Pelaksanaan dan Keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB)

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN NEGARA 
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA 
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 


PERTANYAAN : LISAN 

DARIPADA : DATUK RAZALI BIN IDRIS 

TARIKH : 7 SEPTEMBER 2020 (ISNIN) 


SOALAN:
Minta PERDANA MENTERI menyatakan pelaksanaan dan keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dilihat dijadikan platform tertinggi dalam usaha memperkasakan pembangunan sosioekonomi Bumiputera.  



JAWAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

Tuan Yang Dipertua,

1. Kerajaan sentiasa komited untuk terus memperkasa agenda Bumiputera sebagai agenda nasional. Ini kerana kita mendapati bahawa meskipun pelbagai usaha telah dilakukan dan kejayaan dicapai, namun, kedudukan sosioekonomi Bumiputera masih perlu dilonjakkan.

2. Secara perbandingan, tahap kemiskinan Bumiputera adalah sebanyak 7.2 peratus pada tahun 2019 berbanding kaum lain. Manakala, kadar pengangguran Bumiputera bagi suku kedua tahun 2020, adalah sebanyak 5.2 peratus, berbanding Purata Nasional sebanyak 5.1 peratus. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula cuma berada pada tahap 16.2 peratus pada tahun 2015 berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.

3. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (“MKB”) sebagai platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera. Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya dan dianggotai oleh beberapa anggota Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga tokoh-tokoh Perniagaan Bumiputera.

4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, MKB akan bertindak sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi bumiputera. Penubuhan Majlis ini juga adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

Tuan Yang-Dipertua,

5. Bagi memastikan Majlis ini mencapai objektif penubuhannya, ia akan didokong oleh 2 Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu yang akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Jawatankuasa Kerja yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Kedua-dua Jawatankuasa ini akan bersidang secara berkala serta melibatkan semua agensi pelaksana berkaitan. Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Jawatankuasa Pemandu Majlis ini telah pun bersidang buat kali yang pertama pada 11 Ogos 2020.

6. TERAJU telah diberi mandat sebagai Agensi Penyelaras Utama bagi intervensi strategik, inisiatif dan program Pembangunan sosioekonomi Bumiputera, serta pembangunan pangkalan data Bumiputera, yang merentasi kesemua Kementerian, Agensi dan GLC. Kerajaan akan memperkemas dan menambahbaik pangkalan data berpusat Bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik yang akan dipacu oleh Majlis Kemakmuran Bumiputera ini.

7. Akhir sekali, saya ingin menjelaskan bahawa pencapaian Kementerian-Kementerian, Agensi-Agensi dan GLC-GLC dalam menggerakkan agenda pemerkasaan Bumiputera akan dipantau dan dinilai melalui satu rangka kerja Key Perfomance Indicator (KPI) yang bakal melibatkan semua ketua agensi berkaitan.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top