAB PERDANA MENTERI BERSAMA PEMIMPIN-PEMIMPIN PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN (NGO ISLAM)

DEWAN DE’ SERI ENDON, PUTRAJAYA
19 SEPTEMBER 2020 (SABTU)
12.00 TENGAH HARI

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),

Yang Berhormat Ustaz Ahmad Marzuk bin Shaary
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)Yang Berbahagia Ustaz Haji Nasrudin bin Hassan

Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia,

Yang Berusaha Professor Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti
Timbalan Yang Dipertua YADIM,

Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, barisan pimpinan NGO Islam, saudara dan saudari yang saya hormati sekelian,

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat.

Pertamanya, marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama menghadiri majlis yang menghimpunkan para pimpinan NGO Islam pada hari ini.

Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia atas kesudian menjemput saya hadir ke majlis yang amat penting ini. Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua pimpinan NGO Islam yang sudi meluangkan masa untuk bermuzakarah mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam.

Saya percaya resolusi yang diserahkan kepada saya sebentar tadi melambangkan keprihatinan dan komitmen para pimpinan NGO Islam terhadap usaha untuk meningkatkan syiar Islam dan memajukan ummah. InsyaAllah saya akan meneliti dan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap syor-syor yang telah dikemukakan.

Sebagai pimpinan NGO Islam, saudara dan saudari adalah jurubicara ummah. Segala pandangan yang dikemukakan oleh saudara dan saudari sekalian bukan sahaja mewakili sebahagian besar suara umat Islam di negara ini, malah mampu mencorakkan pemikiran ummah.

Maka, pertemuan seperti ini adalah amat penting diadakan supaya kerajaan boleh mendengar secara langsung suara hati umat Islam yang disampaikan oleh para pimpinan NGO Islam. Saya sendiri telah pun mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pimpinan NGO Islam yang datang ke pejabat saya untuk menyampaikan pandangan-pandangan mengenai kedudukan Islam dan usaha-usaha untuk memperkasakan institusi Islam serta meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Ini termasuklah pandangan mengenai betapa pentingnya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan terus dipelihara, kemuliaan institusi Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dihormati, pelaksanaan undang-undang Islam sepertimana yang termaktub dalam Akta dan Enakmen undang-undang Islam dipertahankan, pendidikan Islam diperkasa, perpaduan ummah diperkukuhkan, kemajuan ekonomi umat Islam menerusi pengembangan institusi zakat dan wakaf diberikan keutamaan dan isu-isu lain yang menyentuh kepentingan umat Islam seluruhnya.

Ada juga dalam kalangan pimpinan NGO Islam bertemu saya dan menyatakan kebimbangan mengenai cabaran-cabaran besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia. Antaranya ialah pelbagai bentuk perkembangan baharu dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat yang dilihat mengancam akidah dan akhlak umat Islam.

Ini termasuklah pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme Barat yang tidak melihat agama sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Sebaliknya, mereka lebih mengagungkan kebebasan individu yang tidak terbatas sehingga melanggar hukum-hakam dan syariat Islam.

Pengaruh ideologi ini telah mewujudkan pelbagai bentuk gerakan di peringkat antarabangsa dan termasuk juga di Malaysia yang mendesak supaya pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam dikaji semula. Ini merangkumi gerakan yang menuntut supaya sebahagian daripada undang-undang Islam dimansuhkan dan amalan-amalan yang jelas menyeleweng daripada syariat Islam seperti LGBT dan ajaran sesat dibenarkan.

Saya perhatikan bahawa perkembangan ini telah mewujudkan keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang kita tahu berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keadaan ini juga telah menyebabkan ramai dalam kalangan pimpinan NGO Islam yang bangkit mempertahankan kemurnian akidah umat Islam dan membela kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia.

Saudara dan saudari mahu supaya kerajaan istiqamah dalam mempertahankan akidah umat Islam dan kedudukan agama Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri. Pelbagai pandangan dikemukakan kepada pihak kerajaan termasuklah sebahagiannya terkandung di dalam resolusi yang disampaikan kepada saya pada hari ini.

