Teks Ucapan sempena Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu

TEKS UCAPAN 
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN  
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

SEMPENA PELANCARAN KEMPEN PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU 

PADA 8 OGOS 2020 
BERTEMPAT DI PAGOH, MUAR, JOHOR 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Bismillahirrahmanirrahim.

1. YANG AMAT BERHORMAT
DATUK HAJI HASNI BIN MOHAMMAD
MENTERI BESAR JOHOR

2. YANG BERHORMAT
DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
MENTERI KANAN PERTAHANAN

3. YANG BERHORMAT
DATO’ SAIFUDDIN BIN ABDULLAH
MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

4. YANG BERHORMAT
DATO’ SERI DR. ADHAM BIN BABA
MENTERI KESIHATAN

5. YANG BERHORMAT
AHLI JEMAAH MENTERI

6. YANG BERBAHAGIA
KETUA SETIAUSAHA NEGARA

7. YANG BERHORMAT
TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI

8. YANG BERHORMAT
PEGAWAI KEWANGAN NEGERI JOHOR, SELAKU
WAKIL RASMI YANG BERHORMAT SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR

9. YANG BERHORMAT
AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERJAAN NEGERI

10. PEGAWAI-PEGAWAI KANAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI

11. DATUK-DATUK, DATIN-DATIN, RAKAN-RAKAN MEDIA DAN SETERUSNYA SIDANG HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

Apa khabar semua? Saya doakan semoga saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1. Alhamdullillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama meraikan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu pada hari ini di Pagoh, tempat yang sememangnya dekat di hati saya.

2. Pada bulan Disember tahun lalu, kita digemparkan dengan penularan wabak Covid-19 di negara kita dan di seluruh pelosok dunia. Wabak ini secara langsung telah memberi banyak kesan negatif, bukan sahaja kepada kesihatan awam dan ekonomi negara, tetapi juga memaksa masyarakat dunia dan kita di Malaysia untuk mengamalkan pelbagai norma baharu dalam aktiviti harian.

3. Sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam usaha membendung penularan wabak ini, antaranya termasuk pengawasan kawalan sempadan yang ketat serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

4. Saudara dan saudari pasti masih ingat pada awal pelaksanaan PKP, saya kerap menyeru agar rakyat Malaysia duduk di rumah atau “stay at home”. Kesannya dihadapi semua pihak, antara lain pergerakan yang terhad, perniagaan yang terjejas, anak-anak muda dan siswa yang tidak dapat ke sekolah atau universiti dan terpaksa beralih kepada pembelajaran secara maya.

5. Pelaksanaan PKP sebenarnya bukanlah untuk menyusahkan rakyat dalam kehidupan harian. Sebaliknya langkah drastik ini amat diperlukan bagi memutuskan rantaian Covid-19 setelah mengambil kira banyak aspek demi kesejahteraan rakyat.

6. Hasilnya dapat kita lihat pada hari ini Malaysia berjaya mengurangkan jumlah jangkitan baharu dan pesakit aktif di hospital. Yang lebih penting lagi, jumlah pesakit Covid-19 yang telah pulih dan keluar dari hospital mencecah lebih daripada 8, 700 orang, iaitu bersamaan dengan hampir 96.4%. Kadar pemulihan ini adalah antara yang tertinggi di dunia.

7. Kepada para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memerangi Covid-19, jutaan terima kasih ingin saya zahirkan kepada anda semua.

8. Juga tidak ketinggalan pihak swasta, badan badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang telah bertungkus lumus bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa pun ketinggalan semasa menangani wabak COVID-19. Saya difahamkan bahawa “Malaysian Coordination and Action Hub” yang ditubuhkan baru-baru ini telah turut membantu menyelaraskan bantuan dari pihak swasta, kerajaan dan bukan kerajaan.

9. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengorbanan masing-masing untuk memerangi wabak Covid-19.

10. Inisiatif “Kita jaga kita” menunjukkan keprihatinan dan semangat rakyat Malaysia dari akar umbi dalam melawan Covid-19. Yang jelas, kita perlu memastikan bahawa kehidupan mengikut norma baharu ini dapat diteruskan selagi wujud ancaman wabak Covid-19 ini.

11. Justeru untuk memperkasa usaha melawan wabak Covid-19 ini, pada hari ini saya ingin melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat. Rakyat perlu terus bekerjasama dengan Kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini.

