Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara

KENYATAAN MEDIA 
PEJABAT PERDANA MENTERI

MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA KABINET MENGENAI
DASAR SEKURITI MAKANAN NEGARA 

8 SEPTEMBER 2020 

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKKDSMN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah bermesyuarat buat kali pertamanya hari ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Jawatankuasa ini yang ditubuhkan susulan impak COVID-19 bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.

Sebanyak lima kertas kerja merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import, telah dibincangkan. Turut dibentangkan strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada.

Mesyuarat bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (FAO), untuk mewujudkan empat kluster di bawah tiga kementerian dan satu agensi. Kluster tersebut ialah;

i. Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan;

ii. Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna;

iii. Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK),
Kementerian Kesihatan Malaysia; dan

iv. Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.

Keempat-empat kluster berkenaan akan berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, Jawatankuasa Kabinet ini diharapkan dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik, sekaligus memastikan bekalan makanan terjamin.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh 11 Ahli Tetap yang terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Menteri Kesihatan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Luar Bandar; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Tugas- Tugas Khas; dan Gabenor Bank Negara yang merupakan ahli jemputan.

Jawatankuasa ini dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang menyelaras cadangan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa Kabinet.

Pejabat Perdana Menteri
8 September 2020

Similar Posts:

Share:
Scroll to top