Langkah-Langkah Meningkatkan Ekonomi Bumiputera

NO SOALAN : 123

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS

PERTANYAAN​:​LISAN

DARIPADA :​DATUK SERI DR. MUJAHID BIN YUSOF RAWA [ PARIT BUNTAR ]

TARIKH​​:​13 OGOS 2020 (KHAMIS)

SOALAN NO. 1

Minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah meningkatkan ekonomi Bumiputera khususnya yang semakin ramai menganggur dan hilang tanpa menyalahkan bangsa lain.

JAWAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan Perikatan Nasional komited untuk melaksanakan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Walaupun banyak kejayaan telah dicapai dalam usaha meningkatkan taraf hidup Bumiputera, kedudukan sosio-ekonomi Bumiputera masih perlu dilonjakkan. Secara perbandingan, insiden kemiskinan Bumiputera adalah 7.2 peratus pada tahun 2019, berbanding kaum Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat adalah 16.2 peratus pada tahun 2015 berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus. Kadar pengangguran Bumiputera adalah 3.7 peratus pada tahun 2019 berbanding purata nasional 3.3 peratus.

2. Mengambilkira keadaan ini, Kerajaan telah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera. Saya sendiri akan mempengerusikan Majlis ini yang akan memandu dan mempercepatkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

3. Saya juga telah memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menjadi Agensi Penyelaras Utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera. TERAJU akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas Kementerian, Agensi dan GLC.

4. Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan Bumiputera sebagai bangsa usahawan. Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUN Nasional (TEKUN) serta agensi-agensi mandat Bumiputera.

5. Selain itu, lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan akan terus diperhebat khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 Bumiputera. Pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan, serta bimbingan kepada modal insan Bumiputera akan diperluas kepada semua peringkat.

6. Beberapa kaedah lain seperti, dengan izin, dasar Carve Out & Compete, KPI atau sasaran pencapaian Bumiputera bagi setiap Kementerian, Jabatan, Agensi dan GLC serta perolehan ekuiti dan aset strategik juga akan dimantapkan.

7. Kerajaan komited untuk menjayakan Agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan pada awal tahun hadapan. InsyaAllah, saya berkeyakinan sekiranya semua pihak menumpukan sepenuh usaha untuk menjayakan semua perancangan yang telah saya sebutkan tadi, kita akan mampu melonjakkan taraf sosio-ekonomi Bumiputera tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum-kaum lain untuk menikmati kemakmuran negara secara bersama.

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top