Komitmen Kerajaan dalam menangani isu Integriti dan Rasuah

PEMBERITAHUAN WAKTU PERTANYAAN MENTERI
(MQT)
DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2020)


DARIPADA : YB DATO’ HAJAH AZIZAH BINTI MOHD DUN
[ PARLIMEN BEAUFORT ]
TARIKH : 16 JULAI 2020 (KHAMIS)

DATO’ HAJAH AZIZAH BINTI MOHD DUN [ BEAUFORT ] minta PERDANA MENTERI menyatakan komitmen Kerajaan dalam menangani isu integriti dan rasuah dalam Negara yang kini dilihat lebih tertumpu kepada ekonomi dan kesihatan akibat pandemik Covid-19 serta apakah perkembangan status kesemua inisiatif yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 dan adakah usaha daripada Kerajaan untuk memperkemas NACP tersebut dalam menentukan hala tuju baharu setelah hampir 2 tahun pelaksanaannya semenjak dilancarkan pada Januari 2019.


JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebagaimana yang diumumkan pada 11 Mac 2020 yang lalu, Kerajaan Perikatan Nasional telah menyatakan komitmen untuk menentang dan membanteras rasuah. Dalam hal ini, Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Ini bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan Kerajaan berteraskan prinsip governans, integriti dan anti-rasuah;

2. Ia selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa Sidang Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 pada 18 Mei 2020 yang lalu agar Kerajaan terus melaksanakan NACP. Sehingga 31 Mei 2020 sebanyak 28 inisiatif di bawah (6) strategi pelaksanaan NACP berkenaan telah selesai dilaksanakan iaitu:

i) Tadbir Urus Politik : 13 Inisiatif
ii) Pentadbiran Sektor Awam : 3 Inisiatif
iii) Perolehan Awam : 4 Inisiatif
iv) Perundangan/Kehakiman : 1 Inisiatif
v) Penguatkuasaan Undang-Undang : 5 Inisiatif
vi) Tadbir Urus Korporat : 2 Inisiatif

3. Bagi memastikan hasrat murni Kerajaan ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan, peranan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dikekalkan. JKKMAR dipertanggungjawabkan menyelaras pelaksanaan, memantau dan menilai keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada Kerajaan mahupun swasta;

4. Manakala Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat Kementerian dan Jabatan juga akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dibuat tidak berkompromi kepada sebarang tindakan rasuah. Kerajaan akan terus memantau semua inisiatif di bawah JKKMAR dan NACP bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak yang positif kepada negara;

5. Semua pendekatan dan usaha ke arah membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa akan diberikan penekanan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui dasar-dasar yang telah dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam inisiatif NACP 2019 – 2023. Ini termasuk inisiatif NACP yang terbentuk berasaskan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui penyataan United Nations Convention on Anti Corruption (UNCAC). NACP 2019 – 2023 dibuat dengan mengambil kira piawaian laporan antarabangsa PBB melalui UNCAC. Namun perkara-perkara yang telah dirangka tidak mengabaikan piawaian dari konteks amalan tempatan yang lebih bersifat praktikal dan mampu mengatasi pencapaian berdasarkan piawaian di peringkat antarabangsa.


Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top