Teks Ucapan Perdana Menteri Sempena Pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PELANCARAN HARI BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN 2020

7 JULAI 2020


BismillahiRahmanirRahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Yang Berusaha Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapha Mohammed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Yang Berbahagia Dato Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Pesuruhjaya Banci,

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

  1. Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin, taufik dan InayahNya kita dapat bertemu pada pagi ini dalam majlis pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020.
  1. Kita berasa amat bersyukur kerana walaupun negara masih menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang melanda dunia, jentera pentadbiran kerajaan dapat digerakkan untuk memastikan tugas mengurus negara dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Hasrat kerajaan ialah untuk melindungi rakyat dari ancaman wabak seperti Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi dalam tempoh sesegera mungkin agar rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam penuh kesejahteraan.
  1. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh anggota pentadbiran kerajaan, khususnya warga Jabatan Perangkaan Malaysia yang terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saudara dan saudari dengan jujur dan berdedikasi. Hasilnya kita dapat melaksanakan majlis yang ringkas tetapi penting pada hari ini dan mematuhi SOP dalam tempoh PKPP.

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Landskap ekonomi Malaysia dalam tempoh enam dekad lalu telah melalui perubahan yang ketara apabila sektor pembuatan telah mengambil alih peranan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara yang berasaskan perindustrian.
  1. Kebergantungan yang tinggi kepada sektor pertanian terutamanya dalam eksport getah pada era sebelum tahun 1970-an meletakkan negara dalam situasi yang mencabar ekoran pasaran harga yang tidak stabil serta tidak menguntungkan di peringkat global.
  1. Perkembangan ini telah mengilhamkan para pemimpin Kerajaan untuk menggariskan strategi-strategi bagi mengatasi isu tersebut dalam Rancangan-rancangan Malaysia berkaitan ekonomi. Yang terkini kerajaan komited untuk meneruskan usaha pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau WKB2030.

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Dalam kita hendak melaksanakan usaha pembangunan negara berpandukan WKB 2030, wujud keperluan perancangan polisi semasa dan masa hadapan. Ini menuntut kita untuk lebih proaktif dan responsif. Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat pastinya memerlukan keputusan-keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta yang menyeluruh.
  1. Jelas sekali, era penguasaan maklumat yang menjadi kekuatan daya saing sesebuah negara, maklumat yang tepat dan pengetahuan yang relevan amat diperlukan.
  1. Justeru itu, pada tahun ini, kerajaan akan melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 atau Banci 2020 yang dilancarakan pada hari ini. Inisiatif ini yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali adalah sangat penting untuk memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia yang akan menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.
  1. Melaluinya, saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia dapat dikenalpasti. Maklumat seperti fasiliti pendidikan, kesihatan, rekreasi, jaringan jalan raya yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat.
  1. Sistem Statistik Negara adalah berteraskan kepada amalan terbaik seperti yang disarankan Prinsip Asas Statistik Rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk diamalkan oleh organisasi statistik negara dalam penghasilan statistik rasmi.
  1. Statistik rasmi merupakan teras kepada proses pembentukan dasar sosio ekonomi negara. Dalam aspek ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah diberikan tanggungjawab untuk menghasilkan statistik yang berintegriti dan boleh dipercayai dalam bidang ekonomi, sosial, demografi dan alam sekitar.
  1. Keberhasilan daripada produk dan perkhidmatan statistik secara berkala dengan kekerapan bulanan, suku tahunan dan tahunan merupakan bukti statistik yang digunakan oleh kerajaan sebagai input dalam pembentukan, penilaian dan semakan semula dasar awam negara.
  1. Melaluinya, setiap perancangan dasar kerajaan yang dibuat dapat difokuskan kepada pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan negara kepada semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira etnik, pendapatan dan rantaian. Pengurusan negara merentasi pelbagai sektor juga akan lebih tersusun dan saksama yang akhirnya akan memastikan kesejahteraan rakyat tetap menjadi fokus utama.
  1. Persekitaran dunia yang kian mencabar dengan daya saing negara semakin bergantung kepada penguasaan data dan maklumat untuk membuat keputusan yang tepat telah menuntut agar Sistem Statistik Negara yang teguh perlu dilaksanakan. Pelaburan strategik oleh pihak berkepentingan diperlukan bagi pembinaan prasarana dan pembangunan kapasiti Sistem Statistik Negara. Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Justeru, selaras dengan agenda kesejahteraan dan kelestarian negara, saya ingin memohon agar semua rakyat Malaysia memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci 2020. Walaupun situasi negara masih mendepani saat-saat sukar susulan serangan wabak Covid-19 dan fasa PKPP yang kita lalui bersama, saya percaya panduan SOP akan disediakan dan dipatuhi para petugas Jabatan Perangkaan Malaysia dan kalangan masyarakat yang terlibat dalam melengkapkan keperluan Banci 2020 ini.
  1. Maklumat yang dibekalkan ini akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa hadapan, yang bakal mengemudi negara ini ke satu tahap yang lebih baik. Jika diimbas kembali, kehidupan dan nikmat yang kita perolehi pada hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada 5 Banci terdahulu.
  1. Peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kerajaan dan rakyat ini adalah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara Malaysia secara kompetitif, berintegriti dan bermaruah agar semua rakyat mengecapi taraf hidup yang wajar serta tumpuan terhadap pembangunan dan kemajuan negara untuk mencapai taraf negara maju lebih awal turut dapat direalisasikan.
  1. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para petugas Jabatan Perangkaan Negara yang bertungkus lumus menjalankan tugas untuk memastikan matlamat Banci 2020 dapat dicapai dengan sebaiknya.
  1. Kepada rakyat Malaysia, sekali lagi saya memohon agar kita semua dapat memberikan kerjasama dalam membekalkan maklumat yang diperlukan bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top