Saya amat mengalu-alukan segala pandangan yang disampaikan oleh para pimpinan NGO Islam. Malah, saya juga mempunyai pendirian yang sama mengenai betapa pentingnya kita memberikan keutamaan kepada usaha-usaha untuk mengangkat kesucian agama Islam, memelihara kemurnian akidah umat Islam, mempertahankan keabsahan undang-undang Islam, meningkatkan syiar Islam menerusi usaha-usaha dakwah dan tarbiyyah, menambah baik kualiti sistem pendidikan Islam, mengembangkan keupayaan ekonomi umat Islam, memperkasa institusi-institusi yang menyumbang kepada kemajuan umat Islam dan memperkukuhkan perpaduan ummah.

Ini semua adalah sebahagian penting daripada perjuangan umat Islam di negara ini yang mesti terus diperkasakan. Justeru, saya amat menyambut baik peranan yang dimainkan oleh NGO Islam bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk sentiasa bertukar pandangan dan saling memperkukuhkan peranan masing-masing dalam memelihara kedudukan dan kesucian agama Islam di negara kita.

Namun, dalam usaha kita untuk membela dan mempertahankan kesucian agama Islam dan kemurnian akidah umat Islam, suka saya mengingatkan supaya kita tidak mengambil pendekatan yang ekstrem atau melampau sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk di negara kita. Kita mesti ingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang sentiasa mementingkan kesederhanaan dan keharmonian dalam hubungan kaum dan agama.

Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Sepertimana yang telah pun diamalkan di negara ini, tindakan tegas berlandaskan undang-undang diambil terhadap pihak-pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama.

Dalam usaha kita untuk membela kedudukan Islam dan memelihara kemurnian akidah umat Islam, pendekatan yang kita ambil mestilah berteraskan prinsip hikmah dan nasihat yang baik. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Nahl ayat 125:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ

Yang bermaksud:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik

Dalam kontenks ini saya lihat YADIM sebagai institusi dakwah mempunyai peranan yang amat penting. Peranan YADIM pada hari ini bukan sahaja untuk menyemarakkan kegiatan ilmu dalam kalangan masyarakat Islam, tetapi melaksanakan tugas dakwah secara berhikmah menerusi aktiviti-aktiviti pendidikan, latihan dan outreach yang dilaksanakan. Peranan ini juga perlu disokong dan digalas secara bersama oleh NGO-NGO Islam yang dipimpin oleh saudara dan saudari sekelian.

Kita semua maklum bahawa melalui perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 2009, sebuah majlis yang dinamakan sebagai Majlis Amal Islami Malaysia atau MAIM telah ditubuhkan di bawah YADIM untuk menjadi platform penyelarasan NGO-NGO Islam di Malaysia. Sesuai dengan semangat kebersamaan dan amal jama’ie yang subur dalam kalangan penggerak NGO Islam, saya berharap agar majlis ini dapat digerakkan semula oleh barisan kepimpinan YADIM yang baharu agar dapat bersama-sama membantu pihak kerajaan memperkasa usaha dakwah dan tarbiyyah di negara ini.

Selain itu, majlis ini juga wajar berperanan sebagai pemangkin perpaduan dan penyatuan ummah. Umat Islam mestilah bersatu padu tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan latar belakang sosial. Saya percaya dengan penyatuan ummah yang sebenar, banyak perkara-perkara kebaikan yang boleh kita lakukan demi kebajikan umat Islam dan kemajuan negara kita.

Di bawah kepimpinan saya, kerajaan Perikatan Nasional akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO-NGO Islam. Saya percaya bahawa ruang yang diwujudkan, sama ada melalui platform YADIM mahupun saluran komunikasi secara langsung kepada pihak kerajaan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Islam di negara ini untuk memperkasa usaha dakwah dan pembangunan ummah.

Akhir kalam, saya sekali lagi ingin mengalu-alukan hubungan kerjasama yang erat antara NGO Islam dan pihak kerajaan dalam melaksanakan apa jua usaha yang memberikan kebaikan kepada ummah dan negara. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YADIM dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perjumpaan yang amat bermakna pada hari ini. Syabas dan tahniah atas usaha anda. Semoga usaha kita semua menjadi amal jariah yang diberkati oleh Allah SWT.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top