12. Usaha membudayakan norma baharu di kalangan rakyat adalah tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita. Kementerian Kesihatan telah memberi penekanan terhadap pelaksanaan CAPP, iaitu “Cegah, Amal, Patuh dan Pantau” kepada masyarakat dalam usaha memperkasakan Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) Covid-19. Kempen CAPP ini adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti.

13. Selain itu, Aplikasi MySejahtera yang ringkas dan padat telah menjadi platform untuk memudahkan kita menangani wabak Covid-19. Setakat ini, seramai 6.5 juta pengguna telah memuat turun aplikasi setakat ini. MySejahtera terbukti berkesan untuk menjejak kontak rapat pesakit Covid-19. Justeru saya menyeru agar rakyat Malaysia untuk memuat turun dan memanfaatkan aplikasi ini dengan sebaik yang mungkin.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

14. Kerajaan sentiasa memantau situasi terkini pandemik Covid-19. Saya difahamkan terdapat beberapa negara yang sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin. Namun besar kemungkinan ia akan mengambil sedikit masa lagi, iaitu pada awal tahun 2021.

15. Sehubungan dengan ini, Malaysia sedia membantu dalam usaha menghasilkan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa melalui pasukan petugas rentas Kementerian yang ditubuhkan pada bulan April lepas. Usaha ini bagi meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara-negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan ubat-ubatan COVID-19.

16. Kita perlu menganggap diri kita semua sebagai petugas barisan hadapan. Pematuhan kepada S.O.P yang sedia ada perlu diperluaskan lagi. Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada wujudnya kluster-kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita.

17. Justeru kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri kita pada setiap masa.

18. Memang tidak dapat dinafikan bahawa trend peningkatan kes dan pertambahan kluster baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap S.O.P. Saya mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah dalam kalangan sekumpulan kecil individu yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara. Tindakan melanggar perintah ini bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara-mara malah ia turut mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan Covid-19.

19. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengenakan kuarantin wajib kepada mana-mana individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Mereka ditempatkan di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan. Pihak berkuasa juga bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di lokaliti setempat sekiranya terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak di kawasan tertentu.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

20. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, saya menyeru anda semua untuk terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

21. Norma baharu yang perlu diberikan perhatian ialah mengelakkan 3S atau 3C iaitu elakkan kawasan yang sesak atau Crowded place, elakkan kawasan yang sempit atau Confined space dan elak sembang dengan jarak yang dekat atau Close conversation.

22. Selain itu, jangan lupa untuk kita sentiasa amalkan 3W, iaitu Wash atau kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, Wear iaitu Wajib memakai pelitup separuh muka atau facemask di tempat awam atau jika kita bergejala dan Warn iaitu sentiasa mengikuti peringatan dan nasihat daripada pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia tentang wabak Covid-19 ini.

23. Saya yakin pihak berkuasa akan membuat peringatan-peringatan dari semasa ke semasa sama ada melalui pengumuman di media, bahan bercetak dan media sosial. Yang penting, kita perlu mengikuti dan menyebarkan hanya maklumat yang sahih. Selain itu, sentiasalah berwaspada dan patuh dengan arahan pihak berkuasa dalam mengamalkan budaya norma baharu ini.

24. Selain itu, saya menyeru agar pemimpin masyarakat, para ketua agama, pemimpin NGO dan ahli Jawatankuasa kariah surau dan masjid agar memainkan peranan masing-masing. Kita bersama-sama mengingatkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing agar mematuhi segala SOP dan peringatan mengenai wabak Covid-19. Dengan kerjasama padu dan peranan kepimpinan masyarakat maka kita akan terus mampu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak ini.

25. Saya pasti saudara dan saudari tidak mahu kerajaan melaksanakan semula PKP secara menyeluruh yang akan menyebabkan masalah lain termasuk menggangu usaha memulihkan ekonomi kita. Jadi kita tidak boleh alpa. S.O.P yang telah ditetapkan perlu kita terus patuhi.

26. Justeru marilah kita terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian kita. Tanpa kerjasama saudara dan saudari sekelian, adalah mustahil untuk kita berjaya menamatkan terus rantaian jangkitan Covid-19 ini.

27. Insya-Allah kita akan bersama-sama menjayakan usaha kita dalam membendung penularan Covid-19 selama ini. Atas kesungguhan, komitmen, kesabaran, ketabahan dan keredaan, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kebaikan kepada semua.

28. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya lancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu.

Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top